Kenapa Kelapa Muda?

Pokok kelapa banyak gunanya. Daripada pucuk hingga akarnya. Tiada satu tanpa guna. Enak pula rasanya. Tinggi nilainya. Airnya digemari semua. Ringkasnya, ia pokok serbaguna. Begitu juga kita, dijadikan Allah swt dengan bakat dan rupa. Nilainya tidak terkata. Manusia, tanpa mengira miskin atau kaya, lembam atau cerdik akalnya, semuanya sama. Semuanya bergantung kepada kita untuk memenfaatnya.

Tepuk dada, iman pengantaranya.

HARGAILAH ORANG MUDA!



Tuesday, March 23, 2010

INSENTIF KHAS MARTABAT SEMULA VOKASIONAL


Zakaria Mohd Yusof


BERITA HARIAN, 23 MAC 2010


Kemahiran, minat pelajar perlu dicungkil peringkat awal agar dapat penuhi pasaran kerja

KENYATAAN Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyediakan insentif khas kepada kelompok pelajar yang tercicir amat bertepatan dengan hasrat untuk meningkat modal insan negara.

Inisiatif khas ini ditujukan kepada lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang kurang cemerlang dan gagal untuk menyambung pelajaran, berkemampuan untuk menguasai salah satu kemahiran bagi membuka peluang kerjaya kepada mereka. Menurut statistik pencapaian keputusan SPM 2009, seramai 4,626 daripada 465,853 calon yang menduduki peperiksaan, gagal atau memperoleh gred G.

Dua tahun lalu, pihak kerajaan turut melahirkan rasa bimbang dengan lebih 83,000 pelajar sekolah rendah hingga Tingkatan Lima yang mengalami keciciran daripada sistem persekolahan negara. Ini bermakna, setiap tahun seramai 7,545 pelajar tercicir daripada arus pendidikan.

Walaupun nampak kecil peratusannya, yang pasti, ia tidak seharusnya berlaku jika semua pihak mengambil langkah pemulihan awal setiap tahun. Justeru, cadangan kerajaan untuk menyediakan insentif khas itu amat baik.

Ini menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap masa depan pelajar terbabit dan tidak hanya kepada kelompok yang cemerlang akademik semata-mata. Apatah lagi dalam realiti masyarakat yang terlalu memberi tumpuan kepada kelompok pelajar cemerlang akademiknya. Adalah suatu yang mendukacitakan jika kita masih beranggapan bahawa, hanya pencapaian cemerlang dalam akademik saja sebagai penentu kepada kejayaan dalam kehidupan.

Begitu juga, adalah suatu yang amat tidak tepat sekiranya hanya kumpulan yang cemerlang dalam akademik saja mampu menjadi warga berguna. Jika persepsi ini tidak berubah, usaha kerajaan untuk memastikan pembangunan modal insan berjalan dengan sempurna tidak mungkin akan tercapai. Seterusnya, bilangan keciciran setiap tahun tidak akan mempunyai jalan penyelesaian.

Untuk itu, insentif khas berupa laluan pendidikan menitikberatkan latihan kemahiran vokasional difikirkan mampu untuk membentuk individu agar berdikari dalam menempuh kehidupan tanpa mengambil kira pencapaian akademik.

Bagaimanapun, dicadangkan insentif khas itu perlu dimulakan lebih awal lagi dan tidak menunggu sehingga mereka menamatkan Tingkatan Lima. Menunggu sehingga tamat Tingkatan Lima dikhuatiri terlalu lewat untuk kelompok pelajar lemah akademik ini dihalakan minat ke arah kemahiran vokasional. Ini kerana keciciran pelajar berlaku lebih awal lagi seperti dilaporkan sebelum ini.

Justeru, berikut dikemukakan cadangan untuk pihak pelaksana dasar dalam merangka bentuk insentif khas berkenaan. Apa yang penting ialah insentif khas mestilah mampu memastikan setiap insan mendapat pembelaan sewajarnya untuk kepentingan negara di masa depan.

Insentif khas itu perlulah dimulakan pada peringkat lebih awal lagi bagi mengimbangi tumpuan pendidikan pada peringkat sekolah agar tidak menjurus kepada kecemerlangan akademik semata-mata. Untuk itu, sistem pendidikan perlu menjurus kepada eksplorasi minat pelajar. Guru, di samping memberi tumpuan kepada kecemerlangan akademik, harus juga berusaha mengenal pasti kecenderungan dan minat pelajar. Jika perlu, kad minat pelajar perlu diwujudkan untuk setiap pelajar.

Setiap pelajar hendaklah dipastikan tidak harus berasa tersisih atau disisihkan hanya disebabkan pencapaian akademik tidak memuaskan. Oleh itu, insentif khas juga harus diberi setiap tahun di hari penyampaian hadiah kepada mana-mana pelajar yang didapati mempunyai kelebihan, bakat dan kreativiti dalam bidang kemahiran yang dikenal pasti.

Mata pelajaran kerjaya harus diperkenalkan seawal Tingkatan Satu dengan memperkenalkan bentuk pekerjaan dan kepentingannya berdasarkan keperluan negara. Ini akan memberi gambaran awal bahawa keperluan tenaga kerja negara tidak hanya tertumpu kepada tahap pencapaian akademik yang cemerlang.

Dalam tempoh tiga tahun iaitu dari Tingkatan Satu hingga ke Tingkatan Tiga, pihak sekolah harus mengenal pasti kumpulan yang benar-benar tidak berkemampuan dalam akademik. Kumpulan ini harus dibimbing dan didorong untuk mengenal pasti pilihan bidang kemahiran yang diminati berdasarkan kepada corak keperluan tenaga kerja negara di masa depan mengikut sektor.

Laluan kerjaya setiap bidang kemahiran harus diberi gambaran dengan jelas dalam mata pelajaran kerjaya yang diperkenalkan dalam tempoh tingkatan satu hingga tingkatan tiga itu. Ini bertujuan memberi harapan kepada pelajar yang memilih bidang kemahiran tertentu bahawa, di sana masih ada peluang luas untuk meningkatkan tahap kerjaya dari semasa ke semasa.

Guru kaunseling hendaklah bukan sekadar menyediakan maklumat kerjaya ke institusi pengajian tinggi kepada mereka yang cemerlang akademik, tetapi perlu dilengkapkan diri dengan maklumat berkaitan peluang latihan di Institusi Latihan Kemahiran Awam seperti Institut Kemahiran Belia Negara, Institut Latihan Perindustrian, Institut Kemahiran Mara dan Pusat Giat Mara. Institusi ini bakal menjadi pilihan pelajar mempunyai pencapaian akademik sederhana.

Bagi menarik minat pelajar, seterusnya meyakinkan masyarakat keseluruhannya untuk memilih pendidikan vokasional, tiada jalan lain melainkan berusaha memperkasakan dan memartabatkan kembali pendidikan vokasional ini. Kerajaan sedaya upaya perlu memastikan pendidikan vokasional ini tidak menjadi bentuk pendidikan kelas dua.

Untuk itu, kerajaan disarankan untuk mempertimbangkan langkah seperti mewujudkan pelan pendidikan kemahiran vokasional komprehensif; meningkatkan keupayaan pendidikan vokasional dan jika perlu, melakukan penjenamaan semula ke atas institusi latihan kemahiran vokasional tertentu.

Bagi memastikan kemahiran vokasional yang dimiliki diguna pakai sepenuhnya, kerajaan perlu memastikan lulusan vokasional tempatan tidak hilang. Ini boleh dilakukan dengan menggubal polisi tertentu yang mewajibkan setiap sektor mengutamakan pekerja mahir lulusan vokasional tempatan serta, pada waktu sama mengehadkan penggunaan pekerja asing di setiap sektor secara berperingkat.

Bagi memberi keyakinan kepada pelajar supaya memilih pendidikan vokasional, kerangka kerjaya yang jelas khusus untuk lulusan kemahiran vokasional wajar diwujudkan, meliputi skim perkhidmatan menyeluruh dalam perkhidmatan awam.

Insentif juga harus difikirkan kepada guru vokasional atau guru yang bertanggungjawab terhadap mata pelajaran vokasional. Elaun kritikal serta dipermudahkan urusan kenaikan pangkat patut diberi keutamaan dalam perancangan pendidikan, dan institusi perguruan yang menjadikan pendidikan vokasional sebagai keutamaan perlu diwujudkan segera.

Institusi ini akan menjadi medan untuk melatih guru vokasional yang bukan saja untuk sekolah, bahkan juga untuk meningkatkan kualiti tenaga pengajar di institusi latihan kemahiran. Wujudkan panel pendidikan vokasional yang terdiri daripada wakil di setiap kementerian yang mempunyai pusat latihan kemahiran vokasional mengikut sektor.

Ini akan mengeratkan lagi hubungan di antara pihak sekolah dengan institusi latihan kemahiran berkaitan, seterusnya melicinkan lagi proses kemasukan di setiap institusi latihan kemahiran ini.
Kita harus menerima hakikat bahawa latar belakang akademik tidak seharusnya dijadikan kayu ukur dalam usaha pembinaan modal insan. Pembinaan modal insan hendaklah meliputi setiap individu, dan ini harus difahami semua. Hanya pendekatan, corak pendidikan serta penghayatan semua pihak yang menjadi strategi penentu untuk merealisasi misi.

Dengan bilangan yang menamatkan tingkatan lima setiap tahun melebihi 450,000, sudah pasti kita tidak ketandusan insan sebagai penggerak negara masa depan. Justeru, perancangan untuk memulakan langkah pendidikan vokasional lebih awal adalah suatu yang amat bertepatan dan memantapkan lagi kemasukan ke puluhan institusi latihan kemahiran yang sedia wujud dalam negara.

Kita mengharapkan tiada lagi keciciran selepas latihan kemahiran vokasional diperoleh. Moga usaha mengelakkan keciciran dalam pendidikan akan disusuli dengan usaha untuk memastikan tidak berlakunya keciciran kemahiran pula selepas itu.

Penulis ialah Pensyarah, Jabatan Ukur Bahan, Fakulti Alam Bina Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

1 comment:

Anonymous said...

saya tiada masalah dgn pengwujudan semula sekolah vokasional..cuma baru2 ini, saya terdengar di radio tentang pengumuman utk menukar sekolah teknik ke aliran vokasional semula...bukan kah perkara ini sudah jadi terbalik? Bukankah sblm ini, sekolah aliran vokasional dinaiktaraf ke teknik? jadi perkara ini membuat masyarakat keliru dgn pentadbiran kementerian pendidikan malaysia...