Kenapa Kelapa Muda?

Pokok kelapa banyak gunanya. Daripada pucuk hingga akarnya. Tiada satu tanpa guna. Enak pula rasanya. Tinggi nilainya. Airnya digemari semua. Ringkasnya, ia pokok serbaguna. Begitu juga kita, dijadikan Allah swt dengan bakat dan rupa. Nilainya tidak terkata. Manusia, tanpa mengira miskin atau kaya, lembam atau cerdik akalnya, semuanya sama. Semuanya bergantung kepada kita untuk memenfaatnya.

Tepuk dada, iman pengantaranya.

HARGAILAH ORANG MUDA!



Thursday, June 10, 2010

PEREKA BENTUK WAJIB LAWAT TAPAK PROJEK

UTUSAN MALAYSIA, 10 JUN 2010

KULIM 9 Jun - Semua pereka bentuk projek kerajaan diarah melawat tapak projek terlebih dahulu sebelum merangka pelan lengkap pembangunan di sesuatu kawasan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, langkah berkenaan penting bagi membolehkan pereka bentuk mengenal pasti sendiri kesesuaian dan persekitaran sesuatu projek sebelum ia dapat dilaksanakan.

Malah katanya, tindakan tersebut juga perlu dilakukan bagi mengelak sebarang kesulitan timbul di kalangan masyarakat setempat kerana projek-projek yang dilaksanakan itu berhampiran kawasan mereka.

''Kita telah keluarkan arahan iaitu apabila hendak mereka bentuk sesuatu projek baru bagi kementerian atau agensi berkaitan, satu syarat wajib selepas ini ialah semua pereka bentuk terlibat mesti turun sendiri ke tapak sebelum melukis pelan.

''Pereka bentuk mesti menjalankan kerja-kerja mereka bukannya berlandaskan pada maklumat atau keluasan tapak sahaja. Sebaliknya, mereka perlu mengenali dan mengetahui sebaik mungkin kawasan-kawasan persekitaran serta kejiranan projek.

''Jika ini dilakukan, saya percaya perkara yang mungkin menimbulkan kebimbangan penduduk tidak akan berlaku," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek Kolej Kejururawatan Masyarakat Kulim (KKMK) bernilai RM7.6 juta dekat Taman Seri Kulim di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Thomas George; Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR), Prof. Datuk Seri Ir. Judin Abdul Karim dan Pengarah JKR Kedah, Ir. Rosland Abd. Ghani.

Lawatan tersebut diadakan berikutan aduan yang diterima Shaziman mengenai kedudukan kolam dan loji rawatan kumbahan KKMK yang dikatakan berada berdekatan kawasan perumahan penduduk di Taman Seri Kulim.

Keadaan tersebut menimbulkan kesulitan kepada kira-kira 160 keluarga ekoran limpahan air kumbahan dikesan memasuki rumah penduduk apabila setiap kali berlakunya hujan lebat dan banjir kilat.

Shaziman menegaskan, lawatan ke tapak projek oleh pereka bentuk dan pegawai JKR tidak akan merugikan malah mendatangkan keuntungan kepada kerajaan memandangkan setiap permasalahan dapat diselesaikan.

''Apabila kerajaan membuat sesuatu projek di sesuatu kawasan, besar harapan kita bahawa ia menjadi kebanggaan dan amat dinanti-nantikan masyarakat setempat, bukannya menimbulkan kerisauan.

''Oleh yang demikian, kita seboleh-bolehnya cuba mengelak perkara negatif khususnya melibatkan projek-projek akan datang di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10). Projek-projek ini harus mengambil pendekatan yang mana rakyat perlu didahulukan," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, JKR bersetuju memindahkan lokasi kolam dan loji rawatan kumbahan KKMK ke tapak yang lebih sesuai bagi mengelak sebarang masalah pada masa akan datang.

''Ketua Pengarah JKR telah mencadangkan kolam ini dipindahkan ke satu tapak yang terletak kira-kira 80 meter dari tempat asal. Tempat baru ini lebih sesuai dan berada pada paras lebih tinggi,'' katanya.

Shaziman berharap, para penduduk di kawasan berdekatan tidak perlu lagi khuatir kerana kejadian seumpama itu tidak akan berulang lagi pada masa depan.

No comments: