Kenapa Kelapa Muda?

Pokok kelapa banyak gunanya. Daripada pucuk hingga akarnya. Tiada satu tanpa guna. Enak pula rasanya. Tinggi nilainya. Airnya digemari semua. Ringkasnya, ia pokok serbaguna. Begitu juga kita, dijadikan Allah swt dengan bakat dan rupa. Nilainya tidak terkata. Manusia, tanpa mengira miskin atau kaya, lembam atau cerdik akalnya, semuanya sama. Semuanya bergantung kepada kita untuk memenfaatnya.

Tepuk dada, iman pengantaranya.

HARGAILAH ORANG MUDA!



Wednesday, May 19, 2010

RM65 JUTA UNTUK KONTRAKTOR KELAS F

UTUSAN MALAYSIA, 18 MEI 2010

KUALA LUMPUR 17 Mei - Kementerian Kerja Raya menawarkan kontrak bernilai RM65 juta bagi 19 buah projek di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang akan dilaksanakan tahun ini kepada kontraktor-kontraktor Kelas F.

Menterinya, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, pemilihan kontraktor Kelas F bagi projek-projek tersebut akan berdasarkan kepada sebut harga dan kepakaran mereka dalam bidang yang diperlukan.

"Nilai 19 projek tersebut ialah RM700 juta dan 10 peratus daripadanya atau RM65 juta, telah diperuntukkan kepada kontraktor Kelas F.

"Ia sebagai mematuhi dasar kerajaan dalam pengagihan kontrak kepada kontraktor kecil untuk projek-projek bernilai RM10 juta ke atas.

"Dasar ini melibatkan pemberian kerja oleh kontraktor utama kepada kontraktor kecil dengan kontrak bernilai RM200,000 diberikan kepada kontraktor Kelas F dan melebihi RM200,000 kepada kontraktor Kelas E,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menyampaikan bayaran pampasan kepada 22 penduduk Orang Asli dari Tanjong Rabok, Kuala Langat yang terjejas akibat pembinaan Projek Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE) di sini hari ini.

Kerajaan membayar RM602,472 kepada kesemua Orang Asli tersebut yang terbabit dalam pengambilan tanah dan kerosakan tanaman akibat pelaksanaan projek SKVE berkenaan.

Shaziman memberitahu, pelaksanaan dasar pengagihan kerja kepada kontraktor kecil ini telah dipersetujui oleh Kabinet yang mana kontraktor utama yang mendapat projek kerajaan bernilai RM10 juta ke atas perlu memberikan 10 peratus daripada nilai kontrak berkenaan kepada kontraktor Kelas F dan E.

Beliau juga memberitahu, kementerian sedang melaksanakan kerja-kerja pemutihan terhadap 28,000 kontraktor Kelas F. Antara lain, menerusi program pemutihan tersebut, kontraktor yang tidak memperbaharui lesen selepas setahun akan ditamatkan lesen mereka.

"Kementerian juga akan meningkatkan kemahiran dan kepakaran kontraktor-kontraktor Kelas F yang pada masa ini adalah terlalu rendah sehinggakan kontraktor utama sukar untuk memberikan kerja kepada mereka.

"Kebanyakan kontraktor Kelas F ini hanya mempunyai kemahiran dalam pembinaan dan menurap jalan tetapi tidak ada kepakaran dalam kerja-kerja khusus seperti kerja-kerja lantai,'' katanya.

Matlamat utama kementerian tegasnya, ialah untuk memantapkan kontraktor-kontraktor Kelas F sehingga mampu melakukan pelbagai kerja khusus dalam sektor pembinaan yang amat diperlukan negara.

No comments: