Kenapa Kelapa Muda?

Pokok kelapa banyak gunanya. Daripada pucuk hingga akarnya. Tiada satu tanpa guna. Enak pula rasanya. Tinggi nilainya. Airnya digemari semua. Ringkasnya, ia pokok serbaguna. Begitu juga kita, dijadikan Allah swt dengan bakat dan rupa. Nilainya tidak terkata. Manusia, tanpa mengira miskin atau kaya, lembam atau cerdik akalnya, semuanya sama. Semuanya bergantung kepada kita untuk memenfaatnya.

Tepuk dada, iman pengantaranya.

HARGAILAH ORANG MUDA!



Saturday, April 17, 2010

MAJIKAN TAMAK PUNCA LAMBAKAN PEKERJA ASING

Minda Pengarang

BERITA HARIAN, 17 April 2010

USAHA mengurangkan kebergantungan negara kepada tenaga kerja asing memerlukan pelan tindakan bersepadu. Ia bukan tanggungjawab satu atau dua kementerian. Apabila kerajaan mengambil daya usaha melaksanakan enam Bidang Keberhasilan Keutamaan Negara (NKRA), maka wajar juga jika dikaji serta diteliti keperluan mewujudkan makmal khas merumus langkah membanteras pendatang asing tanpa izin dan mengawal kemasukan pekerja asing berdaftar.

Kedua-dua golongan ini sebenarnya mengancam kepentingan negara dalam pelbagai bentuk selain meningkatkan kos pentadbiran kerajaan dan menghilangkan daya saing warga tempatan untuk memperoleh pekerjaan di tanah air sendiri. Ini belum dikira soal pelbagai kesan sosial yang mereka sumbangkan. Kehadiran mereka juga mesti dilihat dari sudut keselamatan, kesejahteraan masyarakat dan kemakmuran negara yang mereka nikmati. Majikan yang membawa masuk pula mungkin ada agenda tersendiri sama ada ekonomi, sosial dan mungkin ada elemen politik.

Apabila Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang mengkaji penstrukturan semula kadar levi pekerja asing termasuk menaikkan kadarnya, langkah itu cukup baik dan mesti dilaksanakan. Mungkin kadar levi lebih tinggi tidak akan mengekang kecenderungan tegar sesetengah majikan tempatan daripada mengambil pekerja asing. Selagi majikan ada sifat tamak dan tidak mahu memahami serta enggan bertanggungjawab maka apa saja dasar yang dilaksanakan kerajaan berhubungan permasalahan ini sukar mencapai matlamat. Mereka sewajarnya lebih matang dan memahami dasar serta disusuli dengan tanggungjawab bukan mementingkan soal keuntungan semata-mata.

Justeru, usaha mahu membanteras pendatang asing tanpa izin serta mengurangkan pergantungan kepada tenaga kerja asing tidak akan tercapai kecuali mendapat kerjasama semua pihak khususnya majikan selain rakyat. Majikan mesti mengetahui bahawa kerajaan ada kerangka yang mengandungi dasar, perundangan, peraturan dan penguatkuasaan serta operasi dalam soal ini. Tetapi jika mereka bersifat pasif (sengaja tidak mahu tahu untuk melepaskan diri) terhadap keempat-empat elemen itu dan meletakkan semua komitmen menanganinya pada bahu kerajaan maka sukar untuk menguruskan permasalahan dua golongan berkenaan.

Mesti diingat, dasar berkaitan digubal untuk majikan dan rakyat supaya sama-sama bertanggungjawab. Dasar bukan milik kerajaan dan mahu membebankan rakyat atau komuniti perniagaan. Majikan tidak boleh berterusan dengan sikap mengambil kesempatan atas apa juga ‘ruang dan peluang’ dalam sistem penguatkuasaan dan perundangan untuk mengeksploitasi tenaga kerja asing demi kepentingan diri sendiri. Senario ini jauh berbeza dengan sifat majikan dan rakyat di negara maju yang memiliki kesedaran tinggi selain matang serta bertanggungjawab untuk bersama kerajaan dalam menangani pendatang asing tanpa izin serta pergantungan kepada tenaga kerja asing kerana golongan itu mengancam kepentingan mereka.

KADAR LEVI PEKERJA IKUT TEMPOH KONTRAK

BERITA HARIAN, 16 April 2010
Oleh Magendran Rajagopal
magendran@bharian.com.my
2010/04/16

Usaha kurangkan pergantungan kepada tenaga kerja luar

PUTRAJAYA: Majikan yang berhasrat menggaji lebih ramai pekerja asing atau mahu memanjangkan tempoh kontrak mereka mungkin perlu membayar kadar levi lebih tinggi bagi memastikan rakyat asing berkenaan hanya digunakan dalam sektor memerlukannya.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata penstrukturan semula kadar levi yang sedang dikaji, antara lain mempertimbangkan cadangan menetapkan kadar levi mengikut jumlah pekerja asing dan tempoh mereka bekerja di sini.
“Hakikatnya, majikan menggaji ramai pekerja asing untuk tempoh lama perlu membayar levi lebih tinggi berbanding mereka yang mempunyai kontrak kerja lebih singkat.

“Ini secara tidak langsung mendorong majikan hanya mengambil pekerja asing apabila benar-benar perlu,” katanya ketika dihubungi Berita Harian semalam.

Levi pekerja asing kini ditetapkan mengikut sektor iaitu RM1,200 bagi perkilangan dan pembinaan; RM1,800 bagi pekerja restoran, pencucian dan pembersihan, pengendalian kargo, dobi, tukang gunting rambut, perniagaan runcit dan borong, perniagaan tekstil, barangan logam, lusuh dan terpakai, spa dan urut refleksologi, hotel serta kedi.

Sementara itu, pekerja asing di sektor pulau peranginan perlu membayar levi RM1,200; RM600 bagi pekerja rumah kebajikan; RM540 bagi pembantu rumah kedua, dan RM360 bagi pekerja asing di sektor perladangan serta pembantu rumah pertama.
Menyusuli keputusan itu, kementerian bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia bagi mengemas kini pangkalan data majikan dan pekerja asing untuk diguna pakai dalam usaha membanteras kemasukan pekerja asing tanpa izin dan mengurangkan jumlah pekerja asing sah sedia ada.

Hishammuddin berkata pendekatan itu lebih berkesan bagi mengenal pasti majikan yang mendera pekerja asing, melakukan kesalahan berkaitan Akta Imigresen atau terbabit dalam jenayah pemerdagangan manusia.

Katanya, statistik Jabatan Imigresen antara 2007 hingga 2009 menunjukkan 269 majikan didakwa atas kesalahan berkaitan Akta Imigresen 1963, manakala 137 orang didakwa mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 bagi tempoh dua tahun bermula Februari 2008.

Beliau yakin dengan adanya pangkalan data itu, rekod kemasukan dan kepulangan pekerja asing dan majikan yang menggaji mereka dapat dikawal selia dengan lebih berkesan.

“Kita mahu majikan lebih bertanggungjawab terhadap pekerja asing mereka, terutama mengawal selia bagi memastikan mereka memenuhi tempoh kontrak dan benar-benar pulang selepas ia tamat, tanpa terus tinggal di negara ini sebagai pendatang asing tanpa izin,” katanya.

Hishammuddin berkata, kementeriannya juga sudah menyiapkan laporan berhubung prestasi syarikat memperoleh bekalan pekerja asing sejak sistem membekal dan mengurus pekerja asing dilaksanakan pada 2005.

Katanya, semua syarikat akan dinilai jika mematuhi prosedur sedia ada yang menggariskan pengambilan pekerja asing perlu berdasarkan permintaan serta keperluan guna tenaga dan bukannya untuk mengaut keuntungan semata-mata.

Wednesday, April 14, 2010

MAJIKAN PEKERJA ASING DIBERI LEBIH TANGGUNGJAWAB

UTUSAN MALAYSIA, 14 April 2010

PUTRAJAYA 13 April – Majikan yang mengambil pekerja asing selepas ini akan diberikan tanggungjawab yang lebih terperinci bagi memastikan tidak timbul lagi isu negatif membabitkan warganegara asing.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada perkara yang dikaji oleh makmal pengurusan pekerja asing yang ditubuhkan 23 Mac lalu.

Menurutnya, makmal tersebut yang operasinya akan berakhir 23 April, setakat ini berjaya menggariskan beberapa cadangan untuk mewujudkan sistem pengurusan dan pemantauan warganegara asing yang komprehensif serta berkesan.

“Dalam tempoh dua minggu terakhir, makmal tersebut akan memperinci dan memperkemaskan laporan bagi dibentangkan kepada Jawatankuasa Kabinet Pekerja Asing dan Pendatang Asing yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Selepas cadangan itu diperakui oleh jawatankuasa tersebut, ia akan dibawa ke Kabinet,” katanya pada sidang akhbar selepas mendengar taklimat mengenai perkembangan makmal berkenaan di sini hari ini.

Menurut Hishammuddin, perbincangan dalam makmal berkenaan meliputi aspek-aspek iaitu sistem dan proses; penawaran dan permintaan; penguatkuasaan dan perundangan.

“Dalam aspek perundangan, kita telah meminta makmal untuk meneliti keperluan bagi memperincikan tugas dan tanggungjawab majikan dalam keseluruhan proses pengambilan pekerja asing.

“Tanggungjawab tersebut merangkumi peringkat kemasukan pekerja, sepanjang tempoh keberadaan di negara ini dan ketika pekerja tamat tempoh permit dan perlu keluar dari negara ini,” katanya.

Sementara itu Hishammuddin berkata, kerajaan sedang mengkaji untuk menstruktur semula kadar levi yang antara lain menimbangkan cadangan penetapan kadar levi mengikut jumlah pekerja asing dan tempoh bekerja.

HAD PEKERJA ASING KEPADA 1.5 JUTA

UTUSAN MALAYSIA, 14 April 2010
Oleh HELMI MOHD. FOAD
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 13 April – Kerajaan meletakkan sasaran untuk mengehadkan jumlah pekerja asing di negara ini dalam lingkungan 1.5 juta orang menjelang tiga tahun lagi. Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, jumlah keseluruhan pekerja asing ketika ini didapati meningkat kepada 1.8 juta orang ekoran pemulihan sektor industri.

“Sebenarnya kita berjaya mengurangkan pekerja asing kepada 1.5 juta orang tahun lalu tetapi mereka dibawa masuk semula setelah industri kembali pulih.

“Kita harap jumlah mereka boleh dihadkan kepada 1.5 juta orang sahaja bagi memenuhi beberapa sektor yang tidak dapat dielakkan daripada menggunakan pekerja asing,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di sini hari ini.

Terdahulu, kedua-dua menteri itu mendengar taklimat mengenai perkembangan makmal pengurusan pekerja asing yang ditubuhkan pada 23 Mac lalu. Makmal tersebut melibatkan 14 kementerian, 11 agensi dan kira-kira 30 organisasi majikan serta pihak berkepentingan dalam pengambilan pekerja asing.

Berdasarkan statistik, daripada 1.8 juta pekerja asing di negara ini, jumlah tertinggi adalah dari Indonesia (50.9 peratus) diikuti Bangladesh (17.4 peratus), Nepal (9.7 peratus), Myanmar (7.8 peratus), India (6.3 peratus) dan Vietnam (4.2 peratus).

Sebanyak 39 peratus daripada mereka bekerja dalam sektor pembuatan, pembinaan (19 peratus), perladangan (14 peratus), pembantu rumah (12 peratus), perkhidmatan (10 peratus) dan pertanian (sembilan peratus)

Menurut Subramaniam, makmal berkenaan mengenal pasti langkah-langkah yang perlu diambil tetapi pada masa sama menerima hakikat negara ini masih memerlukan pekerja asing.

“Dalam sektor tertentu kita masih perlukan pekerja asing tetapi perlu dipastikan jumlah mereka dikurangkan pada satu tahap yang boleh kita uruskan.

“Apa yang kita harap hasil daripada makmal ialah sistem pengurusan pekerja asing iaitu mereka dibawa masuk secara sah dan kemudian akan balik ke negara asal selepas tamat tempoh bekerja,” katanya.

Beliau berkata, hanya melalui kaedah berkenaan, hasrat kerajaan untuk menguruskan pekerja asing secara baik dapat dicapai.

“Isu ini sebenarnya ialah bagaimana menguruskan mereka yang datang kerana ada yang masuk tetapi tidak pulang manakala ada yang datang melalui cara lain.

“Harap melalui makmal tersebut, penyelesaian dapat diambil bagi membolehkan pekerja asing diuruskan dengan baik,” katanya.

Tuesday, April 13, 2010

PELAJAR PENDIDIKAN VOKASIONAL MAMPU BERGAJI TINGGI

UTUSAN MALAYSIA, 13 April 2010

INISIATIF Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menjadikan sistem pendidikan vokasional di Perancis sebagai model dalam sistem pendidikan di Malaysia adalah sangat signifikan dengan Model Ekonomi Baru (MEB) yang dilancarkan Oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Antara strategi MEB adalah meningkatkan pendapatan per kapita rakyat Malaysia dengan fokus ditumpukan kepada golongan kurang bernasib baik. Selain daripada golongan miskin dan orang kurang upaya, mereka yang mencapai tahap akademik yang rendah juga boleh digolongkan sebagai kurang bernasib baik. Justeru, dengan memberikan mereka pendidikan vokasional dan kemahiran, pelajar yang tercicir akademik juga boleh menikmati pendapatan tinggi.

Masyarakat sewajarnya juga memberi sokongan padu terhadap misi kerajaan untuk menambah jumlah peratusan pelajar aliran vokasional dan mengenal pasti mereka yang berpotensi mengikuti aliran tersebut daripada tingkatan satu lagi. Malahan saya berpendapat usaha mengenal pasti kecenderungan pelajar memilih aliran vokasional sewajarnya bermula dari sekolah rendah lagi dan mereka disalurkan ke aliran vokasional bermula dari tingkatan satu.

Persepsi masyarakat yang meletakkan pelajar aliran vokasional sebagai kelas kedua atau pelajar tercicir tidak lagi sepatutnya timbul. Ini kerana pelajar yang mengikuti aliran vokasional adalah berdasarkan bakat dan minat, bukan lagi keputusan peperiksaan.

Penulis juga mencadangkan agar kerajaan dalam proses pemilihan pelajar memasuki aliran vokasional turut membuka peluang kepada pelajar cemerlang. Satu ujian berdasarkan bakat dan kebolehan hendaklah dijalankan untuk mengenal pasti bakat dan aliran yang diminati oleh pelajar. Dengan cara ini, pendidikan vokasional akan dipandang tinggi oleh masyarakat kerana pelajar yang dipilih memasuki aliran tersebut bukan kerana mereka tidak mencapai tahap kecemerlangan akademik tetapi berdasarkan kebolehan psikomotor cemerlang mereka.

Daripada segi infrastruktur, saya bersetuju dengan kenyataan Muhyiddin bahawa infrastruktur komprehensif perlu disediakan terlebih dahulu sebelum sistem pendidikan vokasional secara insentif dilaksanakan. Selain itu, kerajaan juga sewajarnya mempertimbangkan sumber tenaga pengajar untuk menyokong kelancaran pelaksanaan aliran vokasional di negara ini. Begitu juga dengan model kurikulum vokasional yang hendak dirujuk dan diguna pakai. Selain daripada Perancis, disarankan kerajaan melihat beberapa negara lain di Eropah dan Amerika. Ini kerana berdasarkan fakta sejarah pendidikan vokasional yang berdasarkan latihan, ia bermula di Switzerland pada tahun 1740-an dan berkembang pesat di AS pada 1800 hingga 1900. Di AS, terdapat negeri yang mendedahkan pendidikan vokasional di peringkat rendah dan fokus pendidikan vokasional mereka berteraskan pekerjaan.

Bagi sumber tenaga pengajar, kerajaan sebenarnya telah mempunyai modal insan yang ramai, berkemahiran dan berdaya saing. Ini kerana sistem pendidikan teknik, vokasional dan kemahiran bukanlah asing di Malaysia, malah telah bermula sejak awal 1900-an lagi.

Pada masa ini, pelajar dan graduan aliran teknik, vokasional dan kemahiran dilahirkan antaranya dari Kementerian Sumber Manusia (Institusi Latihan Perindustrian), Pusat Latihan Teknologi Tinggi, Pusat Latihan Pengajar dan Latihan Lanjutan dan Institut Teknikal Jepun Malaysia ); Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Institut kemahiran Mara dan Kolej Kemahiran Tinggi Mara dan Pusat Giat Mara); Kementerian Belia dan Sukan (Institut Kemahiran Belia Negara dan Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara); Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (Kolej Pertanian dan Institut Pertanian) serta institut pendidikan swasta seperti German Malaysian Institute dan Malaysia France Institute. Dalam erti kata lain, Malaysia mempunyai modal insan yang mencukupi untuk menjadi tenaga pengajar dalam sistem pendidikan vokasional di negara ini.

Kalau dahulu, dalam konteks pelaksanaan PPSMI, kerajaan terpaksa melatih semula guru-guru dalam melaksanakan dasar tersebut, adalah diyakini kerajaan tidak lagi perlu melatih semula guru-guru sedia ada kerana institut pendidikan teknik dan vokasional seperti UTHM, UTM dan UPM telah pun melatih dan melahirkan guru-guru yang berketerampilan untuk mengajar pendidikan vokasional.

Aspirasi kerajaan dapat direalisasikan hanya dengan menambah kemasukan guru pelatih baru ke institusi-institusi pendidikan teknikal dan kami akan menyambutnya dengan inspirasi melahirkan guru profesional yang bersahsiah mulia dan berdaya saing di arena glokal.

Oleh itu, saya berpendapat adalah sangat tepat usaha kerajaan untuk meletakkan pendidikan vokasional berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan pendidikan akademik.

Dr. Ahmad Esa
Fakulti PendidikanTeknikal, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

Monday, April 12, 2010

LATIHAN VOKASIONAL TEKNIKAL PERLU PERANCANGAN AWAL

BERITA HARIAN, 12 April 2010


Oleh Zakaria Mohd Yusof
b-zyusof@utm.my
2010/04/12

PENGUMUMAN Timbalan Perdana, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran untuk mengenal pasti kecenderungan pelajar terhadap bidang vokasional dan teknikal seawal Tingkatan Satu harus disambut positif.

Pengumuman itu seharusnya memberi sinar kepada kelompok pelajar yang kurang berkemampuan untuk tidak lagi menerima tekanan akademik berorientasikan peperiksaan.

Pastinya ini menjadi cabaran kepada pegawai di kementerian untuk merangka strategi terbaik bagi memastikan hasrat kerajaan seperti diumumkan itu menjadi kenyataan. Untuk itu, pihak terbabit wajar merangka dasar berkaitan kerangka yang harus dijadikan panduan untuk memastikan arah kecenderungan sebenar pelajar seawal Tingkatan Satu.

Sebarang bentuk pelan tindakan yang hendak dilakukan di peringkat sekolah mesti didasarkan kepada tiga fasa, iaitu membina minat, membina kemahiran dan membina kerjaya.

Membina Minat - fasa ini mempunyai dua peringkat berbeza iaitu Peringkat 1 (Tingkatan Satu hingga Tiga) dan Peringkat 2 (Tingkatan Empat dan Lima). Membina minat seharusnya ditumpukan dengan menyediakan suasana pembelajaran yang menjurus kepada penerokaan minat pelajar antara lain menjadikan mata pelajaran Vokasional sebagai sandaran kecenderungan minat.

Pelajar harus diperkenalkan dengan bentuk pekerjaan dan kepentingannya berdasarkan keperluan negara meliputi tenaga kerja am, tenaga kerja mahir, tenaga kerja semiprofesional dan tenaga kerja profesional.
Dalam tempoh dari Tingkatan Satu hingga Tiga, sekolah harus mengenal pasti kumpulan yang benar-benar tidak berkemampuan dalam akademik. Mereka kemudian dibimbing dan didorong mengenal pasti pilihan bidang kemahiran yang diminati berdasarkan corak keperluan tenaga kerja negara mengikut sektor. Kecenderungan harus ditentukan pada akhir tahun Tingkatan Tiga.

Peringkat kedua membabitkan pelajar di Tingkatan Empat dan Lima. Fasa ini memerlukan penyediaan asas kepada kemahiran berdasarkan kecenderungan pelajar. Latihan amali amat penting di fasa ini yang akan menentukan di institusi kemahiran yang mana bersesuaian dengan kecenderungan pelajar berkenaan. Justeru, mereka perlu dibekalkan maklumat lengkap mengenai pelbagai jurusan di institusi latihan kemahiran. Institusi ini bakal menjadi pilihan pelajar yang mempunyai tahap pencapaian akademik rendah atau sederhana.

Membina Kemahiran - peranan ini seharusnya berlaku di institusi latihan kemahiran awam (ILKA) yang mana pengurusannya perlu meningkatkan promosi serta menggandakan hubungan dengan majikan berpotensi mengikut bidang. Usaha ini menjadi lebih mudah jika pelatih mempunyai minat dan pengetahuan terhadap bidang latihan yang menjadi pilihan hasil pemupukan minat di sekolah. Namun, ILKA didapati tiada kerangka program yang jelas dan kesannya ILKA menjadi pilihan terakhir walaupun untuk mereka yang lemah akademik.

Di peringkat membina kemahiran, prospek dan laluan kerjaya harus diberi gambaran dengan lebih jelas oleh tenaga pengajar untuk memberi harapan kepada pelatih yang memilih bidang kemahiran tertentu. Untuk itu, tenaga pengajar perlu dibekalkan input berkaitan dari semasa ke semasa bagi memudahkan proses memupuk minat berlaku secara berterusan di ILKA di samping proses membina kemahiran yang menjadi fokus utama di situ.

Ketika ini, ada lebih 250 ILKA di seluruh negara. Ini tidak termasuk institusi kemahiran lain seperti politeknik, kolej komuniti serta sekolah teknik dan vokasional. Dengan bilangan ILKA yang ada, negara seharusnya berupaya melahirkan lebih 50,000 belia berkemahiran setiap tahun dan ini mampu untuk menjadi galang ganti kebergantungan kepada tenaga kerja asing yang membawa keluar wang negara yang dilaporkan mencecah RM18 bilion pada 2008.

Membina Kerjaya - buat masa ini tidak dapat dipastikan ke manakah perginya lulusan institusi kemahiran ini. Sikap kebanyakan majikan yang terlalu memberi keutamaan kepada pekerja asing haruslah dibendung dengan dasar yang jelas.
Dasar penempatan belia berkemahiran yang menghendaki setiap sektor menerima lulusan ILKA perlu digubal bagi meningkatkan keyakinan belia seterusnya memastikan masa depan mereka terbela. Jika tidak, sudah pasti mereka tidak mendapat manfaat daripada peluang pekerjaan yang diwujudkan kerajaan.

Bagi mengekalkan minat pelatih sebaik menamatkan latihan, skim perkhidmatan menyeluruh dalam perkhidmatan awam wajar diwujudkan kepada mereka yang mempunyai sijil kemahiran ILKA. Mengambil kira usaha menyediakan latihan ini memerlukan perbelanjaan besar, prospek kerjaya khusus untuk belia berkemahiran ini tidak boleh tidak mesti dirangka dengan pendekatan lebih strategik dan menguntungkan kerjaya belia, seterusnya masa depan negara.

Justeru, memperkasa ILKA supaya sentiasa relevan perlu diberi keutamaan dalam usaha menarik minat pelajar untuk menjadikan ILKA sebagai tempat membina kerjaya pilihan dan bukannya menimba ilmu pendidikan kelas dua.

Prof Madya Zakaria Mohd Yusof ialah pensyarah di Jabatan Ukur Bahan, Fakulti Alam Bina UTM, Skudai dan boleh dihubungi melalui: b-zyusof@utm.my

Thursday, April 08, 2010

KEMENTERIAN KENAL PASTI PELAJAR CENDERUNG BIDANG VOKASIONAL

BERITA HARIAN, 8 April 2010

KEMENTERIAN Pelajaran akan mengenal pasti kecenderungan pelajar terhadap bidang vokasional dan teknikal seawal Tingkatan Satu bagi membolehkan mereka memasuki jurusan itu untuk memenuhi keperluan tenaga kerja separa mahir dan mahir.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata melalui cara itu pelajar yang tidak cenderung dalam akademik boleh disalurkan ke sekolah vokasional dan teknik selepas menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR), berbanding sekarang sehingga tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Beliau yang juga Menteri Pelajaran, berkata Malaysia berminat mencontohi sistem pendidikan Perancis yang agak luar biasa apabila 50 peratus pelajarnya yang kurang berminat dalam bidang akademik, disalurkan ke aliran vokasional dan teknik. Di Malaysia, katanya, hanya 10 peratus pelajar mengikuti aliran itu.

Perkara itu turut dibincangkan Muhyiddin dalam pertemuan dengan Menteri Pelajaran Perancis, Luc Chatel di sini, kelmarin.

"Di Perancis, bidang vokasional dan teknikal diberi perhatian apabila pelajar yang cenderung dalam bidang itu diambil lebih awal.

"Kita akan meneliti perkembangan pelajar kita dari Tingkatan Satu dan sebelum Tingkatan Tiga,” katanya kepada pemberita sebelum menghadiri hari kedua Sesi ke-184 Mesyuarat Lem-
baga Eksekutif Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) di sini, semalam.

Baru-baru ini, Kementerian Pelajaran mengumumkan akan menukar status 68 daripada 87 sekolah teknik menjadi sekolah vokasional bermula tahun depan.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, Perancis turut berminat mempelajari kaedah penyediaan sekolah berasrama penuh seperti di Malaysia untuk pelajar miskin cemerlang di negaranya.

Sementara itu, berucap pada sesi Ke-184 Unesco, semalam, Muhyiddin mendesak negara anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Kumpulan Negara Maju (G-20) merangka pelan tindakan untuk membantu negara kurang membangun dalam bidang pendidikan, supaya sasaran pendidikan untuk semua (EFA) tercapai menjelang 2015.

Katanya, bantuan negara maju semakin mendesak berikutan tempoh untuk mencapai sasaran EFA hanya tinggal kurang lima tahun.

Muhyiddin diberi penghormatan sebagai perwakilan pertama berucap pada mesyuarat itu.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, program pembangunan bidang pendidikan untuk negara kurang membangun melalui inisiatif Dana Amanah Kerjasama Malaysia-Unesco yang menyaksikan Malaysia membantu melatih dan membina keupayaan guru negara terbabit akan dilancarkan pada Jun ini.

Katanya, bagi menjayakan rancangan itu, Malaysia akan menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) Ketua Pengarah Unesco, Irina Bokova di Kuala Lumpur, pertengahan tahun ini.

Melalui inisiatif itu, Malaysia memperuntukkan US$5 juta sebagai geran pelancaran, bertujuan memastikan matlamat EFA tercapai. Selain itu, kerajaan turut menyumbang US$S1 juta setiap tahun kepada dana berkenaan.

Pengumuman mengenai komitmen Malaysia itu dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika menghadiri Persidangan Agung Unesco ke-35, September tahun lalu

SEKOLAH VOKASIONAL PERANCIS DIKAJI

UTUSAN MALAYSIA, 8 April 2010

PARIS 7 April - Kerajaan akan meneliti dan mempelajari pengalaman Perancis yang berjaya menarik 50 peratus daripada para pelajarnya mengikuti persekolahan aliran vokasional berbanding hanya 10 peratus di Malaysia, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, antara bakal dilakukan kerajaan untuk meningkatkan jumlah pelajar di sekolah vokasional di Malaysia ialah mengenal pasti kecenderungan pelajar terhadap bidang tersebut sejak sekolah rendah atau menengah rendah. Menurutnya, peningkatan jumlah pelajar daripada aliran vokasional amat penting untuk menampung keperluan negara pada masa depan berikutan penumpuan kerajaan pada masa ini terhadap sektor perindustrian berteknologi tinggi.

Jelasnya, hasrat Malaysia untuk bekerjasama dengan Perancis dalam bidang pendidikan khususnya berkaitan aliran vokasional itu disampaikan beliau semasa mengadakan kunjung hormat ke atas rakan sejawatnya, Luc Chatel di pejabatnya di sini semalam.

"Chatel memaklumkan bahawa di Perancis, kerajaan menyediakan sekolah-sekolah yang mencukupi untuk menampung kemasukan 50 peratus daripada keseluruhan pelajar-pelajarnya dalam sekolah aliran vokasional bagi memastikan tenaga kerja separuh mahir dan mahir dapat disediakan untuk sektor industri.

"Di Malaysia, bukan sahaja peratusan pelajar vokasional kita masih kecil iaitu 10 peratus malah kemudahan dan kelengkapan pembelajaran untuk pendidikan berasaskan kemahiran di sekolah berkaitan perlu ditambah," katanya kepada wartawan Malaysia di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, pada masa ini kebanyakan pelajar di Malaysia masih kurang berminat memasuki sekolah-sekolah vokasional kerana ia masih dianggap sebagai sekolah menempatkan pelajar-pelajar yang tercicir dalam akademik semata-mata.

Sehubungan itu, tambahnya, Kementerian Pelajaran akan memantapkan sekolah-sekolah vokasional dan mengkaji untuk menambah lebih banyak sekolah aliran itu.

Menurutnya, ini bagi memastikan infrastruktur secukupnya disediakan terlebih dahulu sebelum Malaysia mencapai peratusan pelajar aliran vokasional yang tinggi seperti di Perancis.

"Kementerian akan memulakan usaha ke arah meningkatkan jumlah pelajar vokasional ini dengan mengenal pasti pelajar-pelajar yang kurang berminat dalam akademik bermula dari sekolah rendah atau tingkatan satu, dua dan tiga untuk dimasukkan ke aliran vokasional.

"Usaha menggalakkan dan memantapkan sekolah vokasional dalam sistem persekolahan penting untuk Malaysia memenuhi permintaan industri pada masa depan selaras dengan matlamat menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin memberitahu, Malaysia juga bercadang untuk memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan negara ini bagi kerjasama melatih guru-guru di Institut Pendidikan Guru (IPG) dalam bahasa Perancis bagi keperluan mengajar pelajar-pelajar dalam bahasa itu sebagai subjek pilihan.

Tambahnya, dalam pertemuan dengan Chatel semalam, turut dibincangkan adalah mengenai bagaimana melaksanakan pendidikan asas bermula dari prasekolah dan usaha mengurangkan buta huruf atau kegagalan menguasai kemahiran membaca, mengira dan menulis (3M) di kalangan pelajar.

Menurutnya, kerjasama dalam bidang berkaitan dengan Perancis amat penting dalam usaha Malaysia mencapai matlamat setiap murid sudah menguasai 3M ketika berada dalam tahun tiga persekolahan.

"Chatel pula ingin berkongsi pengalaman dengan Malaysia dalam menyediakan sekolah berasrama berikutan cadangan Perancis untuk membuka sekolah-sekolah sedemikian bagi kemudahan anak-anak penduduk miskin di negara ini," katanya. - utusan

Wednesday, March 31, 2010

KERAJAAN BELANJA RM1.16J KOS KAJIAN

UTUSAN MALAYSIA, 30 Mac 2010

Oleh NIZAM YATIM


Najib Tun Razak ketika sidang media di Parlimen, semalam. – BERNAMA


KUALA LUMPUR 29 Mac – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM1.16 juta bagi melaksanakan kajian mengenai Kesan Pekerja Asing Terhadap Ekonomi Malaysia yang disiapkan pada 2004.

Perdana Menteri berkata, kajian yang dilakukan oleh Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) itu mencadangkan pelbagai penambahbaikan dalam proses pengambilan pekerja asing di negara ini.

‘‘Nota Kabinet mengenai kajian ini telah dibentangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri pada 28 Julai 2004.

‘‘Sebanyak tujuh dasar baru telah dilaksanakan berdasarkan laporan kajian ini termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewujudkan pasukan petugas khas untuk meneliti semula semua dasar dan prosedur pengambilan pekerja asing secara menyeluruh,’’ katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis terhadap soalan Liew Chin Tong (DAP-Bukit Bendera) yang meminta kerajaan menyatakan kos kajian itu yang telah dilaksanakan oleh MTEN pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Dasar-dasar baru lain yang telah dilaksanakan, katanya, termasuk ditubuhkan Pusat Kelulusan Setempat untuk memproses permohonan majikan yang lengkap dan layak mengambil pekerja asing.

‘‘Turut diwujudkan jawatankuasa baru yang dianggotai wakil pelbagai kementerian bagi memantau prosedur permohonan kemasukan pekerja asing baru.

‘‘Dasar lain adalah supaya majikan memastikan semua pekerjaan ditawarkan kepada rakyat tempatan terlebih dahulu sebelum mereka mengambil pekerja asing.

‘‘Turut disediakan buku panduan khusus bertajuk Buku Panduan, Dasar, Prosedur dan Syarat-Syarat Penggajian Pekerja Asing di Malaysia untuk rujukan majikan.

‘‘Dasar-dasar lain ialah majikan akan menanggung bayaran levi pekerja asing mulai 1 April 2009,’’ katanya.

Walaupun cadangan dalam kajian ini telah dilaksanakan, kata Perdana Menteri, kerajaan masih lagi prihatin dan sentiasa memantau perkembangan pekerja asing di negara ini.

Tuesday, March 23, 2010

INSENTIF KHAS MARTABAT SEMULA VOKASIONAL


Zakaria Mohd Yusof


BERITA HARIAN, 23 MAC 2010


Kemahiran, minat pelajar perlu dicungkil peringkat awal agar dapat penuhi pasaran kerja

KENYATAAN Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyediakan insentif khas kepada kelompok pelajar yang tercicir amat bertepatan dengan hasrat untuk meningkat modal insan negara.

Inisiatif khas ini ditujukan kepada lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang kurang cemerlang dan gagal untuk menyambung pelajaran, berkemampuan untuk menguasai salah satu kemahiran bagi membuka peluang kerjaya kepada mereka. Menurut statistik pencapaian keputusan SPM 2009, seramai 4,626 daripada 465,853 calon yang menduduki peperiksaan, gagal atau memperoleh gred G.

Dua tahun lalu, pihak kerajaan turut melahirkan rasa bimbang dengan lebih 83,000 pelajar sekolah rendah hingga Tingkatan Lima yang mengalami keciciran daripada sistem persekolahan negara. Ini bermakna, setiap tahun seramai 7,545 pelajar tercicir daripada arus pendidikan.

Walaupun nampak kecil peratusannya, yang pasti, ia tidak seharusnya berlaku jika semua pihak mengambil langkah pemulihan awal setiap tahun. Justeru, cadangan kerajaan untuk menyediakan insentif khas itu amat baik.

Ini menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap masa depan pelajar terbabit dan tidak hanya kepada kelompok yang cemerlang akademik semata-mata. Apatah lagi dalam realiti masyarakat yang terlalu memberi tumpuan kepada kelompok pelajar cemerlang akademiknya. Adalah suatu yang mendukacitakan jika kita masih beranggapan bahawa, hanya pencapaian cemerlang dalam akademik saja sebagai penentu kepada kejayaan dalam kehidupan.

Begitu juga, adalah suatu yang amat tidak tepat sekiranya hanya kumpulan yang cemerlang dalam akademik saja mampu menjadi warga berguna. Jika persepsi ini tidak berubah, usaha kerajaan untuk memastikan pembangunan modal insan berjalan dengan sempurna tidak mungkin akan tercapai. Seterusnya, bilangan keciciran setiap tahun tidak akan mempunyai jalan penyelesaian.

Untuk itu, insentif khas berupa laluan pendidikan menitikberatkan latihan kemahiran vokasional difikirkan mampu untuk membentuk individu agar berdikari dalam menempuh kehidupan tanpa mengambil kira pencapaian akademik.

Bagaimanapun, dicadangkan insentif khas itu perlu dimulakan lebih awal lagi dan tidak menunggu sehingga mereka menamatkan Tingkatan Lima. Menunggu sehingga tamat Tingkatan Lima dikhuatiri terlalu lewat untuk kelompok pelajar lemah akademik ini dihalakan minat ke arah kemahiran vokasional. Ini kerana keciciran pelajar berlaku lebih awal lagi seperti dilaporkan sebelum ini.

Justeru, berikut dikemukakan cadangan untuk pihak pelaksana dasar dalam merangka bentuk insentif khas berkenaan. Apa yang penting ialah insentif khas mestilah mampu memastikan setiap insan mendapat pembelaan sewajarnya untuk kepentingan negara di masa depan.

Insentif khas itu perlulah dimulakan pada peringkat lebih awal lagi bagi mengimbangi tumpuan pendidikan pada peringkat sekolah agar tidak menjurus kepada kecemerlangan akademik semata-mata. Untuk itu, sistem pendidikan perlu menjurus kepada eksplorasi minat pelajar. Guru, di samping memberi tumpuan kepada kecemerlangan akademik, harus juga berusaha mengenal pasti kecenderungan dan minat pelajar. Jika perlu, kad minat pelajar perlu diwujudkan untuk setiap pelajar.

Setiap pelajar hendaklah dipastikan tidak harus berasa tersisih atau disisihkan hanya disebabkan pencapaian akademik tidak memuaskan. Oleh itu, insentif khas juga harus diberi setiap tahun di hari penyampaian hadiah kepada mana-mana pelajar yang didapati mempunyai kelebihan, bakat dan kreativiti dalam bidang kemahiran yang dikenal pasti.

Mata pelajaran kerjaya harus diperkenalkan seawal Tingkatan Satu dengan memperkenalkan bentuk pekerjaan dan kepentingannya berdasarkan keperluan negara. Ini akan memberi gambaran awal bahawa keperluan tenaga kerja negara tidak hanya tertumpu kepada tahap pencapaian akademik yang cemerlang.

Dalam tempoh tiga tahun iaitu dari Tingkatan Satu hingga ke Tingkatan Tiga, pihak sekolah harus mengenal pasti kumpulan yang benar-benar tidak berkemampuan dalam akademik. Kumpulan ini harus dibimbing dan didorong untuk mengenal pasti pilihan bidang kemahiran yang diminati berdasarkan kepada corak keperluan tenaga kerja negara di masa depan mengikut sektor.

Laluan kerjaya setiap bidang kemahiran harus diberi gambaran dengan jelas dalam mata pelajaran kerjaya yang diperkenalkan dalam tempoh tingkatan satu hingga tingkatan tiga itu. Ini bertujuan memberi harapan kepada pelajar yang memilih bidang kemahiran tertentu bahawa, di sana masih ada peluang luas untuk meningkatkan tahap kerjaya dari semasa ke semasa.

Guru kaunseling hendaklah bukan sekadar menyediakan maklumat kerjaya ke institusi pengajian tinggi kepada mereka yang cemerlang akademik, tetapi perlu dilengkapkan diri dengan maklumat berkaitan peluang latihan di Institusi Latihan Kemahiran Awam seperti Institut Kemahiran Belia Negara, Institut Latihan Perindustrian, Institut Kemahiran Mara dan Pusat Giat Mara. Institusi ini bakal menjadi pilihan pelajar mempunyai pencapaian akademik sederhana.

Bagi menarik minat pelajar, seterusnya meyakinkan masyarakat keseluruhannya untuk memilih pendidikan vokasional, tiada jalan lain melainkan berusaha memperkasakan dan memartabatkan kembali pendidikan vokasional ini. Kerajaan sedaya upaya perlu memastikan pendidikan vokasional ini tidak menjadi bentuk pendidikan kelas dua.

Untuk itu, kerajaan disarankan untuk mempertimbangkan langkah seperti mewujudkan pelan pendidikan kemahiran vokasional komprehensif; meningkatkan keupayaan pendidikan vokasional dan jika perlu, melakukan penjenamaan semula ke atas institusi latihan kemahiran vokasional tertentu.

Bagi memastikan kemahiran vokasional yang dimiliki diguna pakai sepenuhnya, kerajaan perlu memastikan lulusan vokasional tempatan tidak hilang. Ini boleh dilakukan dengan menggubal polisi tertentu yang mewajibkan setiap sektor mengutamakan pekerja mahir lulusan vokasional tempatan serta, pada waktu sama mengehadkan penggunaan pekerja asing di setiap sektor secara berperingkat.

Bagi memberi keyakinan kepada pelajar supaya memilih pendidikan vokasional, kerangka kerjaya yang jelas khusus untuk lulusan kemahiran vokasional wajar diwujudkan, meliputi skim perkhidmatan menyeluruh dalam perkhidmatan awam.

Insentif juga harus difikirkan kepada guru vokasional atau guru yang bertanggungjawab terhadap mata pelajaran vokasional. Elaun kritikal serta dipermudahkan urusan kenaikan pangkat patut diberi keutamaan dalam perancangan pendidikan, dan institusi perguruan yang menjadikan pendidikan vokasional sebagai keutamaan perlu diwujudkan segera.

Institusi ini akan menjadi medan untuk melatih guru vokasional yang bukan saja untuk sekolah, bahkan juga untuk meningkatkan kualiti tenaga pengajar di institusi latihan kemahiran. Wujudkan panel pendidikan vokasional yang terdiri daripada wakil di setiap kementerian yang mempunyai pusat latihan kemahiran vokasional mengikut sektor.

Ini akan mengeratkan lagi hubungan di antara pihak sekolah dengan institusi latihan kemahiran berkaitan, seterusnya melicinkan lagi proses kemasukan di setiap institusi latihan kemahiran ini.
Kita harus menerima hakikat bahawa latar belakang akademik tidak seharusnya dijadikan kayu ukur dalam usaha pembinaan modal insan. Pembinaan modal insan hendaklah meliputi setiap individu, dan ini harus difahami semua. Hanya pendekatan, corak pendidikan serta penghayatan semua pihak yang menjadi strategi penentu untuk merealisasi misi.

Dengan bilangan yang menamatkan tingkatan lima setiap tahun melebihi 450,000, sudah pasti kita tidak ketandusan insan sebagai penggerak negara masa depan. Justeru, perancangan untuk memulakan langkah pendidikan vokasional lebih awal adalah suatu yang amat bertepatan dan memantapkan lagi kemasukan ke puluhan institusi latihan kemahiran yang sedia wujud dalam negara.

Kita mengharapkan tiada lagi keciciran selepas latihan kemahiran vokasional diperoleh. Moga usaha mengelakkan keciciran dalam pendidikan akan disusuli dengan usaha untuk memastikan tidak berlakunya keciciran kemahiran pula selepas itu.

Penulis ialah Pensyarah, Jabatan Ukur Bahan, Fakulti Alam Bina Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Saturday, March 20, 2010

INISIATIF KHAS PELAJAR TERCICIR - Lulusan SPM Kurang Cemerlang, Gagal Boleh Ikuti Latihan Kemahiran

BERITA MINGGU, 20 Mac 2010


PUTRAJAYA: Kerajaan akan menyediakan inisiatif khas kepada lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang kurang cemerlang dan gagal untuk menyambung pelajaran dan menguasai kemahiran tertentu, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, inisiatif itu bertujuan memberi peluang kepada pelajar yang gagal menyambung pelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT) menguasai kemahiran yang mampu membuka peluang kerjaya kepada mereka.

Katanya, Kementerian Pelajaran akan berbincang dengan Kementerian Sumber Manusia untuk merangka kaedah terbaik bagi membantu pelajar kurang berjaya atau gagal itu supaya mereka dapat menguasai kemahiran sesuai. “Dengan adanya kemahiran ini, mereka dapat meningkatkan lagi pembelajaran dan kerjaya mereka pada masa akan datang,” katanya pada majlis meraikan pelajar dan sekolah terbaik SPM 2009 di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Wee Ka Siong; Ketua Setiausaha kementerian, Tan Sri Dr Zulkurnain Awang; Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Alimuddin Awang dan Pengarah Lembaga Peperiksaan Malaysia, Datuk Dr Salbiah Ismail.

Daripada 465,853 calon menduduki SPM tahun lalu, 4,626 calon (1.15 peratus) gagal atau memperoleh gred G, manakala seramai 7,987 calon (1.99 peratus) calon memperoleh gred cemerlang (A+, A dan A-) bagi semua mata pelajaran yang diambil.

Sebanyak 10 sekolah dan 16 pelajar cemerlang, termasuk dua pelajar dari Sekolah Sukan Bukit Jalil dan empat pelajar istimewa menerima sijil penghargaan dan piala pada majlis berkenaan. Pemilihan sekolah itu dibuat berdasarkan Gred Purata Sekolah (GPS), iaitu gred mata pelajaran yang diambil pelajar sekolah yang diperoleh sekolah terbabit.

Manakala pelajar terbabit dipilih berdasarkan purata peratusan markah yang diperoleh calon tanpa memberi keutamaan kepada mana-mana mata pelajaran.

Sekolah terbabit ialah Sekolah Menengah (SM) Sains Seremban, Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang; Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Gombak, Sekolah Tun Fatimah, SM Sains Alam Shah, SBPI Rawang, SM Sains Muar, SMPI Temerloh, SM Kebangsaan Jesus Convent, Johor Bahru dan Kolej Tunku Kurshiah, Seremban.

Muhyiddin berkata, mulai tahun ini kementeriannya membahagikan sekolah kepada empat kategori iaitu cemerlang, terbaik, memuaskan dan berpotensi mengikut GPS masing-masing.

“Langkah membahagikan sekolah mengikut kategori ini bertujuan memudahkan sekolah terbabit mengetahui tahap pencapaian mereka dan secara tidak langsung mendorong mereka berusaha mempertingkatkan GPS mereka,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, kementeriannya tidak akan meminggirkan sekolah yang memperoleh pencapaian rendah kerana usaha berterusan akan dilaksanakan untuk merapatkan lagi jurang GPS sekolah terbabit, terutama antara sekolah bandar dan luar bandar.

Pada majlis itu juga, Muhyiddin turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM100,000 kepada Sekolah Jenis Kebangsaan (C) San Yuk, Rawang, Selangor bagi membaikpulih beberapa bahagian sekolah yang musnah dalam kebakaran akibat perbuatan khianat pada 9 Februari lalu.

Sumbangan daripada peruntukan bantuan modal itu disampaikan kepada Guru Besar, Yau Kok Wang.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Dasar dan Pembangunan Pendidikan), Dr Haili Dolhan, berkata program yang akan dijalankan itu nanti akan membantu pelajar kurang cemerlang atau gagal yang tidak dapat menyambung pelajaran di IPT.

Beliau berkata, jumlah pelajar yang dijangka dapat dibantu sukar ditentukan buat masa ini memandangkan istilah kurang cemerlang mempunyai pelbagai tafsiran.

“Kurang cemerlang mungkin jika seseorang pelajar itu ada beberapa A dan ada juga yang gagal, mungkin yang tidak ada A langsung... itu semua boleh dikira kurang cemerlang, berbeza dengan jumlah pelajar yang dikira gagal,” katanya.

SEDIA KAEDAH TERBAIK BANTU PELAJAR GAGAL SPM

MINGGUAN MALAYSIA, 20 mAC 2010

PUTRAJAYA 19 Mac – Kementerian Pelajaran dan Kementerian Sumber Manusia akan berbincang untuk menyediakan kaedah terbaik membantu para pelajar yang kurang berjaya dan gagal dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Kementerian Pelajaran bersama agensi berkaitan akan memikirkan inisiatif untuk membantu mereka menguasai kemahiran sesuai supaya mampu meningkatkan bidang pelajaran dan kerjaya. Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut kaedah inisiatif berkenaan.

‘‘Kementerian Pelajaran juga tidak akan meminggirkan sekolah yang peroleh pencapaian yang rendah.

‘‘Kita akan terus berusaha untuk merapatkan jurang pencapaian gred purata sekolah terutamanya antara sekolah luar bandar dan sekolah bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Anugerah Kecemerlangan SPM 2009 di Kementerian Pelajaran di sini hari ini.

Ketika mengumumkan analisis keputusan SPM 2009 pada 11 Mac lalu, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, seramai 7,987 calon SPM 2009 memperoleh gred cemerlang (A+,A dan/atau A-) bagi semua mata pelajaran yang diduduki.

Bagaimanapun, kata beliau, seramai 364,046 daripada 465,853 calon SPM 2009 yang mendaftar layak mendapat sijil dan daripada jumlah itu, 199,155 calon lulus semua mata pelajaran.

Pada majlis pagi ini, Muhyiddin menyampaikan sijil penghargaan kepada 10 sekolah pencapaian cemerlang SPM 2009, 10 pelajar cemerlang serta empat pelajar istimewa dan dua pelajar sekolah sukan cemerlang.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, pemilihan 10 sekolah cemerlang berkenaan adalah berdasarkan gred purata mata pelajaran yang diambil di sekolah terbabit.

‘‘Pada tahun ini, kementerian telah mengkategorikan sekolah kepada cemerlang, baik, memuaskan dan berpotensi berdasarkan gred purata sekolah masing-masing.

‘‘Tujuannya ialah supaya pengetua tahu kedudukan sekolah dan sentiasa berusaha untuk meningkatkan gred purata sekolah,” katanya.

Beliau turut memuji pencapaian pelajar istimewa yang meskipun kekurangan dari segi fizikal tetapi tetap berusaha gigih untuk mendapatkan keputusan cemerlang.

‘‘Demikian juga dengan pelajar sekolah sukan yang meskipun menghabiskan sebahagian besar masa (dengan bersukan) tetapi masih dapat keputusan terbaik.

‘‘Ini membuktikan penglibatan dalam bidang sukan bukan halangan untuk mencapai kecemerlangan akademik,” kata beliau.

Friday, March 05, 2010

INISIATIF SETIMPAL STRATEGI TARIK SEMULA PEKERJA TEMPATAN

BERITA HARIAN, 5 Mac 2010
Oleh Kamal Ahmad

Cadangan gaji minimum mampu sekat monopoli buruh asing yang tidak kisah terima bayaran gaji murah KEBANGKITAN gerakan menentang kebanjiran pendatang berlaku dengan ketara di beberapa negara Eropah selain Australia. Awal Januari lalu, berlaku rusuhan kaum di Itali antara penduduk tempatan dengan imigran menganggur dari Afrika. Di Perancis, kerajaan pimpinan Nicolas Sarkozy memperkatakan 'identiti Perancis' yang menyebabkan bangkit cadangan mengharamkan pemakaian purdah dan jilbab. Kerajaan Britain pula memperketatkan lagi proses kemasukan imigran, baru-baru ini.

Di Australia, sentimen kebencian terhadap pendatang dari Asia kian membara dan diterjemahkan melalui beberapa siri serangan terhadap pendatang di negara Kangaru itu. Ini antara senario di negara Kesatuan Eropah (EU) serta Australia yang mula cemas dan lemas dengan kebanjiran pendatang asing. Dianggarkan 47 juta pendatang di Eropah dan menyumbang 50 bilion Euro atau 0.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 27 negara anggota EU. Namun dari sudut lain, pendatang dilihat mencuri peluang kerja penduduk tempatan selain membebankan sistem kebajikan, kesihatan dan pendidikan serta dikaitkan pula dengan pertambahan jenayah, kekeliruan identiti serta kebangsaan. Eropah kian dilihat lebih menarik pendatang berbanding Amerika Syarikat. Pada 1990, Eropah menerima 26 juta pendatang berbanding 20 juta ke Amerika. Tersepit dalam dilema antara menerima atau menolak pendatang, pakar ekonomi meramalkan sebanyak satu bilion peluang kerja mahir baru wujud di EU, 20 tahun lagi.

Oleh kerana benua mengalami masalah penurunan kelahiran, EU memerlukan kira-kira 20 juta pendatang berkemahiran dalam tempoh sama untuk membolehkan EU bertahan pada kedudukan sekarang. Sebelum ini ada pelan dinamakan 'Cross Border Connections' dikemukakan Barbara Beck, yang kini Ketua Sumber Manusia EU, yang mengenal pasti potensi di kalangan penduduk negara anggota EU bekerja di negara kelompok sama tanpa membabitkan pendatang dari luar Eropah. Program itu membabitkan daya usaha seluruh anggota EU dan proses memindahkan tenaga kerja dari sebuah negara ke sebuah negara lain, dilakukan secara sistematik. Apakah kaedah 'hubungan merentas sempadan' sesuai dilaksanakan di negara ini? Contohnya, tenaga kerja dari Perak dipindahkan ke Selangor untuk memenuhi keperluan sektor perkilangan. Apabila Selangor dan Pahang berjaya merealisasikan kesepakatan memindahkan sumber bekalan air untuk keperluan di Lembah Klang, maka ini satu kejayaan konsep 'hubungan merentasi sempadan' yang perlu diperinci potensi dalam negeri untuk memenuhi keperluan pelbagai sektor. Begitu juga, suatu ketika dulu berlaku proses sama membabitkan nelayan dari Terengganu dan Kelantan bergerak melepasi sempadan untuk memenuhi keperluan tenaga mahir itu di Pahang serta Johor. Sama halnya perpindahan pesawah dari Tanjung Karang ke Seberang Perak dan dari Kedah ke utara Perak dan Rompin, Pahang. Ia juga satu kejayaan proses hubungan merentasi sempadan.

Namun asas kepada kesanggupan seorang tenaga mahir berhijrah ke tempat baru berkait rapat dengan gaji, kemudahan disediakan seperti pendidikan anak serta perubatan selain faktor persekitaran. Lantas, sangat bijak apabila Kementerian Sumber Manusia akan mengumumkan kadar gaji minimum baru pekerja kawalan keselamatan yang ketika ini dimonopoli puluhan ribu 'gurkha' dan 'Bangla'. Inisiatif yang dicadangkan Majlis Penetapan Gaji itu mampu menggalakkan penyertaan tenaga kerja tempatan mengisi kerja berkenaan di zon perindustrian dan pembangunan seluruh negara. Kementerian yang melihat kemampuan potensi tempatan untuk menguasai semula sektor kawalan keselamatan kini memperkukuhkan komitmen dengan mewujudkan Program Latih dan Ganti.

Timbalan Menterinya, Datuk Maznah Mazlan, berkata kementerian juga dalam proses mewujudkan komuniti peladangan moden yang mampu menarik sebahagian lagi tenaga kerja tempatan bekerja di sektor itu. Antara pendekatannya, majikan membina rumah lebih sempurna termasuk mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik air serta lengkap perabot serta kipas angin. Perhubungan jalan, liputan telefon, kemudahan riadah, pusat asuhan kanak-kanak, tempat ibadat serta kemudahan pendidikan dan kesihatan juga dipertingkatkan melalui program itu.

"Kementerian menyasarkan semua ladang menyediakan kemudahan itu menjelang 2015. Pengurusan ladang kini sudah menghantar jadual pelaksanaan program itu untuk dipantau kementerian," katanya. Malah di ladang tertentu, majikan menawarkan skim pemilikan rumah dan dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), semua kemudahan perhubungan jalan raya, bekalan air dan elektrik ke ladang mesti dipertingkatkan supaya memenuhi keperluan pekerja tempatan serta dikongsi penduduk kawasan berhampiran.

"Sekurang-kurangnya 1,000 pegawai pembantu perubatan diperlukan untuk berkhidmat di ladang seluruh negara.

Tenaga ini akan dilatih dengan kerjasama Kementerian Kesihatan," katanya. Datuk Seri Najib Razak menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk Menteri Sumber Manusia dan kementerian itu, menurunkan kebergantungan negara kepada pekerja asing. Pada 2008, ada dua juta pekerja asing di negara ini. Angka itu turun kepada 1.6 juta tahun lalu dan KPI untuk 2010 ialah mengurangkannya sehingga 1.4 juta orang. Adalah bijak jika kementerian meneroka potensi yang sekian lama 'tersembunyi' iaitu kira-kira 3.6 juta suri rumah sepenuh masa yang mampu membantu mengisi kekosongan jawatan di pelbagai sektor.

Hakikatnya, ramai wanita yang meninggalkan dunia kerjaya apabila memasuki gerbang perkahwinan atau selepas melahirkan anak. Mereka sebahagian besar berkelulusan institusi pengajian tinggi (IPT) tetapi kemahiran dan kepakaran mereka 'berkubur' mulai hari mereka menjadi suri rumah sepenuh masa. Jika ada program khas untuk menarik mereka kembali bekerja dan contohnya, 30 peratus mengambil peluang itu maka ada pertambahan sehingga 1.08 juta orang baru dalam pasaran tenaga kerja di kalangan warga tempatan. Potensi yang boleh dimanfaatkan juga di kalangan pesara (0.4 juta) yang rata-rata masih tegap dan boleh menyumbang bakti memandangkan taraf kesihatan warga negara ini semakin baik.

Difahamkan, Kementerian Sumber Manusia akan mengemukakan cadangan menggubal Akta Pekerja 1955 dengan memasukkan hak yang perlu dinikmati pekerja separuh masa. Ia termasuk potensi sumber dari kalangan pelajar dan siswa IPT (2.56 juta), suri rumah dan pesara. Ada kira-kira 100,000 penduduk yang tidak upaya bekerja manakala 40,000 tidak minat bekerja dan 300,000 warga dengan sikap dan status yang pelbagai. Maznah memberitahu, kementerian melalui Perkeso juga menubuhkan Pusat Pemulihan di Melaka untuk pekerja yang berstatus hilang upaya kekal menjalani latihan dan pemulihan supaya mampu kembali ke sektor pekerjaan.

Malaysia juga wajar mengikut contoh sistem imigresen di Amerika dalam syarat kemasukan pekerja asing berdasarkan pendidikan, kemahiran dan keperluan tenaga di pasaran. Melalui dasar itu, Amerika menerima kemasukan 55 peratus pendatang yang mematuhi syarat berkenaan berbanding lima peratus di EU manakala 85 peratus adalah pendatang tidak berkemahiran. Ditanya sentimen penduduk tempatan terhadap warga kerja asing, Maznah berkata, setakat ini tidak ada pernyataan yang ketara kecuali kebimbangan perlakuan jenayah yang turut membabitkan kelompok itu.

"Penduduk tempatan bukan setakat ada toleransi bahkan menunjukkan sikap menerima. Namun dalam konteks 'perhubungan merentasi sempadan' ini, kementerian akan memperincikan potensi sumber tenaga kerja di sesuatu zon dengan keperluan zon pembangunan di tempat lain selain memanfaatkan potensi setempat," katanya. Dan pastinya, desas-desus menyatakan Kementerian Sumber Manusia akan membentangkan cadangan baru lebih drastik berhubung dasar pengambilan tenaga kerja asing pasti membantu menangani kebanjiran sekali gus melegakan keresahan serta kekhuatiran penduduk tempatan yang kian lemas dihimpit pendatang asing itu.

Tuesday, February 23, 2010

SURAT: BELIA PATUT MANFAAT BANTUAN RM100 JUTA MAJUKAN DIRI

BERITA HARIAN, 23 Februari 2010

SAYA merujuk surat ‘RM100j bantu belia timba ilmu’ yang disiarkan 16 Februari lalu. Belia golongan yang perlu mempunyai kekuatan ilmu dan menguasai kemahiran sebagai benteng menangkis dugaan dalam dunia serba mencabar ini. Tiada siapa dapat menafikan pentingnya peranan belia dalam pembangunan negara kerana jumlah mereka yang ramai, menjadi modal insan serta aset penting kepada pertumbuhan dan pembangunan negara. Kegagalan negara melahirkan belia produktif mengganggu penjanaan modal insan dan pembangunan negara yang sihat. Kerajaan perlu terus melaksanakan program yang memperkasa dan melengkapkan belia dengan ilmu, kemahiran dan nilai murni supaya mereka dapat menyumbang secara berkesan kepada kesejahteraan negara serta masyarakat.

Justeru, usaha kerajaan menyediakan peruntukan RM100 juta kepada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) Kementerian Sumber Manusia pada tahun ini untuk disalurkan sebagai pinjaman kepada pelatih di pusat latihan bertauliah seluruh negara perlu disambut baik oleh belia. Peluang meningkatkan kemahiran dan ilmu perlu sentiasa wujud dalam diri belia. Mereka perlu merebut peluang yang diberikan untuk memajukan diri.

Peruntukan itu digunakan untuk menampung kos melahirkan kira-kira 15,000 tenaga mahir terutama golongan muda. Diharap peruntukan PTPK dapat menambah belia berpengetahuan dan berkemahiran. Ia juga mengajar belia bertanggungjawab, berdisiplin dan dinamik. Paling penting ialah belia dapat menyesuaikan diri dan berdikari bagi pembangun negara.

Pencapaian akademik individu berbeza mengikut kemampuan. Pemilihan kerjaya juga banyak bergantung kepada minat, pencapaian akademik dan keupayaan seseorang. Belia yang tidak dapat melanjutkan pelajaran masih boleh memilih bidang kemahiran yang menjanjikan masa depan cemerlang. Bagi yang memperoleh pinjaman perlu membayar kembali selepas tamat latihan dan mendapat pekerjaan. Kegagalan berbuat demikian menyekat peluang belia yang berminat mengikuti program ini. Belia yang berjaya mempunyai tugas dan tanggungjawab untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.

PROF MADYA DR SAPORA SIPON,
Universiti Sains Islam Malaysia.

MAKMAL KHAS KAJI URUSAN AMBIL BURUH ASING DITUBUH

BERITA HARIAN, 23 Februari 2010
Oleh Johari Ibrahim dan Sazarina Shahrim
bhnews@bharian.com.my

PUTRAJAYA: Sebuah makmal khusus diterajui Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan ditubuhkan bagi meneliti dan memberi cadangan kepada kerajaan berhubung pengurusan pengambilan pekerja asing bagi membolehkan tenaga kerja asing hanya diambil mengikut keperluan pada masa depan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin. Timbalan Perdana Menteri berkata, antara fungsi lain makmal berkenaan termasuk meneliti dasar dan prosedur semasa pengambilan pekerja asing; fungsi syarikat penyumberan luar yang membawa masuk pekerja asing dan meneliti undang-undang sedia ada. Beliau berkata, makmal yang diterajui oleh KDN diberi tempoh antara satu hingga dua bulan untuk mengemukakan laporan dan maklum balas kepada kerajaan.

"Dari situ kita akan melihat apakah langkah baru dan pendekatan baru yang perlu ambil untuk memastikan pengambilan pekerja asing adalah berdasarkan keperluan dan di samping itu ada sistem kawalan yang lebih rapi. "Kita juga cadangkan makmal melihat sistem bagaimana kemasukan pekerja asing dan kepulangan mereka selepas tempoh masa bekerja tamat, diuruskan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Tanpa Izin, di sini, semalam.

Beliau berkata, mesyuarat berkenaan turut membincangkan mengenai fungsi 277 syarikat penyumberan luar yang membawa masuk pekerja asing yang mana syarikat yang tidak aktif atau gagal mematuhi peraturan akan ditamatkan lesennya. Katanya, negara juga memerlukan sistem pemantauan pekerja asing yang lebih kemas bagi memastikan tenaga kerja asing yang dibawa masuk tidak disalahgunakan atau melanggar syarat.

Pada masa sama, katanya, makmal berkenaan akan turut memberi cadangan mengenai insentif tertentu kepada majikan yang mengambil pekerja tempatan dalam bidang tertentu. Menjawab soalan, Muhyiddin berkata, kerajaan akan melaksanakan dasar berkaitan pekerja asing itu secara berhemah supaya tidak mengganggu ekonomi negara.

"Kita mahu pastikan peraturan lebih ketat dikenakan. Ini bermakna sesebuah syarikat yang mahukan pekerja, pihak kementerian akan meneliti sama ada permohonan menambah pekerja itu wajar diluluskan.

"Makmal juga akan memperkemas sistem sedia ada bagi memantau dan memastikan kepulangan pekerja asing ke negara asal selepas tamat tempoh bekerja di negara ini mengikut waktu yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata, KDN juga diarahkan untuk membuat kajian terhadap kos sebenar pekerja asing di negara ini termasuk bayaran levi, perkhidmatan rawatan yang digunakan serta penggunaan subsidi minyak yang turut dinikmati mereka. "Jadi saya minta kementerian buat anggaran apakah kos sebenar, juga kos sepatutnya ditanggung majikan untuk dibuat perbandingan kos majikan membayar pekerja asing dengan kos gaji dan imbuhan pekerja tempatan,” katanya.

MAKMAL KHAS KAJI URUSAN AMBIL BURUH ASING DITUBUH

BERITA HARIAN, 23 Februari 2010
Oleh Johari Ibrahim dan Sazarina Shahrim
bhnews@bharian.com.my

PUTRAJAYA: Sebuah makmal khusus diterajui Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan ditubuhkan bagi meneliti dan memberi cadangan kepada kerajaan berhubung pengurusan pengambilan pekerja asing bagi membolehkan tenaga kerja asing hanya diambil mengikut keperluan pada masa depan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin. Timbalan Perdana Menteri berkata, antara fungsi lain makmal berkenaan termasuk meneliti dasar dan prosedur semasa pengambilan pekerja asing; fungsi syarikat penyumberan luar yang membawa masuk pekerja asing dan meneliti undang-undang sedia ada. Beliau berkata, makmal yang diterajui oleh KDN diberi tempoh antara satu hingga dua bulan untuk mengemukakan laporan dan maklum balas kepada kerajaan.

"Dari situ kita akan melihat apakah langkah baru dan pendekatan baru yang perlu ambil untuk memastikan pengambilan pekerja asing adalah berdasarkan keperluan dan di samping itu ada sistem kawalan yang lebih rapi. "Kita juga cadangkan makmal melihat sistem bagaimana kemasukan pekerja asing dan kepulangan mereka selepas tempoh masa bekerja tamat, diuruskan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa

Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Tanpa Izin, di sini, semalam. Beliau berkata, mesyuarat berkenaan turut membincangkan mengenai fungsi 277 syarikat penyumberan luar yang membawa masuk pekerja asing yang mana syarikat yang tidak aktif atau gagal mematuhi peraturan akan ditamatkan lesennya. Katanya, negara juga memerlukan sistem pemantauan pekerja asing yang lebih kemas bagi memastikan tenaga kerja asing yang dibawa masuk tidak disalahgunakan atau melanggar syarat.

Pada masa sama, katanya, makmal berkenaan akan turut memberi cadangan mengenai insentif tertentu kepada majikan yang mengambil pekerja tempatan dalam bidang tertentu. Menjawab soalan, Muhyiddin berkata, kerajaan akan melaksanakan dasar berkaitan pekerja asing itu secara berhemah supaya tidak mengganggu ekonomi negara.

"Kita mahu pastikan peraturan lebih ketat dikenakan. Ini bermakna sesebuah syarikat yang mahukan pekerja, pihak kementerian akan meneliti sama ada permohonan menambah pekerja itu wajar diluluskan.

"Makmal juga akan memperkemas sistem sedia ada bagi memantau dan memastikan kepulangan pekerja asing ke negara asal selepas tamat tempoh bekerja di negara ini mengikut waktu yang ditetapkan," katanya. Beliau berkata, KDN juga diarahkan untuk membuat kajian terhadap kos sebenar pekerja asing di negara ini termasuk bayaran levi, perkhidmatan rawatan yang digunakan serta penggunaan subsidi minyak yang turut dinikmati mereka.

"Jadi saya minta kementerian buat anggaran apakah kos sebenar, juga kos sepatutnya ditanggung majikan untuk dibuat perbandingan kos majikan membayar pekerja asing dengan kos gaji dan imbuhan pekerja tempatan,” katanya.

CADANGAN TINGKATKAN TAHAP LATIHAN SKM SEDANG DIKAJI

UTUSAN MALAYSIA, 23 Februari 2010

KLANG 22 Feb. - Kementerian Sumber Manusia sedang meneliti untuk meningkatkan tahap latihan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) supaya setaraf dengan kelulusan ijazah sarjana dan doktor falsafah (PhD) daripada institusi pengajian tinggi (IPT).

Timbalan menterinya, Datuk Maznah Mazlan berkata, langkah itu wajar berikutan peningkatan permintaan industri terhadap tenaga kerja dalam pelbagai bidang kemahiran yang semakin ketara pada masa ini. Melalui usaha tersebut, katanya, pelatih yang mengikuti 6,000 bidang latihan di bawah SKM berpeluang memperoleh kemahiran di peringkat yang lebih tinggi berbanding latihan sekarang yang bertaraf diploma di IPT.

"Kita mahu melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam pelbagai bidang.

"Oleh itu pihak kementerian dan Jabatan Tenaga Kerja sedang meneliti daripada pelbagai aspek bagi membolehkan tahap pengajian SKM ditingkatkan ke taraf diploma lanjutan sehingga ke peringkat PhD," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sijil kepada 80 peserta Program Jarum Emas Modal Insan Fasa 1 anjuran Pertubuhan Pembangunan Keluarga dan Wanita (PPKW) di pusat latihan jahitan di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi PPKW, Jani Wahab serta Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Kapar, Norliza Ahmad. Menurut Maznah, bagi tujuan berkenaan pihaknya turut mengkaji untuk meminda Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006. Katanya, ia supaya usaha menaik taraf SKM dapat dilaksanakan sebelum perkara itu dikemukakan kepada Kabinet untuk kelulusan.

"Ia termasuk mengkaji dari segi kemudahan, peralatan pembelajaran serta tenaga pengajar yang benar-benar berkelayakan.

"Malah, usaha menaik taraf tahap pengajian ini akan melibatkan kesemua 6,000 bidang di bawah SKM yang ditawarkan ketika ini," katanya.

Beliau berharap langkah menaik taraf SKM dapat menukar persepsi masyarakat yang memandang rendah bidang kemahiran berbanding akademik walaupun ia sebenarnya penting bagi memacu pertumbuhan negara pada masa depan.

Ini kerana, jelasnya, bidang kemahiran bukan hanya boleh dipraktikkan dalam sektor industri, malah ia boleh menjana pendapatan yang lebih tinggi kepada individu yang menguasainya.

RM132.2 MAJUKAN SIMUNJAN

UTUSAN MALAYSIA, 23 Februari 2010

SAMARAHAN 22 Feb. - Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM132.2 juta bagi melaksanakan pelbagai projek di daerah Simunjan sebagai usaha kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup serta keselesaan penduduk di kawasan berkenaan. Perdana Menteri berkata, daripada jumlah tersebut, kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM123 juta bagi membina jalan raya yang menghubungkan Kampung Gedong ke Pekan Simunjan malah tender projek tersebut sedang dibuka.

Menurut beliau, kerajaan juga meluluskan peruntukan sejumlah RM9 juta bagi menaik taraf serta membesarkan jalan di Kampung Pantong, dekat sini.

''Bagi mengatasi masalah banjir di pekan Simunjan, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan projek mendalamkan Sungai Simunjan Lama dengan memperuntukkan sebanyak RM2 juta pada tahun ini manakala RM1 juta lagi pada tahun depan.

''Sementara itu, peruntukan sebanyak RM2.2 juta pula diluluskan kerajaan untuk projek bekalan elektrik luar bandar (BELB) di lapan buah kampung di sekitar Kampung Gedong dan Pekan Simunjan," katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap selepas meninjau projek tebatan banjir di Kampung Nenas, Kampung Kelaka dan Tebingan Sungai Simunjan Lama dekat sini hari ini.

Pada majlis itu, kira-kira 5,000 penduduk menyambut ketibaan Perdana Menteri di Pekan Simunjan sebelum beliau melakukan Tinjauan Mesra di Pasar Pekan Simunjan serta bersalaman dengan rakyat selama kira-kira 30 minit.

Dalam pada itu Najib berkata, beliau berasa kagum dengan sambutan luar biasa penduduk di daerah Simunjan terhadap kehadirannya ke pekan tersebut dengan menyifatkan keadaan itu menunjukkan kerajaan Barisan Nasional (BN) masih dekat di hati rakyat.

Pada masa yang sama katanya, beliau dapat merasakan semangat 1Malaysia turut dihayati, difahami serta disambut secara menyeluruh oleh para penduduk sehingga ke pekan kecil seperti di daerah Simunjan ini.

''Ini kerana kita semua faham bahawa sebagai sebuah negara yang dikatakan kaya dengan kepelbagaiannya, maka kalau peribahasanya, jika tuah ayam dilihat di kakinya, tuah Malaysia pada rakyatnya.

''Rakyat perlu bersatu padu dalam satu ikatan, hormat menghormati antara satu dengan yang lain tidak mengira di mana kita berada tetapi kita dalam satu ikatan iaitu 1Malaysia," katanya.

Sementara itu, Najib menegaskan, pelayaran rakyat di negara ini masih diibaratkan satu pelayaran yang panjang yang menjangkau beberapa generasi kepimpinan negara dan negeri.
Namun jelasnya, apa yang penting adalah pelayaran negara ini membawa rakyat kepada satu peningkatan daripada takuk yang lama kepada takuk baru seperti Simunjan yang telah berubah menjadi bandar yang jauh lebih maju daripada sebelum ini.

''Begitu juga dengan negara ini yang dulunya kira-kira 60 peratus penduduknya miskin dan daif malah hanya bergantung kepada sumber pertanian getah, bijih timah, tiada bandar besar, golongan cerdik pandai serta sebagainya.

''Tetapi itu zaman dahulu dan berkat kesungguhan kepimpinan sejak dulu maka kita dapat melihat Malaysia telah berubah wajah menjadi sebuah negara yang dilihat sebagai mempunyai masa depan yang begitu baik dan cerah sekali," ujarnya.

Sehubungan itu, Perdana Menteri memberi jaminan kepada rakyat bahawa selagi kerajaan BN memerintah sama ada di peringkat Pusat dan negeri, maka kerajaan mampu menjadikan hari esok lebih baik daripada hari ini.

SPA: HATI-HATI AMBIL PEKERJA ASING

UTUSAN MALAYSIA, 23 Februari 2010

PUTRAJAYA 22 Feb. - Kementerian Dalam Negeri (KDN) diminta lebih berhati-hati dalam meluluskan permohonan kemasukan pekerja asing terutama bagi perkhidmatan spa.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar) menegaskan, ini bagi mengelakkan pihak tertentu menyalahgunakan kelulusan kemasukan pekerja asing tersebut.

"Kita meminta supaya kementerian yang diberikan kuasa menimbang dan meluluskan pekerja asing harus lebih hati-hati supaya ia tidak disalah gunakan pihak tertentu.

"Sebagai contohnya bagi perkhidmatan spa, kita dapat maklumat sebahagian daripada mereka tidak bekerja di spa tetapi bekerja di tepi-tepi jalan sebagai tukang urut," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Tanpa Izin (JKK-PATI) di sini hari ini.

Menurut Muhyiddin, pekerja asing tersebut didapati telah melanggar syarat kelulusan kemasukan di negara ini dan tindakan akan diambil ke atas mereka. Beliau berkata, kerajaan juga mahu sektor yang menggambarkan ciri Malaysia seperti pelancongan mematuhi keputusan yang dibuat sebelum ini iaitu hanya mengambil pekerja tempatan bagi perkhidmatan barisan hadapan.

"Bagaimanapun, kita lihat sebahagian hotel menggunakan pekerja asing untuk perkhidmatan barisan hadapan.

"Kita patut berikan kepada orang tempatan supaya mereka dapat menunjukkan adat resam kita sebagai daya tarikan, kalau pekerja asing ada yang tidak faham bahasa kita," katanya.

Timbalan Perdana Menteri juga mahu KDN membuat kajian tentang kos sebenar yang perlu dikeluarkan oleh majikan dan kerajaan bagi pengambilan pekerja asing. Katanya, kos tersebut antaranya membabitkan pembayaran levi, rawatan di hospital kerajaan dan minyak bersubsidi dibeli oleh pendatang asing.

"Buat satu anggaran apakah kos sebenar dan kos yang patut ditanggung majikan bagi mengambil pekerja asing berbanding jika ambil pekerja tempatan," jelasnya.

BANTERAS PEKERJA ASING BERNIAGA

UTUSAN MALAYSIA, 23 Februari 2010

PUTRAJAYA 22 Feb. – Polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) diarah membanteras pekerja asing yang berniaga secara tidak sah di pasar-pasar di seluruh negara. Mengumumkan demikian, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, tindakan turut dikenakan ke atas peniaga tempatan yang bersekongkol dengan menyerahkan lesen mereka kepada warga asing.

‘‘Kita akan kenal pasti status pekerja asing di pasar iaitu sama ada dia hanya berperanan sebagai pekerja atau terlibat dengan aktiviti jualan.

‘‘Penguat kuasa boleh dapatkan maklumat daripada peniaga sekeliling untuk kenal pasti status pekerja asing berkenaan, mereka tahu sama ada pemegang lesen pernah muncul di gerai atau menyerahkan gerainya kepada pekerja asing,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di sini hari ini. Muhyiddin berkata, kemunculan peniaga warga asing di pasar termasuk di pasar malam telah menjejaskan perniagaan penjaja tempatan.

‘‘Mereka (pekerja asing) sepatutnya bekerja di sini dan bukannya menjalankan perniagaan, lebih-lebih lagi jika terdapat PATI yang turut berniaga,” katanya. Sementara itu, beliau berkata, kerajaan pada masa ini belum memutuskan untuk menjalankan operasi besar-besaran ke atas PATI.

‘‘Pembanterasan PATI dijalankan secara sepanjang masa, kita tidak mahu sesiapa yang memasuki negara mengikut cara yang tidak sah.

‘‘Kita sedang meneliti keadaan, kita mahu hasilkan jalan penyelesaian jangka panjang menyeluruh mengenai isu pekerja asing.” katanya.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebelum ini mengumumkan penangguhan operasi membanteras PATI yang dijadualkan bulan ini.

Penangguhan itu dibuat selepas para majikan memberi komitmen untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi membersihkan PATI sebelum penguatkuasaan dijalankan.