Kenapa Kelapa Muda?

Pokok kelapa banyak gunanya. Daripada pucuk hingga akarnya. Tiada satu tanpa guna. Enak pula rasanya. Tinggi nilainya. Airnya digemari semua. Ringkasnya, ia pokok serbaguna. Begitu juga kita, dijadikan Allah swt dengan bakat dan rupa. Nilainya tidak terkata. Manusia, tanpa mengira miskin atau kaya, lembam atau cerdik akalnya, semuanya sama. Semuanya bergantung kepada kita untuk memenfaatnya.

Tepuk dada, iman pengantaranya.

HARGAILAH ORANG MUDA!



Wednesday, January 27, 2010

SEORANG MAUT, 2 PARAH TANGKI GAS MELETUP

BERITA HARIAN 27 Januari 2010
Oleh Hamid Salleh bhkt@bharian.com.my

PERMAISURI: Seorang lelaki warga Bangladesh terbunuh, manakala dua lagi lelaki masing-masing berbangsa Cina dan India cedera parah dalam kejadian tangki gas meletup di sebuah kilang kelapa sawit di Felda Chalok, di sini, pagi semalam. Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, tiga pekerja sebuah syarikat kontraktor dikatakan sedang melakukan kerja kimpalan untuk membaiki tangki gas di kilang kelapa sawit milik Felda Palm Industries Sdn Bhd itu, sebelum ia meletup.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Shaik Othman Abdul Hamid, berkata dalam kejadian itu, dua mangsa terpelanting, termasuk warga Bangladesh yang tercampak beberapa meter manakala seorang lagi terjatuh dalam tangki gas berkenaan. Beliau berkata, polis belum mendapat butir peribadi mangsa yang terbabit dalam kejadian itu, tetapi seorang daripadanya dikenali sebagai Tee Hen Long, 35, melecur 35 peratus di badan dan sedang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

"Mayat mangsa warga Bangladesh yang parah di kepala dihantar ke Hospital Setiu untuk bedah siasat, manakala seorang lagi mangsa dirujuk ke HSNZ untuk rawatan lanjut," katanya.

Shaik Othman berkata, ketiga-tiga mangsa yang berada di atas penutup tangki gas setinggi 12.7 meter bagi membaiki kerosakan pada tangki berkenaan, melambung tinggi selepas ia meletup, sebelum terjatuh ke tanah dan dalam tangki.

"Difahamkan ketika mangsa melakukan kerja kimpalan, tiba-tiba baki gas yang terkandung dalam tangki itu menyambar api kimpalan menyebabkan berlaku letupan," katanya. Shaik Othman berkata, polis yang menerima laporan mengenai kejadian itu bergegas ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan.