Kenapa Kelapa Muda?

Pokok kelapa banyak gunanya. Daripada pucuk hingga akarnya. Tiada satu tanpa guna. Enak pula rasanya. Tinggi nilainya. Airnya digemari semua. Ringkasnya, ia pokok serbaguna. Begitu juga kita, dijadikan Allah swt dengan bakat dan rupa. Nilainya tidak terkata. Manusia, tanpa mengira miskin atau kaya, lembam atau cerdik akalnya, semuanya sama. Semuanya bergantung kepada kita untuk memenfaatnya.

Tepuk dada, iman pengantaranya.

HARGAILAH ORANG MUDA!



Wednesday, March 31, 2010

KERAJAAN BELANJA RM1.16J KOS KAJIAN

UTUSAN MALAYSIA, 30 Mac 2010

Oleh NIZAM YATIM


Najib Tun Razak ketika sidang media di Parlimen, semalam. – BERNAMA


KUALA LUMPUR 29 Mac – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM1.16 juta bagi melaksanakan kajian mengenai Kesan Pekerja Asing Terhadap Ekonomi Malaysia yang disiapkan pada 2004.

Perdana Menteri berkata, kajian yang dilakukan oleh Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) itu mencadangkan pelbagai penambahbaikan dalam proses pengambilan pekerja asing di negara ini.

‘‘Nota Kabinet mengenai kajian ini telah dibentangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri pada 28 Julai 2004.

‘‘Sebanyak tujuh dasar baru telah dilaksanakan berdasarkan laporan kajian ini termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewujudkan pasukan petugas khas untuk meneliti semula semua dasar dan prosedur pengambilan pekerja asing secara menyeluruh,’’ katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis terhadap soalan Liew Chin Tong (DAP-Bukit Bendera) yang meminta kerajaan menyatakan kos kajian itu yang telah dilaksanakan oleh MTEN pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Dasar-dasar baru lain yang telah dilaksanakan, katanya, termasuk ditubuhkan Pusat Kelulusan Setempat untuk memproses permohonan majikan yang lengkap dan layak mengambil pekerja asing.

‘‘Turut diwujudkan jawatankuasa baru yang dianggotai wakil pelbagai kementerian bagi memantau prosedur permohonan kemasukan pekerja asing baru.

‘‘Dasar lain adalah supaya majikan memastikan semua pekerjaan ditawarkan kepada rakyat tempatan terlebih dahulu sebelum mereka mengambil pekerja asing.

‘‘Turut disediakan buku panduan khusus bertajuk Buku Panduan, Dasar, Prosedur dan Syarat-Syarat Penggajian Pekerja Asing di Malaysia untuk rujukan majikan.

‘‘Dasar-dasar lain ialah majikan akan menanggung bayaran levi pekerja asing mulai 1 April 2009,’’ katanya.

Walaupun cadangan dalam kajian ini telah dilaksanakan, kata Perdana Menteri, kerajaan masih lagi prihatin dan sentiasa memantau perkembangan pekerja asing di negara ini.

Tuesday, March 23, 2010

INSENTIF KHAS MARTABAT SEMULA VOKASIONAL


Zakaria Mohd Yusof


BERITA HARIAN, 23 MAC 2010


Kemahiran, minat pelajar perlu dicungkil peringkat awal agar dapat penuhi pasaran kerja

KENYATAAN Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyediakan insentif khas kepada kelompok pelajar yang tercicir amat bertepatan dengan hasrat untuk meningkat modal insan negara.

Inisiatif khas ini ditujukan kepada lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang kurang cemerlang dan gagal untuk menyambung pelajaran, berkemampuan untuk menguasai salah satu kemahiran bagi membuka peluang kerjaya kepada mereka. Menurut statistik pencapaian keputusan SPM 2009, seramai 4,626 daripada 465,853 calon yang menduduki peperiksaan, gagal atau memperoleh gred G.

Dua tahun lalu, pihak kerajaan turut melahirkan rasa bimbang dengan lebih 83,000 pelajar sekolah rendah hingga Tingkatan Lima yang mengalami keciciran daripada sistem persekolahan negara. Ini bermakna, setiap tahun seramai 7,545 pelajar tercicir daripada arus pendidikan.

Walaupun nampak kecil peratusannya, yang pasti, ia tidak seharusnya berlaku jika semua pihak mengambil langkah pemulihan awal setiap tahun. Justeru, cadangan kerajaan untuk menyediakan insentif khas itu amat baik.

Ini menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap masa depan pelajar terbabit dan tidak hanya kepada kelompok yang cemerlang akademik semata-mata. Apatah lagi dalam realiti masyarakat yang terlalu memberi tumpuan kepada kelompok pelajar cemerlang akademiknya. Adalah suatu yang mendukacitakan jika kita masih beranggapan bahawa, hanya pencapaian cemerlang dalam akademik saja sebagai penentu kepada kejayaan dalam kehidupan.

Begitu juga, adalah suatu yang amat tidak tepat sekiranya hanya kumpulan yang cemerlang dalam akademik saja mampu menjadi warga berguna. Jika persepsi ini tidak berubah, usaha kerajaan untuk memastikan pembangunan modal insan berjalan dengan sempurna tidak mungkin akan tercapai. Seterusnya, bilangan keciciran setiap tahun tidak akan mempunyai jalan penyelesaian.

Untuk itu, insentif khas berupa laluan pendidikan menitikberatkan latihan kemahiran vokasional difikirkan mampu untuk membentuk individu agar berdikari dalam menempuh kehidupan tanpa mengambil kira pencapaian akademik.

Bagaimanapun, dicadangkan insentif khas itu perlu dimulakan lebih awal lagi dan tidak menunggu sehingga mereka menamatkan Tingkatan Lima. Menunggu sehingga tamat Tingkatan Lima dikhuatiri terlalu lewat untuk kelompok pelajar lemah akademik ini dihalakan minat ke arah kemahiran vokasional. Ini kerana keciciran pelajar berlaku lebih awal lagi seperti dilaporkan sebelum ini.

Justeru, berikut dikemukakan cadangan untuk pihak pelaksana dasar dalam merangka bentuk insentif khas berkenaan. Apa yang penting ialah insentif khas mestilah mampu memastikan setiap insan mendapat pembelaan sewajarnya untuk kepentingan negara di masa depan.

Insentif khas itu perlulah dimulakan pada peringkat lebih awal lagi bagi mengimbangi tumpuan pendidikan pada peringkat sekolah agar tidak menjurus kepada kecemerlangan akademik semata-mata. Untuk itu, sistem pendidikan perlu menjurus kepada eksplorasi minat pelajar. Guru, di samping memberi tumpuan kepada kecemerlangan akademik, harus juga berusaha mengenal pasti kecenderungan dan minat pelajar. Jika perlu, kad minat pelajar perlu diwujudkan untuk setiap pelajar.

Setiap pelajar hendaklah dipastikan tidak harus berasa tersisih atau disisihkan hanya disebabkan pencapaian akademik tidak memuaskan. Oleh itu, insentif khas juga harus diberi setiap tahun di hari penyampaian hadiah kepada mana-mana pelajar yang didapati mempunyai kelebihan, bakat dan kreativiti dalam bidang kemahiran yang dikenal pasti.

Mata pelajaran kerjaya harus diperkenalkan seawal Tingkatan Satu dengan memperkenalkan bentuk pekerjaan dan kepentingannya berdasarkan keperluan negara. Ini akan memberi gambaran awal bahawa keperluan tenaga kerja negara tidak hanya tertumpu kepada tahap pencapaian akademik yang cemerlang.

Dalam tempoh tiga tahun iaitu dari Tingkatan Satu hingga ke Tingkatan Tiga, pihak sekolah harus mengenal pasti kumpulan yang benar-benar tidak berkemampuan dalam akademik. Kumpulan ini harus dibimbing dan didorong untuk mengenal pasti pilihan bidang kemahiran yang diminati berdasarkan kepada corak keperluan tenaga kerja negara di masa depan mengikut sektor.

Laluan kerjaya setiap bidang kemahiran harus diberi gambaran dengan jelas dalam mata pelajaran kerjaya yang diperkenalkan dalam tempoh tingkatan satu hingga tingkatan tiga itu. Ini bertujuan memberi harapan kepada pelajar yang memilih bidang kemahiran tertentu bahawa, di sana masih ada peluang luas untuk meningkatkan tahap kerjaya dari semasa ke semasa.

Guru kaunseling hendaklah bukan sekadar menyediakan maklumat kerjaya ke institusi pengajian tinggi kepada mereka yang cemerlang akademik, tetapi perlu dilengkapkan diri dengan maklumat berkaitan peluang latihan di Institusi Latihan Kemahiran Awam seperti Institut Kemahiran Belia Negara, Institut Latihan Perindustrian, Institut Kemahiran Mara dan Pusat Giat Mara. Institusi ini bakal menjadi pilihan pelajar mempunyai pencapaian akademik sederhana.

Bagi menarik minat pelajar, seterusnya meyakinkan masyarakat keseluruhannya untuk memilih pendidikan vokasional, tiada jalan lain melainkan berusaha memperkasakan dan memartabatkan kembali pendidikan vokasional ini. Kerajaan sedaya upaya perlu memastikan pendidikan vokasional ini tidak menjadi bentuk pendidikan kelas dua.

Untuk itu, kerajaan disarankan untuk mempertimbangkan langkah seperti mewujudkan pelan pendidikan kemahiran vokasional komprehensif; meningkatkan keupayaan pendidikan vokasional dan jika perlu, melakukan penjenamaan semula ke atas institusi latihan kemahiran vokasional tertentu.

Bagi memastikan kemahiran vokasional yang dimiliki diguna pakai sepenuhnya, kerajaan perlu memastikan lulusan vokasional tempatan tidak hilang. Ini boleh dilakukan dengan menggubal polisi tertentu yang mewajibkan setiap sektor mengutamakan pekerja mahir lulusan vokasional tempatan serta, pada waktu sama mengehadkan penggunaan pekerja asing di setiap sektor secara berperingkat.

Bagi memberi keyakinan kepada pelajar supaya memilih pendidikan vokasional, kerangka kerjaya yang jelas khusus untuk lulusan kemahiran vokasional wajar diwujudkan, meliputi skim perkhidmatan menyeluruh dalam perkhidmatan awam.

Insentif juga harus difikirkan kepada guru vokasional atau guru yang bertanggungjawab terhadap mata pelajaran vokasional. Elaun kritikal serta dipermudahkan urusan kenaikan pangkat patut diberi keutamaan dalam perancangan pendidikan, dan institusi perguruan yang menjadikan pendidikan vokasional sebagai keutamaan perlu diwujudkan segera.

Institusi ini akan menjadi medan untuk melatih guru vokasional yang bukan saja untuk sekolah, bahkan juga untuk meningkatkan kualiti tenaga pengajar di institusi latihan kemahiran. Wujudkan panel pendidikan vokasional yang terdiri daripada wakil di setiap kementerian yang mempunyai pusat latihan kemahiran vokasional mengikut sektor.

Ini akan mengeratkan lagi hubungan di antara pihak sekolah dengan institusi latihan kemahiran berkaitan, seterusnya melicinkan lagi proses kemasukan di setiap institusi latihan kemahiran ini.
Kita harus menerima hakikat bahawa latar belakang akademik tidak seharusnya dijadikan kayu ukur dalam usaha pembinaan modal insan. Pembinaan modal insan hendaklah meliputi setiap individu, dan ini harus difahami semua. Hanya pendekatan, corak pendidikan serta penghayatan semua pihak yang menjadi strategi penentu untuk merealisasi misi.

Dengan bilangan yang menamatkan tingkatan lima setiap tahun melebihi 450,000, sudah pasti kita tidak ketandusan insan sebagai penggerak negara masa depan. Justeru, perancangan untuk memulakan langkah pendidikan vokasional lebih awal adalah suatu yang amat bertepatan dan memantapkan lagi kemasukan ke puluhan institusi latihan kemahiran yang sedia wujud dalam negara.

Kita mengharapkan tiada lagi keciciran selepas latihan kemahiran vokasional diperoleh. Moga usaha mengelakkan keciciran dalam pendidikan akan disusuli dengan usaha untuk memastikan tidak berlakunya keciciran kemahiran pula selepas itu.

Penulis ialah Pensyarah, Jabatan Ukur Bahan, Fakulti Alam Bina Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Saturday, March 20, 2010

INISIATIF KHAS PELAJAR TERCICIR - Lulusan SPM Kurang Cemerlang, Gagal Boleh Ikuti Latihan Kemahiran

BERITA MINGGU, 20 Mac 2010


PUTRAJAYA: Kerajaan akan menyediakan inisiatif khas kepada lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang kurang cemerlang dan gagal untuk menyambung pelajaran dan menguasai kemahiran tertentu, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, inisiatif itu bertujuan memberi peluang kepada pelajar yang gagal menyambung pelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT) menguasai kemahiran yang mampu membuka peluang kerjaya kepada mereka.

Katanya, Kementerian Pelajaran akan berbincang dengan Kementerian Sumber Manusia untuk merangka kaedah terbaik bagi membantu pelajar kurang berjaya atau gagal itu supaya mereka dapat menguasai kemahiran sesuai. “Dengan adanya kemahiran ini, mereka dapat meningkatkan lagi pembelajaran dan kerjaya mereka pada masa akan datang,” katanya pada majlis meraikan pelajar dan sekolah terbaik SPM 2009 di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Wee Ka Siong; Ketua Setiausaha kementerian, Tan Sri Dr Zulkurnain Awang; Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Alimuddin Awang dan Pengarah Lembaga Peperiksaan Malaysia, Datuk Dr Salbiah Ismail.

Daripada 465,853 calon menduduki SPM tahun lalu, 4,626 calon (1.15 peratus) gagal atau memperoleh gred G, manakala seramai 7,987 calon (1.99 peratus) calon memperoleh gred cemerlang (A+, A dan A-) bagi semua mata pelajaran yang diambil.

Sebanyak 10 sekolah dan 16 pelajar cemerlang, termasuk dua pelajar dari Sekolah Sukan Bukit Jalil dan empat pelajar istimewa menerima sijil penghargaan dan piala pada majlis berkenaan. Pemilihan sekolah itu dibuat berdasarkan Gred Purata Sekolah (GPS), iaitu gred mata pelajaran yang diambil pelajar sekolah yang diperoleh sekolah terbabit.

Manakala pelajar terbabit dipilih berdasarkan purata peratusan markah yang diperoleh calon tanpa memberi keutamaan kepada mana-mana mata pelajaran.

Sekolah terbabit ialah Sekolah Menengah (SM) Sains Seremban, Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang; Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Gombak, Sekolah Tun Fatimah, SM Sains Alam Shah, SBPI Rawang, SM Sains Muar, SMPI Temerloh, SM Kebangsaan Jesus Convent, Johor Bahru dan Kolej Tunku Kurshiah, Seremban.

Muhyiddin berkata, mulai tahun ini kementeriannya membahagikan sekolah kepada empat kategori iaitu cemerlang, terbaik, memuaskan dan berpotensi mengikut GPS masing-masing.

“Langkah membahagikan sekolah mengikut kategori ini bertujuan memudahkan sekolah terbabit mengetahui tahap pencapaian mereka dan secara tidak langsung mendorong mereka berusaha mempertingkatkan GPS mereka,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, kementeriannya tidak akan meminggirkan sekolah yang memperoleh pencapaian rendah kerana usaha berterusan akan dilaksanakan untuk merapatkan lagi jurang GPS sekolah terbabit, terutama antara sekolah bandar dan luar bandar.

Pada majlis itu juga, Muhyiddin turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM100,000 kepada Sekolah Jenis Kebangsaan (C) San Yuk, Rawang, Selangor bagi membaikpulih beberapa bahagian sekolah yang musnah dalam kebakaran akibat perbuatan khianat pada 9 Februari lalu.

Sumbangan daripada peruntukan bantuan modal itu disampaikan kepada Guru Besar, Yau Kok Wang.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Dasar dan Pembangunan Pendidikan), Dr Haili Dolhan, berkata program yang akan dijalankan itu nanti akan membantu pelajar kurang cemerlang atau gagal yang tidak dapat menyambung pelajaran di IPT.

Beliau berkata, jumlah pelajar yang dijangka dapat dibantu sukar ditentukan buat masa ini memandangkan istilah kurang cemerlang mempunyai pelbagai tafsiran.

“Kurang cemerlang mungkin jika seseorang pelajar itu ada beberapa A dan ada juga yang gagal, mungkin yang tidak ada A langsung... itu semua boleh dikira kurang cemerlang, berbeza dengan jumlah pelajar yang dikira gagal,” katanya.

SEDIA KAEDAH TERBAIK BANTU PELAJAR GAGAL SPM

MINGGUAN MALAYSIA, 20 mAC 2010

PUTRAJAYA 19 Mac – Kementerian Pelajaran dan Kementerian Sumber Manusia akan berbincang untuk menyediakan kaedah terbaik membantu para pelajar yang kurang berjaya dan gagal dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Kementerian Pelajaran bersama agensi berkaitan akan memikirkan inisiatif untuk membantu mereka menguasai kemahiran sesuai supaya mampu meningkatkan bidang pelajaran dan kerjaya. Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut kaedah inisiatif berkenaan.

‘‘Kementerian Pelajaran juga tidak akan meminggirkan sekolah yang peroleh pencapaian yang rendah.

‘‘Kita akan terus berusaha untuk merapatkan jurang pencapaian gred purata sekolah terutamanya antara sekolah luar bandar dan sekolah bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Anugerah Kecemerlangan SPM 2009 di Kementerian Pelajaran di sini hari ini.

Ketika mengumumkan analisis keputusan SPM 2009 pada 11 Mac lalu, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, seramai 7,987 calon SPM 2009 memperoleh gred cemerlang (A+,A dan/atau A-) bagi semua mata pelajaran yang diduduki.

Bagaimanapun, kata beliau, seramai 364,046 daripada 465,853 calon SPM 2009 yang mendaftar layak mendapat sijil dan daripada jumlah itu, 199,155 calon lulus semua mata pelajaran.

Pada majlis pagi ini, Muhyiddin menyampaikan sijil penghargaan kepada 10 sekolah pencapaian cemerlang SPM 2009, 10 pelajar cemerlang serta empat pelajar istimewa dan dua pelajar sekolah sukan cemerlang.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, pemilihan 10 sekolah cemerlang berkenaan adalah berdasarkan gred purata mata pelajaran yang diambil di sekolah terbabit.

‘‘Pada tahun ini, kementerian telah mengkategorikan sekolah kepada cemerlang, baik, memuaskan dan berpotensi berdasarkan gred purata sekolah masing-masing.

‘‘Tujuannya ialah supaya pengetua tahu kedudukan sekolah dan sentiasa berusaha untuk meningkatkan gred purata sekolah,” katanya.

Beliau turut memuji pencapaian pelajar istimewa yang meskipun kekurangan dari segi fizikal tetapi tetap berusaha gigih untuk mendapatkan keputusan cemerlang.

‘‘Demikian juga dengan pelajar sekolah sukan yang meskipun menghabiskan sebahagian besar masa (dengan bersukan) tetapi masih dapat keputusan terbaik.

‘‘Ini membuktikan penglibatan dalam bidang sukan bukan halangan untuk mencapai kecemerlangan akademik,” kata beliau.

Friday, March 05, 2010

INISIATIF SETIMPAL STRATEGI TARIK SEMULA PEKERJA TEMPATAN

BERITA HARIAN, 5 Mac 2010
Oleh Kamal Ahmad

Cadangan gaji minimum mampu sekat monopoli buruh asing yang tidak kisah terima bayaran gaji murah KEBANGKITAN gerakan menentang kebanjiran pendatang berlaku dengan ketara di beberapa negara Eropah selain Australia. Awal Januari lalu, berlaku rusuhan kaum di Itali antara penduduk tempatan dengan imigran menganggur dari Afrika. Di Perancis, kerajaan pimpinan Nicolas Sarkozy memperkatakan 'identiti Perancis' yang menyebabkan bangkit cadangan mengharamkan pemakaian purdah dan jilbab. Kerajaan Britain pula memperketatkan lagi proses kemasukan imigran, baru-baru ini.

Di Australia, sentimen kebencian terhadap pendatang dari Asia kian membara dan diterjemahkan melalui beberapa siri serangan terhadap pendatang di negara Kangaru itu. Ini antara senario di negara Kesatuan Eropah (EU) serta Australia yang mula cemas dan lemas dengan kebanjiran pendatang asing. Dianggarkan 47 juta pendatang di Eropah dan menyumbang 50 bilion Euro atau 0.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 27 negara anggota EU. Namun dari sudut lain, pendatang dilihat mencuri peluang kerja penduduk tempatan selain membebankan sistem kebajikan, kesihatan dan pendidikan serta dikaitkan pula dengan pertambahan jenayah, kekeliruan identiti serta kebangsaan. Eropah kian dilihat lebih menarik pendatang berbanding Amerika Syarikat. Pada 1990, Eropah menerima 26 juta pendatang berbanding 20 juta ke Amerika. Tersepit dalam dilema antara menerima atau menolak pendatang, pakar ekonomi meramalkan sebanyak satu bilion peluang kerja mahir baru wujud di EU, 20 tahun lagi.

Oleh kerana benua mengalami masalah penurunan kelahiran, EU memerlukan kira-kira 20 juta pendatang berkemahiran dalam tempoh sama untuk membolehkan EU bertahan pada kedudukan sekarang. Sebelum ini ada pelan dinamakan 'Cross Border Connections' dikemukakan Barbara Beck, yang kini Ketua Sumber Manusia EU, yang mengenal pasti potensi di kalangan penduduk negara anggota EU bekerja di negara kelompok sama tanpa membabitkan pendatang dari luar Eropah. Program itu membabitkan daya usaha seluruh anggota EU dan proses memindahkan tenaga kerja dari sebuah negara ke sebuah negara lain, dilakukan secara sistematik. Apakah kaedah 'hubungan merentas sempadan' sesuai dilaksanakan di negara ini? Contohnya, tenaga kerja dari Perak dipindahkan ke Selangor untuk memenuhi keperluan sektor perkilangan. Apabila Selangor dan Pahang berjaya merealisasikan kesepakatan memindahkan sumber bekalan air untuk keperluan di Lembah Klang, maka ini satu kejayaan konsep 'hubungan merentasi sempadan' yang perlu diperinci potensi dalam negeri untuk memenuhi keperluan pelbagai sektor. Begitu juga, suatu ketika dulu berlaku proses sama membabitkan nelayan dari Terengganu dan Kelantan bergerak melepasi sempadan untuk memenuhi keperluan tenaga mahir itu di Pahang serta Johor. Sama halnya perpindahan pesawah dari Tanjung Karang ke Seberang Perak dan dari Kedah ke utara Perak dan Rompin, Pahang. Ia juga satu kejayaan proses hubungan merentasi sempadan.

Namun asas kepada kesanggupan seorang tenaga mahir berhijrah ke tempat baru berkait rapat dengan gaji, kemudahan disediakan seperti pendidikan anak serta perubatan selain faktor persekitaran. Lantas, sangat bijak apabila Kementerian Sumber Manusia akan mengumumkan kadar gaji minimum baru pekerja kawalan keselamatan yang ketika ini dimonopoli puluhan ribu 'gurkha' dan 'Bangla'. Inisiatif yang dicadangkan Majlis Penetapan Gaji itu mampu menggalakkan penyertaan tenaga kerja tempatan mengisi kerja berkenaan di zon perindustrian dan pembangunan seluruh negara. Kementerian yang melihat kemampuan potensi tempatan untuk menguasai semula sektor kawalan keselamatan kini memperkukuhkan komitmen dengan mewujudkan Program Latih dan Ganti.

Timbalan Menterinya, Datuk Maznah Mazlan, berkata kementerian juga dalam proses mewujudkan komuniti peladangan moden yang mampu menarik sebahagian lagi tenaga kerja tempatan bekerja di sektor itu. Antara pendekatannya, majikan membina rumah lebih sempurna termasuk mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik air serta lengkap perabot serta kipas angin. Perhubungan jalan, liputan telefon, kemudahan riadah, pusat asuhan kanak-kanak, tempat ibadat serta kemudahan pendidikan dan kesihatan juga dipertingkatkan melalui program itu.

"Kementerian menyasarkan semua ladang menyediakan kemudahan itu menjelang 2015. Pengurusan ladang kini sudah menghantar jadual pelaksanaan program itu untuk dipantau kementerian," katanya. Malah di ladang tertentu, majikan menawarkan skim pemilikan rumah dan dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), semua kemudahan perhubungan jalan raya, bekalan air dan elektrik ke ladang mesti dipertingkatkan supaya memenuhi keperluan pekerja tempatan serta dikongsi penduduk kawasan berhampiran.

"Sekurang-kurangnya 1,000 pegawai pembantu perubatan diperlukan untuk berkhidmat di ladang seluruh negara.

Tenaga ini akan dilatih dengan kerjasama Kementerian Kesihatan," katanya. Datuk Seri Najib Razak menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk Menteri Sumber Manusia dan kementerian itu, menurunkan kebergantungan negara kepada pekerja asing. Pada 2008, ada dua juta pekerja asing di negara ini. Angka itu turun kepada 1.6 juta tahun lalu dan KPI untuk 2010 ialah mengurangkannya sehingga 1.4 juta orang. Adalah bijak jika kementerian meneroka potensi yang sekian lama 'tersembunyi' iaitu kira-kira 3.6 juta suri rumah sepenuh masa yang mampu membantu mengisi kekosongan jawatan di pelbagai sektor.

Hakikatnya, ramai wanita yang meninggalkan dunia kerjaya apabila memasuki gerbang perkahwinan atau selepas melahirkan anak. Mereka sebahagian besar berkelulusan institusi pengajian tinggi (IPT) tetapi kemahiran dan kepakaran mereka 'berkubur' mulai hari mereka menjadi suri rumah sepenuh masa. Jika ada program khas untuk menarik mereka kembali bekerja dan contohnya, 30 peratus mengambil peluang itu maka ada pertambahan sehingga 1.08 juta orang baru dalam pasaran tenaga kerja di kalangan warga tempatan. Potensi yang boleh dimanfaatkan juga di kalangan pesara (0.4 juta) yang rata-rata masih tegap dan boleh menyumbang bakti memandangkan taraf kesihatan warga negara ini semakin baik.

Difahamkan, Kementerian Sumber Manusia akan mengemukakan cadangan menggubal Akta Pekerja 1955 dengan memasukkan hak yang perlu dinikmati pekerja separuh masa. Ia termasuk potensi sumber dari kalangan pelajar dan siswa IPT (2.56 juta), suri rumah dan pesara. Ada kira-kira 100,000 penduduk yang tidak upaya bekerja manakala 40,000 tidak minat bekerja dan 300,000 warga dengan sikap dan status yang pelbagai. Maznah memberitahu, kementerian melalui Perkeso juga menubuhkan Pusat Pemulihan di Melaka untuk pekerja yang berstatus hilang upaya kekal menjalani latihan dan pemulihan supaya mampu kembali ke sektor pekerjaan.

Malaysia juga wajar mengikut contoh sistem imigresen di Amerika dalam syarat kemasukan pekerja asing berdasarkan pendidikan, kemahiran dan keperluan tenaga di pasaran. Melalui dasar itu, Amerika menerima kemasukan 55 peratus pendatang yang mematuhi syarat berkenaan berbanding lima peratus di EU manakala 85 peratus adalah pendatang tidak berkemahiran. Ditanya sentimen penduduk tempatan terhadap warga kerja asing, Maznah berkata, setakat ini tidak ada pernyataan yang ketara kecuali kebimbangan perlakuan jenayah yang turut membabitkan kelompok itu.

"Penduduk tempatan bukan setakat ada toleransi bahkan menunjukkan sikap menerima. Namun dalam konteks 'perhubungan merentasi sempadan' ini, kementerian akan memperincikan potensi sumber tenaga kerja di sesuatu zon dengan keperluan zon pembangunan di tempat lain selain memanfaatkan potensi setempat," katanya. Dan pastinya, desas-desus menyatakan Kementerian Sumber Manusia akan membentangkan cadangan baru lebih drastik berhubung dasar pengambilan tenaga kerja asing pasti membantu menangani kebanjiran sekali gus melegakan keresahan serta kekhuatiran penduduk tempatan yang kian lemas dihimpit pendatang asing itu.