Kenapa Kelapa Muda?

Pokok kelapa banyak gunanya. Daripada pucuk hingga akarnya. Tiada satu tanpa guna. Enak pula rasanya. Tinggi nilainya. Airnya digemari semua. Ringkasnya, ia pokok serbaguna. Begitu juga kita, dijadikan Allah swt dengan bakat dan rupa. Nilainya tidak terkata. Manusia, tanpa mengira miskin atau kaya, lembam atau cerdik akalnya, semuanya sama. Semuanya bergantung kepada kita untuk memenfaatnya.

Tepuk dada, iman pengantaranya.

HARGAILAH ORANG MUDA!



Thursday, June 10, 2010

PEKERJA MAHIR TANPA LATIHAN FORMAL AKAN DIIKTIRAF

UTUSAN MALAYSIA, 10 JUN 2010

PUTRAJAYA 9 Jun - Kementerian Belia dan Sukan akan bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia untuk memberi pengiktirafan kepada pekerja mahir yang tidak pernah menerima latihan secara formal.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan yang baru, Gan Ping Sieu berkata, pekerja mahir seperti mekanik dan juruteknik akan dinilai kemampuan mereka terlebih dahulu dan mereka yang layak, boleh diberi Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tanpa perlu menjalani kursus.

''Saya mahu melihat pekerja dalam bidang teknikal menerima pengiktirafan dan sijil yang selari dengan kemahiran yang mereka miliki.

''Penerimaan sijil sedemikian adalah penting untuk memastikan pekerja mahir kita mempunyai peluang kerjaya yang lebih terjamin pada masa depan,'' katanya kepada pemberita selepas menerima nota serah tugas daripada bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Wee Jeck Seng di sini hari ini.

Ping Sieu berkata, Jeck Seng sebelum ini telah menerima kira-kira 1,000 permohonan daripada pekerja-pekerja mahir yang mahu memohon SKM.

''Kebanyakan pemohon terdiri daripada pekerja dalam sektor automobil termasuk mekanik.
''Pekerja-pekerja mahir ini tidak pernah menjalani latihan yang formal tetapi mereka belajar daripada mekanik berpengalaman," katanya.

Beliau berkata, meskipun kerajaan tidak mewajibkan semua juruteknik dan mekanik mendapatkan latihan formal, pemberian sijil akan memberi nilai tambah kepada seseorang pekerja.

''Di sesetengah negara, juruteknik telah diwajibkan untuk menerima sijil sebelum dibenarkan untuk bekerja.

''Pekerja kita perlu mendapat pengiktirafan yang sewajarnya untuk menghadapi sebarang kemungkinan pada masa depan," katanya.

No comments: