Kenapa Kelapa Muda?

Pokok kelapa banyak gunanya. Daripada pucuk hingga akarnya. Tiada satu tanpa guna. Enak pula rasanya. Tinggi nilainya. Airnya digemari semua. Ringkasnya, ia pokok serbaguna. Begitu juga kita, dijadikan Allah swt dengan bakat dan rupa. Nilainya tidak terkata. Manusia, tanpa mengira miskin atau kaya, lembam atau cerdik akalnya, semuanya sama. Semuanya bergantung kepada kita untuk memenfaatnya.

Tepuk dada, iman pengantaranya.

HARGAILAH ORANG MUDA!



Tuesday, February 08, 2011

Banjir: Lebih RM189.3 juta untuk baiki jalan rosak

UTUSAN MALAYSIA

08/02/2011 9:35pm

GEMAS 8 Feb. – Lebih RM189.3 juta diperlukan untuk membaiki infrastruktur jalan raya yang rosak akibat banjir di Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Johor dan Terengganu, kata Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor.

Beliau berkata kos itu dianggarkan untuk membaiki jalan raya rosak di kawasan yang air banjir sudah surut manakala kadar kerosakan di kawasan yang masih ditenggelami air seperti di sesetengah tempat di Johor belum lagi diketahui.

"Saya sudah arahkan kerja pembaikan dimula secepat mungkin, kering sahaja banjir kita mulakan kerja. Setakat ini bajet terbesar diminta oleh Johor iaitu sebanyak RM88.7 juta,” katanya ketika melawat kerja-kerja membaiki jambatan Merdeka yang merentangi Sungai Kelamah di sini hari ini.

Jambatan yang dibina pada tahun 1950-an itu mengalami kerosakan teruk akibat dirempuh arus deras Sungai Kelamah semasa banjir baru-baru ini dan kos untuk membaikinya dianggarkan RM450,000.

"Saya dah arahkan semua pengarah Jabatan Kerja Raya di negeri masing-masing yang terlibat dengan banjir untuk melihat kerosakan jalan raya di negeri mereka.

Cerun-cerun harus dibaiki dan jambatan yang rosak perlu dibaik pulih sehingga benar-benar selamat untuk digunakan oleh rakyat,” katanya.

Secara keseluruhan, katanya bajet yang diminta ialah RM88.7 juta untuk Johor, RM60.7 juta (Terengganu), RM25.8 juta (Negeri Sembilan), RM12.4 juta (Melaka) dan RM1.7 juta (Pahang).

Daripada RM189.3 juta itu, sejumlah RM156.6 juta diguna untuk membaik pulih 240 jalan, RM30.4 juta untuk pembaikan 52 buah cerun dan RM2.3 juta untuk 19 kerja-kerja mengecat jalan, membaiki pembentung dan longkang.

Katanya, secara perbandingan, kos pembaikan jalan lebih banyak dibuat untuk jalan-jalan persekutuan iaitu sebanyak 87.6 peratus berbanding hanya 12.4 peratus untuk jalan negeri.

"Saya akan kemukakan pada jemaah menteri esok untuk minta peruntukan tambahan supaya dapat disalurkan kepada JKR negeri untuk kerja pembaikan secepat yang mungkin dan yang paling dititikberatkan adalah keselamatan pengguna kerana itu kerja membaiki cerun diutamakan dahulu,” katanya.

Katanya beliau juga telah memohon peruntukan RM9.9 juta untuk membaiki kerosakan infrastruktur jalan raya di Kedah dan Perlis akibat banjir pada hujung tahun lepas. - Bernama