Kenapa Kelapa Muda?

Pokok kelapa banyak gunanya. Daripada pucuk hingga akarnya. Tiada satu tanpa guna. Enak pula rasanya. Tinggi nilainya. Airnya digemari semua. Ringkasnya, ia pokok serbaguna. Begitu juga kita, dijadikan Allah swt dengan bakat dan rupa. Nilainya tidak terkata. Manusia, tanpa mengira miskin atau kaya, lembam atau cerdik akalnya, semuanya sama. Semuanya bergantung kepada kita untuk memenfaatnya.

Tepuk dada, iman pengantaranya.

HARGAILAH ORANG MUDA!



Friday, October 28, 2011

Audit: CPC dikeluar tapi pembinaan belum siap

Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) telah dikeluarkan bagi Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) wilayah Timur di Besut, Terengganu walaupun masih terdapat kerja yang belum disiapkan/tidak disempurnakan.

NONEAntaranya, menurut laporan Ketua Audit Negara, ialah kerja kemasan dalam rumah sampah dan kerja lanskap serta pembinaan longkang di bahagian belakang rumah sampah.

Menurutnya lagi, CPC itu dikeluarkan untuk ILIm Besut pada 31 Disember 2009.

"Bilangan sebenar kerja yang belum disiapkan/tidak disempurnakan tidak dapat dikenalpasti kerana Senarai Kecacatan tidak disediakan semasa CPC dikeluarkan," laporan audit dipetik.

Bagaimanapun, institut tersebut kini telah disiapkan dan diserahkan pada 11 Februari tahun lalu.

Menurut laporan itu lagi, pembinaan ILIM Besut, dan Pusat Latihan Islam (PLI) Lawas, Sarawak lewat siap dari tarikh yang ditetapkan.

NONEKedua-duanya merupakan antara sembilan projek yang diperuntukan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di bawah Rancangan Malaysia ke-9 (RMK-9) dan Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua, yang melibatkan jumlah semua projek sebanyak RM232.78 juta.

Laporan tersebut mendapati kontraktor bagi ILIM Besut diarahkan menyiapkan pembinaan pada 14 Jun 2009. Bagaimanapun, tarikh sebenar siap pada 31 Disember 2009 - lebih enam bulan dari tarikh asal.

Laporan itu mencatatkan kontraktor berkenaan telah memohon tempoh lanjutan masa untuk menyiapkan projek sebanyak dua kali antaranya disebabkan kenaikan harga bahan binaan, perubahan kerja dan membaiki kerosakan akibat ribut dan hujan lebat.

Manakala bagi Pusat Latihan Islam, Lawas pula tempoh yang sepatutnya disiapkan pada 14 Oktober 2010.

Bagaimanapun, berdasarkan laporan audit mendapati, setakat 24 Januari 2011 (tarikh akhir lanjutan masa) kemajuan kerja pembinaan mencecah 65 peratus - kelewatan lebih tiga bulan dari tarikh asal.

NONE"Antara sebab lanjutan masa diluluskan ialah kelewatan mendapat kelulusan Perintah Pembangunan dari Pihak Berkuasa Perancang Negeri dan kerja pembaikan cerun," laporan itu dipetik.

Berdasarkan Pakej Ransangan Ekonomi Kedua, Jakim diberi peruntukan berjumlah RM10.5juta termasuk bayaran perunding untuk melaksanakan projek PLI Lawas.

Sehubungan itu, laporan audit berpendapat perancangan perlu dibuat secara teratur dan pemantapan perlu dipertingkatkan bagi memastikan kerja disiapkan mengikut jadual.

"Sijil Perakuan Siap Kerja tidak sepatutnya dikeluarkan oleh JKR selagi kerja belum diselesaikan sepenuhnya.

"Selain itu, lanjutan masa hendaklah dibuat dalam tempoh yang ditetapkan dan semua perubahan kerja yang terlibat hendaklah diluluskan terlebih dahulu sebelum dilaksanakan," kata laporan itu lagi.

Thursday, October 27, 2011

Peserta LMP GIATMARA dikesan bukan miskin

Sumber dari www.malaysiakini.com.my
Lawatan Jabatan Audit Negara ke rumah peserta Program Latihan Untuk Menjana Pendapatan (LMP) yang diuruskan oleh GIATMARA, mendapati ada peserta yang dipilih, bukan daripada golongan miskin atau miskin tegar.

Ia berdasarkan keadaan rumah kediaman peserta serta kemampuan peserta memiliki kenderaan, mempunyai perusahaan burung walit dan mempunyai set perabot.

NONE"Sehubungan itu, status kemiskinan peserta dan kesahihan peserta kursus ini adalah kurang tepat," demikian menurut laporan maklum balas Perbendaharaan terhadap isu utama dalam laporan Ketua Audit Negeri mengenai aktiviti badan berkanun bagi 2010.

Dalam jawapannya, GIATMARA menjelaskan bahawa semasa kelulusan kursus, senarai peserta adalah berdasarkan senarai e-kasih.

Namun, katanya, semasa tarikh kursus dilaksanakan, terdapat peserta yang tidak hadir atau menarik diri atas faktor/sebab di luar kawalan GIATMARA.

"Oleh kerana kelulusan peruntukan pelaksanaan kursus telah dikeluarkan dan bagi mengelak pembaziran, GIATMARA telah mengambil inisiatif mengisi kekurangan peserta dengan kerjasama pemimpin tempatan serta-merta dengan peserta di kawasan setempat," jelas GIATMARA dalam laporan tersebut.

Di samping itu, katanya, semasa tempoh pelaksanaan program, GIATMARA juga diminta mengambilkira permohonan peserta yang dinamakan sendiri oleh pemimpin-pemimpin tempatan.

"Faktor-faktor ini menyebabkan GIATMARA tidak dapat memenuhi keperluan menentukan status peserta dari segi tahap kemiskinan, tersenarai dalam e-kasih dan pengesahan pegawai bertanggungjawab," jelas GIATMARA.

NONEMenurut laporan itu lagi, Jabatan Audit Negara juga mendapati objektif LMP yang dilaksanakan di tempat yang dilawati, tidak dapat dicapai sepenuhnya.

Katanya, seramai 61 peserta yang ditemubual, gagal menjana pendapatan hasil latihan dan kursus yang diterima.

"Keadaan ini disebabkan beberapa faktor seperti kursus yang ditawarkan tidak sesuai digunakan untuk memulakan perniagaan, peserta tidak tahu memasarkan produk, kekurangan modal dan tidak mempunyai keyakinan untuk memulakan perniagaan," tambahnya.

Menurut laporan itu lagi, sebelas kursus yang dilaksanakan dalam program LMP dengan perbelanjaan RM1.22 juta adalah tidak bersesuaian dengan keadaan tempat kediaman peserta kerana tiada kemudahan elektrik.

"Pada pandangan Audit, GIATMARA perlu menilai sesuatu kursus dari segi kesesuaian terhadap peserta, tempat dan potensi program untuk menjana pendapatan.

Dalam penjelasannya, GIATMARA berkata semasa kelulusan program, tiada sebarang penetapan unjuran pencapaian program yang ditetapkan.

yss giatmara skills training 190105 officialsNamun, katanya, melalui pemantauan ke atas bekas peserta kurus yang dijalankan setakat 14 Disember 2010 mendapati seramai 4,960 bekas peserta (41.3 %) telah memulakan perniagaan dengan purata penambahan pendapatan bulanan RM500 sebulan.

"GIATMARA mengambil maklum bahawa program pembasmian kemiskinan adalah program yang sukar dan GIATMARA masih meneruskan pemantauan dan kesinambungan program melalui Program Pembangunan Usahawan dan Inkubator GIATMARA," tambahnya.

GIATMARA berharap melalui kaedah tersebut, dapat membantu meningkatkan kesedaran keusahawanan yang berterusan kepada bekas peserta LMP untuk membolehkan mereka keluar daripada belenggu kemiskinan.

Wednesday, October 26, 2011

Subjek pra vokasional diperkenal di sekolah kebangsaan tahun depan

UTUSAN MALAYSIA 26 OKTOBER 2011

SINGAPURA 25 Okt. - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Kementerian Pelajaran akan memperkenalkan subjek pra vokasional di sekolah kebangsaan mulai tahun depan.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, projek perintis itu akan dimulakan di 50 buah sekolah terpilih di seluruh negara bagi pelajar tingkatan satu hingga tiga.

"Subjek asas vokasional itu akan ditawarkan kepada pelajar yang berminat. Ia bagi membina minat pelajar dalam bidang vokasional di peringkat awal.

"Kalau selepas itu, mereka berminat untuk menyambung dalam bidang tersebut, mereka boleh menyambung pendidikan di sekolah-sekolah vokasional dan seterusnya sehingga ke peringkat lebih tinggi," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Insinerator Tuas, di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, Malaysia juga boleh belajar bagaimana Singapura memperkasakan pendidikan vokasional di republik itu.

"Kita boleh pelajari daripada mereka, mungkin menerusi perbincangan di peringkat pegawai. Di Singapura, pelajar vokasional mengikuti pendidikan dalam bentuk amali sebanyak 70 peratus dan selebihnya adalah teori," katanya.

Menurutnya, guru-guru yang akan mengajar subjek tersebut terdiri daripada guru biasa yang memang mempunyai pengetahuan dan latihan asas dalam bidang vokasional.

Sebelum itu, Muhyiddin turut melawat Institut Pendidikan Teknikal dan diberi taklimat mengenai subjek dan cara pengendalian pendidikan vokasional di republik ini.

Ditanya adakah kerajaan akan memperluaskan sistem insinerator di Malaysia, Timbalan Perdana Menteri berkata, Jawatankuasa Kabinet Pengurusan Sisa Pepejal yang dipengerusikan beliau dan pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan mencari dan menilai sistem pelupusan yang terbaik dan selamat bagi negara.

"Kita telah melihat Singapura melaksanakan sistem pelupusan sisa pepejal seperti insinerator dan kita akan kaji yang terbaik dan selamat untuk kita," katanya.

Mengenai hasil lawatan rasmi dua hari yang berakhir hari ini, Muhyiddin berpuas hati dengan hasil pertemuan dan perbincangan dengan pemimpin Singapura - UTUSAN

Saturday, September 10, 2011

Dah lama benar tak jenguk blog ni...

Kurikulum vokasional ikut spesifikasi luar negara

UTUSAN MALAYSIA 12 SEPTEMBER 2011

LONDON 9 Sept. - Kurikulum baru pendidikan vokasional yang akan dikuatkuasakan pada 2013 mempunyai spesifikasi dan standard yang diiktiraf oleh pelbagai agensi dalam dan luar negara.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu, kurikulum itu bersifat modular, berasaskan kecekapan, mengutamakan aspek amali dan anjal.

Selain itu, jelasnya, kurikulum yang akan dikenali sebagai Kurikulum Kolej Vokasional (KKV) itu merangkumi elemen kreativiti dan inovasi, keusahawanan, kemahiran insaniah dan kemahiran teknologi yang digabung jalin dengan keperluan industri serta badan profesional.

"Kita memperkenalkan sistem dan kurikulum baru ini kerana tidak berpuas hati dengan kurikulum sedia ada," katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, KKV adalah kurikulum pendidikan khusus untuk pelajar yang mengikuti pendidikan dan latihan vokasional peringkat menengah atas dalam persekitaran pembelajaran berorientasikan pekerjaan yang menekankan kepada keperluan industri sejajar dengan perkembangan pembangunan negara.

Katanya, ia dibangunkan berteraskan kecekapan yang dihurai dalam bentuk standard kandungan (content standards), standard pembelajaran (learning standards) dan kriteria pencapaian (performance criteria).

Menjelaskan lebih lanjut katanya, standard kandungan adalah pernyataan spesifik yang pelajar patut ketahui dan boleh lakukan dalam satu tempoh pengajian merangkumi aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai.

"Standard pembelajaran pula satu penetapan kriteria atau indikator kualiti pembelajaran dan pencapaian yang boleh diukur bagi setiap standard kandungan. Kriteria pencapaian pula adalah pernyataan yang mengkhususkan kepada perkara yang perlu ditaksir dan tahap pencapaian yang diperlukan," katanya.

Jelasnya, struktur KKV mengandungi dua komponen iaitu akademik dan vokasional dengan komponen akademik meliputi pengajian Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, bahasa-bahasa perniagaan antarabangsa seperti Mandarin dan Perancis, Sejarah Malaysia, Matematik, Sains, Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral.

"Penumpuan jam kredit komponen akademik pada tahap sijil adalah 30 peratus dan penumpuan jam kredit komponen akademik pada tahap diploma adalah 20 peratus. Jam kredit komponen vokasional memberikan penumpuan jam kredit 70 peratus pada tahap sijil dan 80 peratus pada tahap diploma.

"Konsep KKV juga memberi fokus kepada Production Based Education (PBE), Competency Based Education (CBE) dan On-Job Training (OJT) untuk membolehkan lulusan vokasional mendapat permintaan dalam pasaran kerja," katanya.

Malah, tegas beliau, penekanan juga diberikan kepada konsep School Enterprise (SE) untuk menyediakan pelajar menjadi usahawan sekiranya mereka ingin bekerja sendiri.

Beliau memberitahu, pendekatan pengajaran dan pembelajaran (P&P) dalam KKV dijalankan mengikut sistem Semester Anjal yang membenarkan seseorang murid menamatkan pengajian Tahap 4 (Diploma Kolej Vokasional) dalam tempoh sama ada tiga tahun setengah atau empat tahun berasaskan saringan.

Menyentuh tentang peperiksaan katanya, Pentaksiran Berasaskan Standard Kompetensi Vokasional (PBSKV) adalah kaedah untuk mengukur pelbagai kecekapan sebagaimana yang ditetapkan oleh kurikulum itu. - utusan

Sistem baru pendidikan vokasional



Muhyiddin Yassin ditemani isterinya, Puan Sri Norainee Abdul Rahman bersalaman dengan Pengetua London College of Fashion, Prof. Frances Corner di kolej berkenaan di London, semalam.

UTUSAN MALAYSIA, 10 SEPTEMBER 2011

LONDON 9 Sept. - Sistem dan kurikulum baru pendidikan vokasional yang membolehkan pelajar memilih jurusan kemahiran seawal usia 13 tahun, dan mendapat diploma secara jalan pintas melalui pewujudan Kolej Vokasional (KV) selepas tingkatan tiga, akan dikuatkuasakan pada 2013.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkembangan baru yang dijangka mengubah landskap pendidikan negara itu bukan sahaja mengarusperdanakan aliran kemahiran vokasional, malah akan mengubah komposisi modal insan daripada yang berorientasikan lepasan akademik sekolah menengah harian kepada lepasan aliran vokasional, sesuai dengan amalan di negara maju.

"Komposisi akademik akan dikurangkan dan kita akan menambah amalan industri atau amali teknikal kepada pelajar kita," katanya yang juga Menteri Pelajaran.

Ketika mengumumkan perkara itu kepada wartawan di sini hari ini, apa yang beliau istilahkan sebagai Transformasi Pendidikan Vokasional (TPV) itu akan melibatkan dua aspek penting iaitu program Pendidikan Asas Vokasional (PAV) dan KV.

Katanya, PAV akan ditawarkan kepada pelajar menengah rendah seawal tingkatan satu sehingga tingkatan tiga, iaitu lepasan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang cenderung kepada pendidikan bercorak amali.

Sistem PAV, ujarnya, akan dilaksanakan selama tiga tahun di sekolah menengah kebangsaan (SMK) tepilih berdasarkan beberapa tahap.

Ujarnya, tahap tingkatan satu, pelajar PAV akan mengikut asas pendidikan vokasional seterusnya pelajar tingkatan dua dibenarkan memilih satu program khusus sehingga mencapai Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap satu.

Pelajar tingkatan tiga pula boleh meneruskan program yang dipilih sehingga mencapai SKM tahap dua.

Lepasan PAV, kata Muhyiddin, boleh menyambung pelajaran ke institusi latihan kemahiran awam (ILKA), swasta (ILKS) atau Kolej Vokasional (KV) yang direka bentuk untuk pelajar menengah atas.

Tambahnya, ia akan dilaksanakan selama empat tahun sehingga peringkat diploma mengguna pakai sistem semester dengan kurikulumnya adalah berasaskan kemahiran yang ketat.

"Kurikulumnya nanti akan merujuk kepada Piawaian Kemahiran Guna Tenaga Kebangsaan (NOSS), SKM dan lain-lain bentuk persijilan yang diiktiraf pihak industri," katanya.

Menurut Muhyiddin, kurikulum KV mempunyai dua komponen iaitu 70 peratus kemahiran vokaisonal dan 30 peratus akademik bagi memenuhi falsafah pendidikan kebangsaan.

Pada akhir tahun keempat, pelajar sudah memperolehi Diploma Kolej Vokasional, iaitu selari dengan kepatuhan SKM Tahap 4, ujarnya.

"KV akan memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran insaniah dan kemahiran keusahawanan. Latihan industri akan diperkenalkan pada beberapa peringkat pengajian, iaitu asas pendidikan berasaskan pengeluaran selama sebulan, diikuti tambahan tiga hingga enam 6 bulan untuk praktikal di syarikat industri," katanya.

Bagi meningkatkan lagi kebolehpasaran pelajar, jelasnya, Kementerian Pelajaran juga akan memperkenalkan Bahasa Mandarin atau Arab Komunikasi di bawah TPV.

Bagi memantapkan dan melestarikan penerimaan keseluruhan sistem dan kurikulum di bawah TPV itu, Muhyiddin menegaskan, mulai sesi persekolahan 2012 kementerian akan melaksanakan projek rintis PAV di 15 buah SMK dan KV di 15 buah SMV.

"Selepas itu, PAV dan KV akan diperluas pada tahun 2013, dengan 150 buah SMK menawarkan PAV dan78 buah SMV akan dinaik taraf kepada KV," katanya. - utusan

Tuesday, February 08, 2011

Banjir: Lebih RM189.3 juta untuk baiki jalan rosak

UTUSAN MALAYSIA

08/02/2011 9:35pm

GEMAS 8 Feb. – Lebih RM189.3 juta diperlukan untuk membaiki infrastruktur jalan raya yang rosak akibat banjir di Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Johor dan Terengganu, kata Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor.

Beliau berkata kos itu dianggarkan untuk membaiki jalan raya rosak di kawasan yang air banjir sudah surut manakala kadar kerosakan di kawasan yang masih ditenggelami air seperti di sesetengah tempat di Johor belum lagi diketahui.

"Saya sudah arahkan kerja pembaikan dimula secepat mungkin, kering sahaja banjir kita mulakan kerja. Setakat ini bajet terbesar diminta oleh Johor iaitu sebanyak RM88.7 juta,” katanya ketika melawat kerja-kerja membaiki jambatan Merdeka yang merentangi Sungai Kelamah di sini hari ini.

Jambatan yang dibina pada tahun 1950-an itu mengalami kerosakan teruk akibat dirempuh arus deras Sungai Kelamah semasa banjir baru-baru ini dan kos untuk membaikinya dianggarkan RM450,000.

"Saya dah arahkan semua pengarah Jabatan Kerja Raya di negeri masing-masing yang terlibat dengan banjir untuk melihat kerosakan jalan raya di negeri mereka.

Cerun-cerun harus dibaiki dan jambatan yang rosak perlu dibaik pulih sehingga benar-benar selamat untuk digunakan oleh rakyat,” katanya.

Secara keseluruhan, katanya bajet yang diminta ialah RM88.7 juta untuk Johor, RM60.7 juta (Terengganu), RM25.8 juta (Negeri Sembilan), RM12.4 juta (Melaka) dan RM1.7 juta (Pahang).

Daripada RM189.3 juta itu, sejumlah RM156.6 juta diguna untuk membaik pulih 240 jalan, RM30.4 juta untuk pembaikan 52 buah cerun dan RM2.3 juta untuk 19 kerja-kerja mengecat jalan, membaiki pembentung dan longkang.

Katanya, secara perbandingan, kos pembaikan jalan lebih banyak dibuat untuk jalan-jalan persekutuan iaitu sebanyak 87.6 peratus berbanding hanya 12.4 peratus untuk jalan negeri.

"Saya akan kemukakan pada jemaah menteri esok untuk minta peruntukan tambahan supaya dapat disalurkan kepada JKR negeri untuk kerja pembaikan secepat yang mungkin dan yang paling dititikberatkan adalah keselamatan pengguna kerana itu kerja membaiki cerun diutamakan dahulu,” katanya.

Katanya beliau juga telah memohon peruntukan RM9.9 juta untuk membaiki kerosakan infrastruktur jalan raya di Kedah dan Perlis akibat banjir pada hujung tahun lepas. - Bernama