Kenapa Kelapa Muda?

Pokok kelapa banyak gunanya. Daripada pucuk hingga akarnya. Tiada satu tanpa guna. Enak pula rasanya. Tinggi nilainya. Airnya digemari semua. Ringkasnya, ia pokok serbaguna. Begitu juga kita, dijadikan Allah swt dengan bakat dan rupa. Nilainya tidak terkata. Manusia, tanpa mengira miskin atau kaya, lembam atau cerdik akalnya, semuanya sama. Semuanya bergantung kepada kita untuk memenfaatnya.

Tepuk dada, iman pengantaranya.

HARGAILAH ORANG MUDA!



Wednesday, May 19, 2010

HASIL MAKMAL PENGURUSAN WARGA ASING AKAN DIBENTANG

UTUSAN MALAYSIA, 19 MEI 2010

PUTRAJAYA 18 Mei - Sebanyak 50 cadangan yang dikumpulkan dalam Makmal Pengurusan Warga Asing akan dibentangkan kepada Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Khamis ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, cadangan-cadangan itu dijangka dilaksanakan secara berperingkat-peringkat dengan sebahagian darinya mungkin dilaksanakan seawal bulan depan.

Menurutnya, 50 cadangan itu melibatkan tiga aspek utama iaitu penawaran dan permintaan (11 inisiatif), perundangan dan penguatkuasaan (25 inisiatif) serta sistem dan proses (14 inisiatif).
''Hasil makmal ini turut meliputi empat perkara melibatkan analisis data dan kedudukan semasa, impak ekonomi, kajian amalan di luar negara serta perakuan dan cadangan.

''Hasil kajian dalam makmal ini akan diteliti terlebih dahulu dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk Penambahbaikan Pengurusan dan Pemantauan Warga Asing pada hari ini sebelum ia dibentangkan kepada Timbalan Perdana Menteri," kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Makmal Pengurusan Warga Asing dimulakan sejak 23 Mac untuk membincangkan secara terperinci isu pekerja asing bagi mencari mekanisme terbaik serta mendapatkan maklumat tepat dan terkini jumlah sebenar warga asing yang diperlukan dalam industri.

Hishammuddin berkata, matlamat kerajaan adalah untuk mewujudkan sistem pengurusan dan pemantauan warga asing secara efektif dan bersepadu.

''Kita akan memfokus kepada usaha untuk mengurangkan jumlah pendatang asing tanpa izin dan mengurangkan kebergantungan negara terhadap pekerja asing," katanya.

No comments: