Pokok kelapa banyak gunanya. Daripada pucuk hingga akarnya. Tiada satu tanpa guna. Enak pula rasanya. Tinggi nilainya.
Kenapa Kelapa Muda?
Pokok kelapa banyak gunanya. Daripada pucuk hingga akarnya. Tiada satu tanpa guna. Enak pula rasanya. Tinggi nilainya. Airnya digemari semua. Ringkasnya, ia pokok serbaguna. Begitu juga kita, dijadikan Allah swt dengan bakat dan rupa. Nilainya tidak terkata. Manusia, tanpa mengira miskin atau kaya, lembam atau cerdik akalnya, semuanya sama. Semuanya bergantung kepada kita untuk memenfaatnya.
Tepuk dada, iman pengantaranya.
HARGAILAH ORANG MUDA!
Friday, November 14, 2008
85% TENAGA KERJA KITA DI SINGAPURA DAKWA DITIPU
Hampir 85 peratus rakyat Sabah dan Sarawak yang bekerja di Singapura mendakwa menjadi mangsa penipuan agensi pekerjaan. Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, mereka mengadu dibayar gaji rendah dan diberi kerja yang berlainan daripada apa yang dijanjikan oleh agensi pekerjaan sebelum ke negara itu.
Menurut beliau, pada masa ini terdapat 500,000 tenaga kerja Malaysia di Singapura dan sebahagiannya datang dari Sabah dan Sarawak.
"Kita telah menerima 2,400 aduan yang kebanyakannya penduduk Sabah dan Sarawak. Bagi mengatasi masalah ini, kita minta Jabatan Tenaga Kerja (JTK) mengenal pasti agensi-agensi pekerjaan ini.
"Agensi-agensi pekerjaan ini boleh didenda RM5,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan," katanya pada sidang akhbar di Pejabat JTK Sabah di sini hari ini.
Beliau yang tidak menjelaskan jumlah sebenar tenaga kerja dari Sabah dan Sarawak di Singapura berkata, pada masa ini hanya satu agensi pekerjaan yang beroperasi di negeri ini berdaftar secara sah. Sehubungan itu katanya, bagi mencegah agensi-agensi haram berkenaan daripada terus beroperasi, orang ramai diminta melapor kepada JTK negeri jika melihat iklan mereka.
"Mereka boleh dikenakan tindakan mengikut di bawah Agensi Pekerjaan Swasta dan jika agensi haram ini membuat iklan, boleh didenda RM3,000 atau penjara setahun atau kedua-dua sekali," katanya.
Pada masa sama katanya, kerajaan juga sedang berusaha untuk mewujudkan peluang pekerjaan yang cukup untuk kira-kira 60,000 rakyat Sabah yang masih menganggur.
Subramaniam berkata, pihaknya akan mencari jalan untuk menyerapkan mereka dalam pasaran kerja tempatan kerana dianggarkan 300,000 rakyat asing bekerja secara haram di Sabah.
"Jika 60,000 rakyat Sabah yang menganggur ini dapat mengisi peluang pekerjaan yang dimonopoli 300,000 pekerja asing tidak sah, masalah pengangguran akan selesai," katanya.
Beliau memberitahu, Sabah pada ketika ini mempunyai 74,000 rakyat asing yang bekerja secara sah.
Dalam pada itu kata Subramaniam, kementeriannya akan turut menyediakan program-program untuk membantu golongan muda di sini bagi mewujudkan tenaga kerja mahir. Katanya, proses melahirkan tenaga kerja mahir akan ditumpukan dalam bidang tertentu khususnya kehendak pasaran kerja masa kini.
Tuesday, November 11, 2008
PENDIDIKAN TIGA ALIRAN SEKOLAH TEKNIK DAPAT SAMBUTAN MENGGALAKKAN
Khairina Yasin kayrina@bharian.com.my
PELUANG pendidikan tiga aliran yang ditawarkan sekolah menengah teknik (SMT) seluruh negara kini menjadi pilihan lulusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) apabila 85,825 permohonan diterima setakat ini bagi memasuki tingkatan empat ke sekolah itu, tahun depan. Jumlah permohonan yang direkodkan sehingga 5 November lalu itu dijangka terus meningkat berikutan tempoh permohonan yang masih dibuka sehingga 15 Januari depan. Pengarah Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional, Kementerian Pelajaran, Datuk Yusoff Harun, berkata daripada jumlah itu, 31,229 memohon aliran vokasional, 31,060 (teknik) dan 23,536 (kemahiran).
Katanya, jumlah permohonan itu disifatkan luar biasa kerana permohonan bagi kemasukan tingkatan empat di SMT baru dibuka, pada akhir Oktober lalu. “Melihat trend permohonan kali ini, kita menjangkakan peningkatan mendadak dicatat dari segi jumlah permohonan, malah mampu mencecah lebih 200,000 permohonan, sekali gus mengatasi rekod tahun lalu dengan 208,841.
“Perkembangan ini menunjukkan keyakinan ibu bapa terhadap aliran pengajian di SMT yang menekankan kepada aspek kemahiran dan vokasional, justeru menjadi pilihan ramai lulusan PMR untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat pendidikan menengah tinggi.
“Malah, pencapaian itu juga mencerminkan kecenderungan tinggi pelajar terhadap aliran teknik, vokasional dan kemahiran yang ditawarkan di SMT. Ini membuktikan usaha kami dalam memantap dan memperkasakan SMT semakin menampakkan kejayaan,” katanya kepada Berita Harian di Putrajaya.
Berdasarkan unjuran tahun depan, seramai 32,440 lulusan PMR akan ditawarkan tempat memasuki tingkatan empat di 90 SMT seluruh negara. Daripada jumlah itu, katanya, 15,600 tempat disediakan untuk aliran vokasional, diikuti teknik (12,180) dan kemahiran (4,660). Beliau menjelaskan, permohonan calon berjaya boleh disemak pada tarikh yang akan diumumkan iaitu dua minggu selepas pengumuman keputusan PMR 2008.
Lapan kursus ditawarkan bagi aliran teknikal, iaitu Kejuruteraan Mekanikal, Kejuruteraan Awam, Kejuruteraan Elektrik, Perdagangan, Ekonomi Rumah Tangga (ERT) (Pengurusan Makanan), ERT (Pengajian Pakaian), Pertanian (Sains Pertanian) dan Pertanian (Pengajian Agroteknologi).
Bagi aliran vokasional, antara kursus ditawarkan Pengaturcaraan Komputer, Automotif, Elektrik dan Elektronik, Katering, Pengurusan Teknologi Pejabat, Pengurusan Perniagaan, Amalan Bengkel Mesin, Kimpalan dan Binaan Bangunan.
Pilihan bidang dalam Mekanikal, Awam, Elektrik, ERT dan Pertanian pula ditawarkan menerusi aliran kemahiran.
LEBIH 40,000 TENAGA MAHIR SETAHUN
S Anand Kumar anand@bharian.com.my
Jabatan Tenaga Manusia (JTM) berupaya melahirkan lebih 40,000 tenaga mahir setahun menjelang 2015 dengan pembinaan lapan lagi institusi latihannya sebelum 2011. Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam, berkata ketika ini, seramai 22,000 pelajar sedang mengikuti pelbagai program kemahiran sama ada pada peringkat diploma atau sijil di 22 institut latihan JTM seluruh negara.
Subramaniam berkata, penambahan sebanyak lapan institut latihan JTM itu dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). “Beberapa program baru akan ditambah seperti program latihan dalam sektor perkhidmatan, perhotelan dan perladangan.
“Apabila lapan institusi itu siap, ia dapat menambah kapasiti Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) sebanyak 5,000 orang kepada 27,000 orang,” katanya ketika berucap pada majlis konvokesyen ILJTM ke-13 di Stadium Putra Bukit Jalil, di sini, semalam.
Subramaniam berkata, JTM juga menjalankan kursus separuh masa sama ada berbentuk teori atau praktikal dalam meningkatkan kemahiran pekerja industri. Dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, katanya, ILJTM sudah melatih 61,177 peserta daripada 1,824 syarikat yang mengikuti kursus jangka pendek.
Dalam pada itu, Subramaniam berkata, bagi tempoh 2006-2010, jumlah guna tenaga dalam ekonomi dijangka mencatat pertumbuhan tahunan purata sebanyak 1.9 peratus, daripada 10.9 juta pekerja pada 2005 kepada 12 juta pekerja pada 2010.
“Pertumbuhan ini selaras dengan jangkaan pengembangan dalam ekonomi, terutama dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan pembinaan, yang secara kolektif akan menyumbang sebanyak 95 peratus pada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2020,” katanya.
KAJI MATA PELAJARAN INOVASI DI SEKOLAH
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta Kementerian Pelajaran mengkaji kemungkinan memperkenalkan mata pelajaran berkaitan inovasi di sekolah bagi melahirkan pelajar yang dapat berfikir dan mempunyai sikap suka mengambil tahu.
Perdana Menteri berkata, kemahiran berfikir seharusnya dikuasai oleh pelajar sejak usia muda bagi mengelak mereka daripada hanya cenderung dengan aktiviti membaca, mengambil peperiksaan dan kemudian lulus.
‘‘Kita perlu memikirkan program untuk membantu pelajar supaya apabila sampai ke universiti mereka sudah mempunyai kemampuan bagi melakukan inovasi,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Inovasi Negara di bangunan Parlimen di sini hari ini.
Sunday, November 09, 2008
PERSEDIAAN ROHANI TINGKAT KEYAKINAN HADAPI PEPERIKSAAN
Oleh Dr Aminudin Mansor
UNSUR kerohanian memainkan peranan penting ke arah pencapaian akademik yang cemerlang. Pengukuhan dalaman itu amat berkesan disisip dengan teknik dan strategi pembacaan, mengambil nota serta perbincangan dalam kumpulan. Semua itu akan menjadi tonggak utama untuk mencapai kejayaan terutama menjelang peperiksaan.
Strategi berkesan dan menggunakan kemudahan bantuan pembelajaran seperti perpustakaan turut membantu dalam mempersiapkan diri menghadapi peperiksaan. Ibu bapa mesti memainkan peranan penting memberi semangat dan motivasi kepada anak yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.
Selain persiapan fizikal dan mental, anak juga dinasihat mengukuhkan persiapan rohani termasuk sentiasa mengingati Allah dengan tidak meninggalkan sembahyang, membaca al-Quran, berpuasa dan berzikir. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Apabila Allah menyenangi hamba maka dia diuji supaya Allah mendengar permohonannya (kerendahan dirinya)." (Hadis riwayat al-Baihaqi) Amalan berdoa setiap kali selepas bersembahyang adalah amalan yang baik.
Justeru, digalakkan selain berusaha dengan memperbanyakkan ulang kaji, pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan bertawakal serta memohon pertolongan Allah.
Bagaimanapun, kata-kata 'usaha tangga kejayaan' harus dijadikan panduan kepada pelajar kerana tanpa mengulang kaji pelajaran, bagaimana pelajar akan dapat menjawab soalan ketika peperiksaan nanti. Ibu bapa juga mesti mendoakan kejayaan anak. Daripada Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Tiga doa yang mustajab, tanpa syak lagi; doa orang dizalimi, doa orang musafir dan doa ibu bapa kepada anaknya." (Hadis riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi)
Sesungguhnya, Imam Al-Ghazali menjelaskan, ada tiga perkara yang apabila diberikan kepada pemuda, sesungguhnya ia sudah memperoleh kebaikan di dunia dan akhirat iaitu hati yang sentiasa bersyukur, lidahnya sentiasa berzikir dan dirinya sentiasa bersabar menghadapi ujian. Persiapan saat akhir juga tidak digalakkan dan ibu bapa seharusnya mengawasi aktiviti anak supaya tidak terlepas waktu belajar. Pada masa sama, ibu bapa perlu memberi perhatian supaya anak mempunyai waktu tidur yang cukup sebagai persiapan fizikal menghadapi peperiksaan.
Dalam menghadapi peperiksaan ibu bapa boleh mendidik anak-anak supaya yakin dan percaya dengan kebolehan diri sendiri, menanam keazaman yang kuat, berani menempuh ujian dan peperiksaan serta ikhlas dalam amal. Semuanya itu akan membina minda dan peribadi Muslim yang unggul ke arah kejayaan. Selain itu, ada beberapa rahsia ke arah kecemerlangan antaranya yakin pertolongan Allah, berfikiran positif, bercita-cita tinggi serta bersiap sedia menghadapi segala rintangan dan halangan.
Daripada Sufyan bin Abdullah al-Thaqofi, beliau berkata: Aku berkata: "Wahai Rasulullah! Katakan kepadaku suatu kata-kata yang tak perlu lagi aku bertanya kepada sesiapa mengenainya selepas engkau. Baginda bersabda: Katakanlah, aku beriman dengan Allah, kemudian istiqamah (tetap teguh di atas jalan yang betul)." (Hadis riwayat Muslim dan Ahmad) Emosi anak juga perlu diberi perhatian kerana ia bakal membentuk kekuatan untuk mencapai kejayaan cemerlang.
Jangan terlalu meletakkan pengharapan tinggi kepada anak hingga menimbulkan rasa tertekan di jiwa mereka. Peperiksaan adalah cara menilai pencapaian anak dalam pelajaran. Oleh itu, persiapan menghadapi peperiksaan penting supaya mendapat kejayaan cemerlang. Namun, tujuan utama menuntut ilmu ialah bagi meraih kejayaan di dunia serta akhirat. Di samping mencari kejayaan dunia, ilmu pengetahuan seharusnya mendekatkan pelajar kepada Allah seterusnya menyumbang kepada ummah.
Friday, November 07, 2008
LATIH 100,000 PEKERJA SETAHUN
Oleh S Anand Kumar
Kumaranand@bharian.com.my
KUALA LUMPUR: Kementerian Kerjaraya mengarahkan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) melatih kira-kira 100,000 tenaga kerja mahir tempatan dalam tempoh setahun, selaras usaha kerajaan mengurangkan buruh asing dalam sektor binaan.
Menterinya, Datuk Mohd Zin Mohamed, berkata kementerian akan menyediakan peruntukan RM100 juta kepada CIDB bagi membolehkan tenaga kerja berkenaan menguasai segala kemahiran dalam sektor pembinaan. Beliau berkata, ketika ini hampir 320,000 pekerja asing bekerja dalam sektor pembinaan di negara ini dan kementerian akan mengurangkan angka itu secara berperingkat.
“CIDB akan melatih tenaga mahir menerusi enam Akademi Binaan Malaysia (ABM) di seluruh negara. Saya percaya, langkah ini adalah pendekatan untuk mengurangkan tenaga asing dalam sektor pembinaan,” katanya pada sidang media selepas melawat tapak Pertandingan Kemahiran Asean (ASC) ketujuh yang berlangsung selama tiga hari bermula 14 November ini di ABM, Jalan Chan Sow Lin dekat sini semalam.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Kerjaraya, Datuk Dr Abdul Munit Kasmin; Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR), Datuk Seri Dr Judin Abdul Karim dan Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Hamzah Hasan. Malaysia akan menyertai semua 19 bidang kemahiran yang dipertandingkan membabitkan 38 peserta bagi merebut pingat emas, perak dan gangsa.
Dalam perkembangan lain, Mohd Zin berkata bagi memastikan Sistem Binaan Industri (IBS) dapat dimanfaat sepenuhnya dalam sektor binaan tempatan, kementerian mewujudkan pusat kajian IBS dan makmal untuk kajian komponen sistem berkenaan.
“Ini adalah makmal IBS terbesar di negara ini dan ia dijangka beroperasi Mac tahun depan. Sekarang kita menghantar sampel komponen IBS ke Singapura untuk kajian. Kos membangunkan makmal ini sebanyak RM30 juta,” katanya.
442,936 DUDUKI SPM MULAI 11 NOVEMBER
7 November 2008
KUALA LUMPUR 6 Nov. - Seramai 442,936 calon bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 11 November ini. Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom berkata, daripada jumlah itu, 10,331 calon sekolah swasta dan 28,507 lagi calon persendirian perseorangan.
''Kita juga mempunyai 388,079 atau 87.6 peratus calon sekolah Kementerian Pelajaran dan calon sekolah kerajaan negeri manakala 16,019 atau 3.6 peratus lagi terdiri daripada calon tajaan badan tertentu,'' kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini. Beliau berkata, 3,939 pusat peperiksaan telah disediakan di seluruh negara untuk calon-calon menduduki peperiksaan SPM tahun ini.
Katanya, segala maklumat mengenai masa peperiksaan, peringatan kepada calon dan arahan serta amaran yang perlu dipatuhi semasa menduduki peperiksaan telah pun diedarkan melalui jadual waktu peperiksaan. Beliau menambah, calon perlu membawa bersama kad pengenalan masing-masing pada setiap masa peperiksaan dijalankan.
''Ini adalah untuk memastikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan berjalan lancar,'' ujarnya. Beliau juga mengingatkan semua calon supaya membuat persediaan awal untuk mengelakkan berlaku keadaan atau kejadian yang tidak diingini sehingga boleh menghalang mereka sampai ke pusat peperiksaan mengikut jadual.
Katanya, sekiranya berlaku bencana alam seperti banjir atau kebakaran, sebarang pindaan kepada jadual waktu peperiksaan dan perubahan pusat peperiksaan akan berlaku melalui hebahan media massa.
Beliau mengingatkan calon SPM supaya tidak terpedaya dengan penyebaran soalan bocor yang dihebahkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).
RM100 JUTA LATIH 100,000 TENAGA MAHIR
Oleh HASNURUL MOHAMED
KUALA LUMPUR 6 Nov. - Kementerian Kerja Raya memperuntukkan RM100 juta kepada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) untuk melatih 100,000 tenaga mahir tempatan dalam usaha mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga buruh asing.
Menterinya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, mereka akan dilatih selama setahun di enam Akademi Binaan Malaysia (ABM) di seluruh negara.
"Kita mempunyai enam ABM iaitu di Sungai Petani, Terengganu, Wilayah Tengah, Johor, Sabah dan Sarawak.
"Ketika ini kita mempunyai 320,000 orang tenaga buruh asing yang perlu dikurangkan melalui peningkatan modal insan khususnya anak muda kita sendiri yang memerlukan latihan teknikal dan vokasional," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengumumkan pertandingan Kemahiran ASEAN ke-7 yang akan diadakan di sini, dari 14 hingga 16 November ini. Seramai 197 peserta akan mengambil bahagian dalam 19 bidang kemahiran yang dipertandingkan.
Katanya, langkah awal untuk menimbulkan minat terhadap industri pembinaan perlu dilakukan apabila 10,000 kanak-kanak sekolah dibawa dan didedahkan tentang pertandingan kemahiran yang akan diadakan pada minggu hadapan.
Beliau menambah, perkara yang mempunyai hubung kait dengan kemahiran teknikal dan vokasional sebenarnya memberi kekuatan kepada ekonomi negara.
Thursday, November 06, 2008
PENDATANG ASING TANPA IZIN 'KUASAI' KAMPUNG
UTUSAN MALAYSIA, 6 November 2008
Penduduk Kampung Usaha Jaya, Johor Bahru di sini kesal dengan sikap segelintir pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang berlagak seperti penduduk tetap kampung itu sejak beberapa tahun lalu.
Seorang penduduk, Alfizan Md. Zaini, 36, berkata, memandangkan bilangan PATI yang semakin bertambah sejak akhir ini maka kerenah mereka semakin menjadi-jadi.
"Ada yang semakin berani mendirikan rumah dengan sewenang-wenangnya di kawasan ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, baru-baru ini pihak yang bertanggungjawab ada menyuarakan akan mengambil alih kampung tersebut dan memberikan rumah atau pampasan kepada penduduk warga tempatan.
"Tetapi bagi PATI ini, mereka turut berjuang bermati-matian untuk menuntut hak yang sama dengan penduduk tempatan iaitu inginkan pampasan atau rumah," tambahnya. Seorang lagi penduduk lain, Ismail Putih, 47, pula memberitahu, kebanyakan PATI terbabit didapati turut mengubah suai rumah mereka iaitu dari papan sehinggalah ke rumah batu.
"Ada juga yang sengaja membina sebuah lagi rumah, bersebelahan rumah mereka dengan niat jika berlaku pembancian di kampung itu, rumah baru mereka akan turut dikira," katanya. Menurut Ismail, walaupun pada hakikatnya warga Indonesia itu sudah maklum bahawa mereka tidak akan mendapat hak yang sama apabila berpindah nanti, namun ia tidak diendahkan. "Malah mereka bersikap mengalahkan penduduk tempatan," tambahnya.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati majoriti penduduk Kampung Usaha Jaya terdiri dari warga Indonesia yang telah menetap bertahun-tahun lamanya.
Wednesday, November 05, 2008
PERLAKSANAAN SISTEM IBS KURANGKAN PERGANTUNGAN KEPADA PEKERJA ASING
BERITA HARIAN, 5 November 2008
USAHA kerajaan meluluskan peruntukan RM9.2 billion dikhususkan untuk mengaplikasi kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) seperti diumumkan Menteri Kerjaraya, Datuk Mohd Zin Mohamed menggambarkan kerajaan serius menjadikan IBS sebagai komponen utama projek pembinaan.
Konsep IBS ini membabitkan komponen binaan siap disediakan di kilang dan dibawa ke tapak binaan untuk dipasang, dijangka mampu menukar persepsi masyarakat terhadap sektor binaan yang sering dilihat sebagai industri cemar, bahaya dan sukar walaupun persepsi ini sebenarnya tidak terkecuali juga kepada kebanyakan sektor lain. Penggunaan IBS juga jika dipraktikkan secara menyeluruh, dipercayai mampu mengurangkan penggunaan tenaga manusia, sekali gus mampu mengatasi kebergantungan negara kepada tenaga kerja asing.
Namun, hakikat bentuk projek yang pelbagai dari segi saiz, bermula dari kerja kecil kepada projek yang pelbagai reka bentuk ketika ini, ia dilihat masih tidak mampu diaplikasikan kepada semua pelaksanaan projek, terutama projek pengubahsuaian. Kontraktor binaan terutama bersaiz kecil berasakan konsep IBS masih terlalu asing kepada mereka kerana kurang pendedahan dan pengetahuan.
Tambahan pula, buat masa ini rata-rata projek yang dilaksanakan di peringkat daerah, konsep IBS belum menjadi pendekatan mesra, sama ada dari segi reka bentuk, kaedah pembinaan atau untuk mendapatkan sumber bekalan mengikut kesesuaian. Kecuali ada faktor penarik berupa insentif berterusan kepada kontraktor yang serius menjadikan konsep IBS sebagai amalan kerja mereka, usaha menggunakan konsep IBS ini diragui berjaya.
Justeru, dicadangkan perkara berikut yang difikirkan mampu menjadi faktor penarik kepada penggunaan IBS di sektor binaan ini;
- Pusat penyediaan sumber bekalan ke atas komponen binaan diwujudkan di setiap negeri atau daerah bagi memudahkan kontraktor mendapatkan bekalan. Insentif bersesuaian hendaklah diberikan kepada pembekal persendirian yang sanggup mendirikan kilang bagi mengeluarkan komponen berkaitan.
- Mewujudkan lebih banyak 'Kontraktor Pemasang' bagi menjayakan konsep IBS pada pelbagai peringkat kelas dan gred kontraktor di setiap negeri dan daerah. Bagi memastikan tenaga kerja tempatan digunakan secara optimum, 'Kontraktor Pemasang' hendaklah diwajibkan hanya menggunakan pekerja tempatan yang dilatih di institusi latihan tajaan kerajaan.
- Bagi menggalakkan lagi penggunaan IBS, kerajaan harus menyediakan insentif sewajarnya kepada kontraktor yang diambil untuk menjadi 'Kontraktor Pemasang'. Setiap 'kontraktor pemasang' yang diiktiraf hendaklah dikategorikan sebagai 'Kontraktor Istimewa' yang melayakkan mereka memperoleh insentif dengan diberi keutamaan untuk mendapat projek kerajaan secara berterusan yang dilaksanakan di setiap daerah.
- 'Kontraktor Istimewa' turut dibenarkan melaksanakan projek melebihi nilai dibenarkan mengikut kelas atau gred kontraktor.
- Cadangan supaya setiap projek mesti mempunyai 70 peratus komponen berkonsepkan IBS dimulakan dengan projek kerajaan.
- Promosi berterusan di setiap negeri atau daerah hendaklah dilaksanakan dalam bentuk taklimat atau seminar ke arah pembudayaan konsep IBS di sektor binaan. Galeri IBS hendaklah diwujudkan di setiap negeri.
- Menganjurkan pertandingan reka bentuk bangunan berkonsepkan IBS tercantik peringkat negeri.
- Berusaha untuk menerapkan konsep IBS ini dalam kurikulum di setiap institusi latihan kemahiran tajaan kerajaan yang wujud di negara ini.
Apa yang penting, dengan mengaplikasikan IBS ini, ia bukan sekadar mengurangkan penggunaan tenaga kerja manusia, tetapi hendaklah memastikan tenaga kerja tersebut terdiri dari kalangan belia-belia yang telah dilatih di institusi latihan kemahiran.
Tuesday, November 04, 2008
PENGAJAR IKBN TIDAK BERDISIPLIN
KAMI pelatih Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Bukit Mertajam, Pulau Pinang, tertekan dengan sikap segelintir pengajar IKBN yang suka melemparkan kata kesat kepada kami seperti 'beruk’, `kuda kayu’, `muka macam penyamun’ dan lain-lain lagi. Seorang kawan kami cuba menasihati pengajar yang suka melemparkan kata kesat, namun disepak dan ditumbuk seperti ‘anjing’ dalam kelas.
Apakah itu cara pembelajaran di IKBN Bukit Mertajam? Untuk tidak memanjangkan isu itu, kami menasihatinya agar tidak melaporkan kepada polis.
Kami tidak faham peraturan di IKBN itu, pengarah benarkan pelatih bermain mercun pada bulan puasa tetapi pegawai pula menghukum. Begitu juga dengan sambutan bulan kemerdekaan, pelatih bukan Melayu dibenarkan, manakala pelatih Melayu dipaksa ikut program, kalau tidak kena denda.
Sebenarnya pengajar IKBN itu sendiri ramai yang tidak berdisiplin, pakaian tak kemas serta mempersendakan Negaraku pada perhimpunan bulanan di atas pentas di belakang pengarah dengan menyanyi tidak ikut rentak dan mengilai.
Pelatih Tertekan
Monday, November 03, 2008
VOKASIONAL PERLU DIROMBAK, DINAIK TARAF
BERITA HARIAN, 3 November 2008
DUA minggu lalu, lebih 450,000 calon selesai menduduki peperiksaan bertulis Penilaian Menengah Rendah (PMR) di seluruh negara. Seminggu dari sekarang, bilangan yang hampir serupa akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Kalau PMR menjadi peperiksaan bagi menentukan bentuk aliran yang diikuti, sama ada aliran sains, sastera atau teknikal mengikut kecenderungan masing-masing, SPM pula dikira lebih penting kerana ia akan menentukan masa depan sebenar hampir setengah juta pelajar.
Yang lulus cemerlang dipercayai akan memberi jaminan kedudukan penerusan akademik yang lebih sempurna dengan kemudahan kewangan dan biasiswa. Jika sebaliknya, ia menjadi menjadi igauan kepada kumpulan ini berhubung arah kehidupan dan hala tuju selepas ini.
Alangkah beruntungnya negara sekiranya pelajar seramai ini, selain memburu kecemerlangan yang diidamkan, mereka turut mampu berfikir jauh, mempunyai wawasan serta jati diri yang tinggi. Mereka mempunyai semangat berkobar-kobar dan menyedari bahawa dalam waktu yang sudah tidak jauh tempohnya, perjuangan memartabatkan agama, bangsa dan tanah air tidak lagi dipikul pemimpin sedia ada.
Namun, persoalannya berapa peratus daripada mereka yang pandangannya menjangkau sejauh ini. Apa lagi menginsafi bahawa tugas dan tanggung jawab yang menanti pasti akan digalas mereka, sama ada mereka suka atau sebaliknya. Jika tidak, pasti mereka bakal menjadi penonton yang tiada nokhtahnya. Sebaliknya, sejauh mana rasa tanggungjawab ini diterapkan kepada pelajar ketika 11 tahun persekolahan mereka sehingga memungkinkan mereka mempunyai wawasan yang jelas lagi jitu?
Di samping negara mengharapkan kepada kumpulan pemikir berkualiti yang mampu membawa negara ke titik kecemerlangan, negara juga tetap memerlukan insan yang tinggi tahap kemahiran untuk menjadi pelaksana kepada cita-cita negara. Ia hakikat yang perlu diterima oleh pelbagai pihak.
Oleh itu, sudah tiba waktunya persepsi kepada pencapaian dalam pendidikan di peringkat persekolahan dinilai semula atau dilakukan reformasi secara menyeluruh. Kecemerlangan yang menjadikan akademik semata-mata sebagai kayu ukur kepada tahap kecerdikan dan tahap kejayaan perlu dirombak supaya kecemerlangan yang ditonjol mengambil kira elemen akademik dan potensi diri.
Justeru, subjek seperti reka cipta, kemahiran hidup dan subjek berbentuk kemahiran teknikal dan vokasional atau seumpamanya perlu dinaik taraf. Subjek ini hendaklah diformulakan supaya tidak lagi dilihat sebagai subjek 'kelas dua' bahkan setanding dengan subjek sains. Anugerah kecemerlangan dalam majlis penyampaian kecemerlangan pelajar hendaklah meliputi kecemerlangan dalam tahap kemahiran melalui subjek berbentuk vokasional. Inisiatif ini hendaklah dimulakan seawal di sekolah rendah.
Mempunyai barisan guru yang komited dan sanggup berkorban semata-mata untuk memastikan anak murid memperoleh tahap akademik cemerlang saja tidak memadai. Ia diibaratkan hanya melatih nakhoda untuk melayari bahtera yang canggih tetapi tanpa anak kapal berkemahiran.
Justeru, perlulah ada keseimbangan di antara kedua-duanya sejak dari awal persekolahan lagi. Sudah tiba waktunya kita menilai keadaan itu dengan serius. Usaha kerajaan memperkasakan pendidikan vokasional seperti yang dicadangkan perlu dijayakan segera tanpa dilengahkan lagi. Pendedahan kepada kemahiran vokasional perlu dipupuk seawal tingkatan satu.
Komitmen guru harus diteruskan dengan turut dijuruskan ke arah membimbing dan mendorong kumpulan pelajar lemah akademik agar harga diri semua pelajar mampu ditingkatkan. Guru juga harus mampu mengenal pasti kumpulan pelajar yang berkaitan untuk diberi dorongan bersesuaian.
Maklumat berhubung kewujudan ratusan institusi latihan kemahiran dalam negara perlu dijadikan topik dalam mata pelajaran tertentu. Adalah baik sekiranya diwujudkan segera subjek kerjaya agar semua aspek kemahiran yang menjadi keperluan negara disampaikan secara terus dan tersusun.
Dengan bilangan pelajar yang mencecah setengah juta setiap tahun yang menduduki peperiksaan, harus tidak timbul lagi persoalan mengharapkan pihak lain untuk merealisasikan agenda pembangunan negara. Tambahan pula negara mempunyai ratusan institusi latihan kemahiran yang saban tahun mencari-cari pelatih untuk memenuhi kuota pengambilan.
Persoalan seterusnya, adakah di kalangan guru menyedari kewujudan ratusan institusi latihan kemahiran yang menawarkan pelbagai bentuk kemahiran sebagai penerusan daripada apa yang dipelajari di sekolah?
Di samping memberi penerangan kepada pelajar berhubung kursus yang ditawarkan di universiti tempatan, adakah guru turut mampu memberi penerangan jelas berhubung bentuk kemahiran yang ditawarkan oleh pelbagai institusi latihan kemahiran yang diwujudkan kerajaan, khusus untuk kumpulan insan yang berpotensi.
UK KLASIFIKASIKAN WARGA ASING
3 November 2008
Oleh Norliza Wasilannorlizawasilan@bharian.com.my
KUALA LUMPUR: United Kingdom (UK) akan melaksanakan dasar baru kepada semua warga negara asing, termasuk Malaysia yang mahu masuk ke negara itu berdasarkan segmen atau klasifikasi seperti pelajar, guru, pelawat dan tenaga pakar.
Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata beliau menerima surat daripada Pesuruhjaya Britain, Boyd McCleary, dua hari lalu mengenai perubahan undang-undang dan imigresen yang mungkin dilaksanakan negara itu awal tahun depan membabitkan warga asing di sana. Rais berkata, di bawah segmen berkenaan, mereka yang ingin ke UK akan diklasifikasikan mengikut kepakaran tenaga mahir, contohnya doktor; peluang pelajaran dan lawatan biasa.
“Kita akan maklumkan kepada Kabinet mengenai perubahan ini,” katanya pada Majlis Sambutan 50 Tahun Institut Perguruan Bahasa Melayu Malaysia (IPBMM) dan Pelancaran Alumni IPBMM anjuran IPBMM, di sini, semalam.
Pada 10 Julai lalu, kerajaan negara itu secara rasminya memberi enam bulan notis kepada Malaysia untuk menangani masalah rakyatnya yang bekerja secara haram dan tinggal melebihi tempoh ditetapkan di UK.
Malaysia juga dikatakan berada di kalangan 20 negara tertinggi bagi pencabulan undang-undang imigresen di UK dan mengikut rekod, secara purata dua rakyat negara ini diusir setiap hari atau kira-kira 1,500 setahun kerana melanggar undang-undang tempatan.
LEPASAN SEKOLAH PERLU SERTAI KURSUS KEMAHIRAN
3 November 2008
KOTA KINABALU 2 Nov. - Para pelajar yang tidak berpeluang melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi diminta segera memohon untuk masuk ke pusat-pusat latihan kemahiran di negeri ini.
Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian negeri, Datuk Jainab Ahmad berkata, mereka tidak boleh cepat berputus asa kerana peluang melanjutkan pelajaran dalam pelbagai bidang masih terbuka luas.
Menurut beliau, lepasan sekolah perlu sedar bahawa kerjaya yang memerlukan kemahiran termasuk dalam sektor perhotelan dan pelbagai sektor perkhidmatan lain menyediakan banyak peluang pekerjaan pada masa ini.
"Saya meminta agar belia kita atau lepasan sekolah mengikuti kursus yang ditawarkan di mana-mana pusat latihan termasuk Pusat GiatMara. "Dengan mengikuti khusus yang ditawarkan, pelajar dapat mempersiapkan diri dengan pelbagai latihan kemahiran sekaligus memudahkan mereka mendapat peluang pekerjaan kelak," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Sijil Graduasi Pusat Giat Mara Sepanggar di sini semalam.
Menurut Jainab, dengan menyertai kursus di pusat-pusat latihan kemahiran itu juga, para belia dapat menghindarkan diri daripada terjebak dengan masalah sosial. "Apa yang dapat dilihat pada hari ini, lepasan institusi latihan yang menawarkan latihan berbentuk kemahiran teknikal lebih mudah mendapatkan pekerjaan.
"Ini kerana mereka mempunyai kemahiran dan kepakaran lebih menjurus kepada satu-satu bidang tertentu yang amat diperlukan dalam sektor perindustrian negara kita," katanya.
Beliau berkata, di kawasan Dewan Undangan Negeri Sepanggar saja terdapat empat buah hotel dan resort yang memerlukan ramai pekerja berkemahiran. "Banyak peluang pekerjaan boleh direbut, yang penting kesungguhan, keyakinan dan usaha, anak-anak kita ini mampu menjadi orang yang berguna.
"Bukan itu sahaja, kerajaan sentiasa memberikan banyak peluang kepada para pelajar dalam melahirkan generasi bertaraf profesional dalam hidup mereka," katanya.
Jainab turut menggesa agar GiatMara memperbanyakkan kursus yang ditawarkan sejajar dengan perkembangan industri semasa. "GiatMara mempunyai potensi besar dalam melatih pelajar-pelajar kita, justeru saya harap pusat ini boleh memperkenalkan banyak lagi kursus yang sesuai dengan permintaan ekonomi dan pembangunan negeri ini," katanya.
IKBN BAKAL AMBIL 10,000 PELAJAR
3 November 2008
PAPAR 2 Nov. - Kementerian Belia dan Sukan akan menambah bilangan pengambilan pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) kepada lebih 10,000 orang tahun depan. Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) kementerian itu, Borhan Dolah berkata, pada tahun ini bilangan pelajar yang berjaya masuk ke institut itu cuma sekitar 9,000 orang.
"Bagi 2008 pengambilan pelajar di semua IKBN adalah sekitar 9,000 orang yang melibatkan sebelas bidang latihan utama dan 67 kursus sementara.
"Kementerian merancang membuat pengambilan 10,030 pelajar pada tahun depan dan terus meningkat kepada 10,760 pelajar bagi 2010," katanya semasa berucap pada majlis Konvokesyen IKBN Kinarut 2008 dekat sini hari ini.
Pada majlis itu, 418 graduan IKBN menerima sijil kemahiran masing-masing. Menurut Borhan, di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), kementerian akan membina enam lagi IKBN baru iaitu di Pekan, Pahang; Bandar Penawar, Johor; Pedu, Kedah; Kuala Langat, Selangor; Kerteh, Terengganu dan Tanah Merah, Kelantan.
"IKBN ini akan dibina dengan tumpuan di luar bandar dan tanah rancangan Felda bagi melahirkan lebih ramai generasi berkemahiran di negara ini.
"Dengan terbinanya IKBN ini, tambahan 3,000 tempat lagi dapat ditawarkan kepada belia lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk menjalani latihan kemahiran," katanya. Beliau berkata, kementerian juga sedang merangka untuk memperbanyakkan IKBN yang boleh menawarkan kursus tahap tinggi sama ada diploma atau diploma lanjutan.
"Buat masa ini, kursus peringkat diploma hanya dijalankan di lima IKBN iaitu di Sepang, Pagoh, Bachok, Bukit Mertajam dan Alor Gajah," katanya.
Tambah beliau, kementerian juga kini dalam usaha menjenamakan semula IKBN dengan merangka pelbagai program pemantapan seperti aspek sahsiah ketatanegaraan, keusahawanan dan keagamaan.
"Antara program yang dirangka adalah memperbanyakkan program pelajar IKBN bersama masyarakat dan memantapkan modal insan.
"Usaha ini diharap dapat melahirkan generasi berkemahiran supaya mampu bersaing dalam pasaran pekerjaan sekarang," jelasnya. Katanya, kementerian juga akan melancarkan alumni IKBN sebagai satu pendekatan bagi mewujudkan jaringan hubungan antara bekas pelajar IKBN.
"Melalui alumni ini, mereka dapat bertemu dan berkongsi pengalaman dan kejayaan serta sama-sama menyumbang idea ke arah penambahbaikan IKBN,'' katanya.
Sunday, November 02, 2008
STRATEGI PENGGUNAAN IBS DI SEKTOR BINAAN
2 November 2008
Suka untuk saya mengemukakan sedikit ulasan dan pandangan tentang faktor penolak kepada penggunaan IBS di sektor pembinaan seperti yang siarkan di Buletin 1.30, TV3 tengahari tadi 2 November 2007.
Bentuk projek yang berbagai-bagai dari segi saiz, bermula dari kerja-kerja pengubahsuaian kepada perlaksanaan projek-projek yang bersifat modular rekabentuknya, dan seterusnya kepada projek-projek mega, penggunaan IBS dilihat hanya bersesuaian kepada projek-projek kerajaan yang mempunyai rekabentuk yang piawai, seterusnya mengurangkan penggunaan tenaga kerja manusia.
Namun begitu, setakat ini ianya dilihat tidak mampu diaplikasikan kepada kesemua perlaksanaan projek terutamanya kepada projek-projek pengubahsuaian yang mana nilai projek keseluruhannya tidak dapat tidak, turut mempunyai impak yang cukup signifikan dari segi kos.
Kontraktor-kontraktor binaan terutamanya kontraktor-kontraktor bersaiz kecil merasakan konsep IBS masih terlalu asing kepada mereka kerana kurangnya pendedahan dan pengetahuan. Tambahan pula, buat masa ini projek-projek di peringkat daerah rata-rata projek yang dilaksanakan, konsep IBS ini masih belum menjadi pendekatan yang mesra dari segi rekabentuk.
Akibatnya, pendekatan pembinaan konvensional bagi kerja-kerja pengubahsuaian dan kerja-kerja bersaiz kecil akan terus menjadi pendekatan yang popular kepada kontraktor-kontraktor dan seterusnya, memerlukan pekerja yang tidak sedikit bilangannya, yang akhirnya, sasaran untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing menerusi penggunaan IBS tidak akan menjadi kenyataan.
Kecuali ada faktor-faktor penarik yang berupa insentif yang berterusan kepada mana-mana kontraktor yang serius untuk menjadikan konsep IBS sebagai amalan dalam melaksanakan kerja-kerja mereka, usaha menggunakan konsep IBS ini diragui akan mencapai sasaran seperti yang telah digariskan dalam ’Road Map IBS’.
Justeru itu dicadangkan perkara-perkara berikut yang difikirkan mampu menjadi faktor penarik kepada penggunaan IBS di sektor binaan ini;
- Mewujudkan lebih banyak ‛Kontraktor Pemasang’ bagi menjayakan konsep IBS ini di pelbagai peringkat kelas dan gred kontraktor di setiap negeri dan daerah. Kontraktor Pemasang ini hendaklah dipastikan hanya menggunakan pekerja tempatan yang telah dilatih di institusi latihan tajaan kerajaan.
- Bagi menggalakkan lagi penggunaan IBS ini, kerajaan harus menyediakan insentif yang sewajarnya kepada mana-mana kontraktor yang diambil untuk menjadi ‛Kontraktor Pemasang’. Setiap ‛Kontraktor Pemasang’ yang diiktiraf hendaklah dikatagorikan sebagai 'Kontraktor Istimewa’ yang melayakkan mereka memperolehi insentif dengan diberi keutamaan untuk mendapat projek kerajaan secara berterusan yang dilaksanakan di setiap daerah.
- ’Kontraktor Istimewa’ ini turut dibenarkan untuk melaksanakan projek melebihi nilai yang dibenarkan mengikut kelas atau gred kontraktor yang dimiliki.
Semua rekabentuk untuk setiap projek kerajaan hendaklah dipastikan mematuhi sasaran yang ditetapkan kerajaan iaitu sekurang-kurangnya mempunyai 70% komponennya berkonsepkan IBS. - Berusaha untuk menerapkan konsep IBS ini dalam kurikulum disetiap institusi latihan kemahiran tajaan kerajaan yang wujud di negara ini. Kita perlu memastikan konsep IBS sekiranya diaplikasikan, hendaklah terdiri dari tenaga kerja tempatan yang telah dilatih.
- Promosi yang berterusan disetiap daerah dalam bentuk taklimat atau seminar ke arah pembudayaan konsep IBS di sektor binaan kepada kontraktor binaan hendaklah dilakukan dengan lebih agresif.
30,000 RAKYAT MALAYSIA MENJADI PENDATANG TANPA IZIN DI UNITED KINGDOM
2 November 2008
Menurut laporan seramai 30,000 rakyat Malaysia tinggal secara tidak sah di United Kingdom dan diminta akur dengan arahan kerajaan negara itu baru-baru ini yang meminta mereka pulang ke tanah air.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, atas dasar hubungan sejarah yang baik dan terjalin sejak zaman penjajahan, rakyat negara ini yang berada di UK diharap menghormati undang-undang negara itu.
''Kerajaan Britain telah memberi amaran keras berhubung rakyat kita yang tinggal di sana melebihi tempoh had yang dibenarkan dan mereka telah sedia maklum akan amaran ini.
''Cuma sekarang kita masih menunggu keputusan daripada kerajaan Britain sama ada mereka akan melaksanakan penggunaan visa baru ke atas rakyat Malaysia pada tahun hadapan memandangkan kita diberi tempoh selama enam bulan untuk kita membuat pembetulan,'' katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berhubung lebih 30,000 rakyat Malaysia yang tinggal melebihi tempoh di UK.
Syed Hamid yang juga bekas Menteri Luar juga berkata, kesemua rakyat Malaysia itu dinasihatkan segera pulang ke tanah air sebelum kerajaan negara itu mengambil tindakan terhadap mereka terutama apabila UK memperkenalkan peraturan visa baru pada tahun depan.
Laman web Konsulat Malaysia di London, England, melaporkan berita mengenai kerajaan UK sedang meneliti untuk menggunakan peraturan visa baru ke atas 11 negara, termasuk Malaysia kerana rakyat luar didapati masuk ke negara itu secara tidak sah dan tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.
Abdul Rahim menjelaskan, apabila kerajaan Britain mahu menggunakan peraturan visa baru pada tahun hadapan, ia bukanlah satu tindakan yang disenangi rakyat negara ini.
Bagaimanapun katanya, sebagai tanda menghormati undang-undang negara luar seperti mana kerajaan Malaysia mahu undang-undang negara ini dipatuhi rakyat asing yang masuk ke negara ini, maka kerajaan Malaysia akur terhadap keputusan yang bakal diambil oleh kerajaan negara itu nanti - Mingguan Malaysia, 2 Nov 2008
GIATMARA: GANDAKAN GENERASI BERKEMAHIRAN
2 November 2008
Oleh Norizan Abdul Muhid
JASIN 1 Nov. - Pusat GiatMara diminta melipatgandakan usaha dalam melahirkan lebih ramai lulusan memiliki kemahiran yang tinggi meliputi pelbagai bidang, disamping menepati keperluan pasaran kerja pada masa ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, negara masih lagi menghadapi masalah kekurangan tenaga mahir yang mencukupi bagi menepati keperluan pasaran kerja menyebabkan masalah pengangguran berlaku.
Menurutnya, adalah menjadi tanggungjawab agensi terbabit untuk memastikan tenaga kerja mahir dapat dilahirkan sekali gus menepati keperluan masyarakat.
''Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya kerana masih ada lulusan dari pusat-pusat kemahiran yang tidak mampu membuat kerja kemahiran yang diperlukan oleh masyarakat dan atas sebab itu, kita terpaksa menggunakan tenaga kerja asing untuk berbuat kerja demikian," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penamaan Semula Pusat GiatMara negeri di sini, hari ini.
Kata Ketua Menteri, disebabkan lulusan ini tidak mampu membuat kerja kemahiran seperti diharapkan oleh masyarakat, mereka ini akhirnya terpaksa bekerja di kilang-kilang industri yang berlainan dari kursus kemahiran yang mereka pelajari sewaktu di kolej-kolej kemahiran.
''Mereka ini ada kemahiran tetapi tidak boleh digunakan untuk menampung permintaan kerja yang diperlukan oleh masyarakat akhirnya pelajar ini hanya mampu bekerja di kilang-kilang," katanya.
Katanya, GiatMara merupakan pusat yang penting dalam memberikan latihan kemahiran kepada belia negara, seterusnya mengurangkan kebergantungan kerajaan pada penggunaan tenaga kerja asing.
''Saya amat berharap Pusat GiatMara dapat memperkemaskan dan mempertingkatkan sistem pembelajaran bersesuaian," katanya.
Katanya, usaha kerajaan mewujudkan lebih banyak Pusat GiatMara di seluruh negara secara tidak langsung membantu melahirkan tenaga kerja mahir sekali gus mengurangkan pergantungan negara terhadap tenaga kerja asing.
''Saya berharap agensi ini dapat melipatgandakan usaha agar mengurangkan pengangguran dan mengatasi kegawatan ekonomi pada masa ini," katanya.
MARA MAHU TINGKAT KEMAHIRAN BERFIKIR
2 November 2008
Oleh ROKIAH ABDULLAH
KEPALA BATAS 1 Nov. - Majlis Amanah Rakyat (Mara) menumpukan usaha meningkatkan kemahiran berfikir di kalangan pelajar, pegawai dan kakitangannya supaya mampu melahirkan modal insan yang berpengetahuan, berfikiran global, kritis serta berdaya saing.
Pengerusi Mara, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, proses penambahbaikan aspek pemikiran itu amat penting dalam menjayakan matlamat Mara untuk melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang di dalam negara malahan di peringkat antarabangsa.
Justeru katanya, Mara akan menubuhkan sebuah Pusat Latihan Kecemerlangan Guru di kawasan Jawi dalam Daerah Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang yang akan dijadikan pusat latihan bagi tenaga pengajarnya.
''Kita ingin menjadikan Mara dan institusi-institusi di bawahnya terutama pelajar dari Maktab Rendah Sains Sains Mara (MRSM) mempunyai sistem pemikiran yang baik dan hebat.
''Oleh itu, penambahbaikan perlu dilakukan bagi memastikan para pelajar lepasan MRSM sentiasa mempunyai pasaran kerja yang tinggi di samping keyakinan dan sahsiah yang cemerlang," katanya.
Beliau menyatakan demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis penyampaian sijil kepada 272 orang pelajar Tingkatan Lima MRSM Kepala Batas di sini hari ini.
Menurut Idris, pelajar juga tidak harus cepat berpuas hati dengan pencapaian yang diperolehi mereka dalam bidang akademik, sebaliknya terus berusaha menimba pelbagai ilmu dan kemahiran selaras dengan keperluan terkini negara.
''Bagaimanapun, dalam mengejar kecemerlangan akademik, jangan sesekali melupakan jati diri masing-masing kerana itulah tonggak utama untuk berjaya," ujarnya.
Saturday, November 01, 2008
ISU PEKERJA ASING YANG TIADA KESUDAHAN
1 Nov 2008
Isu pekerja asing ini nampaknya sering dipandang remeh oleh pihak berkuasa. Memang kita terlalu meraikan tetamu. Membiarkan mereka mencari rezeki di negara kita walaupun salah dari segi undang2. Bila dah lama, dah ramai, dah 'berkuasa' tentu sukar untuk menghantar pulang. Akhirnya, kita terpaksa akur. Hatta, pulau yang nyata milik kita pun akan terlepas....
Ironinya, kita hanya berlembut dengan 'tetamu' kita. Tapi tegas dengan orang kita. Lihar sahaja di sektor binaan. Carilah orang tempatan, pasti sukar. Kalau nak repair rumah sendiri, siapa yang datang, walaupun kita deal dengan orang kita. Kita ada ratusan pusat latihan kemahiran. Kita keluarkan puluhan ribu setiap tahun. Tapi ke manakah mereka? Memang kalau seorang, nampak tiada masalah. Persoalannya mereka sekarang ada 2.3 juta orang. Kalu dia hantar RM500 sebulan. Ah... tak mengapa. Dia datang tak kacau kita. Tapi kalau sudah 2.3 juta? Darab dengan RM200 sebulan, darab lagi 12 bulan. Tentu ianya mengganggu ekonomi negara kita. Itu bilangan yang disahkan.
Khabarnya yang tak sah sekali ganda lagi. Kita hilang billion setahun. Adakah orang kita malas? cerewet? mungkin ia.. tapi.. Pada saya itu hanyalah persepsi yang diadakan... bagi memberi peluang pada majikan tertentu terus-terusan mengambil pekerja asing. Bayar gaji murah.. longgokkan setempat 10-20 orang. Pastinya mereka tak dapat lakukan pada rakyat tempatan.Kita sebenarnya tiada polisi jelas. Tiada undang2 yang mewajibkan majikan mesti mengambil pekerja tempatan yang telah dilatih. Mereka bebas mengangkut orang luar. Ada pula yang diizinkan membawa orang luar dengan keuntungan berlipat ganda.
Kesian belia kita. Akademik mungkin tak seberapa. Belajar kemahiran dengan harapan boleh mengubah kehidupan. Malangnya... sekadar mendapat sijil sahaja. Nak jadi kontraktor kelas F, ianya dibekukan. Nak bekerja... tiada yang sudi. Akhirnya... sijil kemana... apa ke mana... jual burger dan air tebu juga akhirnya. Melihat berbagai pembangunan yang ada.. berbagai koridor.. Saya sudah lawati puluhan pusat seluruh negara. Menyedihkan.. itu sahaja yang dapat saya katakan. Lebih sedih. Tiada yang bangun membela.