Pokok kelapa banyak gunanya. Daripada pucuk hingga akarnya. Tiada satu tanpa guna. Enak pula rasanya. Tinggi nilainya.
Kenapa Kelapa Muda?
Pokok kelapa banyak gunanya. Daripada pucuk hingga akarnya. Tiada satu tanpa guna. Enak pula rasanya. Tinggi nilainya. Airnya digemari semua. Ringkasnya, ia pokok serbaguna. Begitu juga kita, dijadikan Allah swt dengan bakat dan rupa. Nilainya tidak terkata. Manusia, tanpa mengira miskin atau kaya, lembam atau cerdik akalnya, semuanya sama. Semuanya bergantung kepada kita untuk memenfaatnya.
Tepuk dada, iman pengantaranya.
HARGAILAH ORANG MUDA!
Saturday, September 12, 2009
KONFLIK PERKAUMAN, IMEJ MALAYSIA DI PERINGKAT GLOBAL
AKHBAR China Press menerusi ruangan Perbincangan Umum terbitan 7 September lalu menyiarkan sebuah rencana bertajuk “Kehidupan Rakyat Sebenarnya Sejahtera Tetapi Diganggu Ahli Politik”. Ia mengaitkan hubungan rakyat dan ahli politik.
Selama 52 tahun merdeka, pelbagai kaum di negara ini telah hidup aman dan sejahtera tanpa perselisihan antara kaum. Namun kenapa dalam dunia globaisasi hari ini, kepelbagaian kaum itu menjadi masalah sehingga lebih sensitif berbanding agama.
Jawapannya sangat mudah iaitu kerana isu itu dipergunakan oleh ahli politik sebagai agenda untuk kepentingan mereka. Isu perkauman dan keagamaan hanya akan menarik kita ke belakang.
Untuk kembali semula ke landasan kesejahteraan kaum, penulis rencana ini yang menggunakan nama samaran “Kim Piek” mencadangkan empat perkara.
Pertama, undang-undang perlu ditegakkan terhadap media yang memainkan isu sensitif termasuk menggantung lesen.
Kedua, hapuskan layanan double standard kepada mereka yang menghasut dan memainkan isu perkauman. Jangan tutup sebelah mata seperti hanya pembangkang disiasat secara terperinci. Sepatutnya buat secara adil barulah rakyat berpuas hati.
Ketiga, laksanakan tugas dengan jujur dan ikhlas iaitu tidak memihak kepada mana-mana kumpulan dalam isu perkauman dan agama. Jika kerajaan jujur dan ikhlas, kesejahteraan antara kaum bukanlah sesuatu yang susah.
Keempat, pemerintah perlu mengutamakan negara kerana ia berasaskan rakyat. Setiap perkara yang ingin dilaksanakan oleh pemerintah perlu meletakkan kepentingan negara. Jika semua rakyat sehati dan sejiwa, negara ini pasti kuat dan makmur.
Hakikatnya, semua kaum di negara ini hidup sejahtera tetapi muslihat ahli-ahli politik yang menakut-nakutkan mereka.
“Semoga pemerintah melihat perkara ini dan jangan sampai kerana beberapa biji tahi tikus, rosak nasi sekawah,’’ tulisnya.
Masih lagi dengan isu kepala lembu, sebuah rencana terbitan akhbar yang sama pada 2 Spetember lalu mengaitkan kejadian itu dengan kemerdekaan negara.
Menurutnya, setiap kali menjelang sambutan kemerdekaan, pemimpin berkata, rakyat Malaysia mampu hidup aman dan tenteram walaupun berbilang kaum. Lagu-lagu bersifat patriotik dan perpaduan juga tidak henti berkumandang sesuai dengan semangat Satu Malaysia tahun ini.
Tetapi peristiwa perarakan kepala lembu di Seksyen 23, Shah Alam baru-baru ini tidak menggambarkan semangat itu. Adakah tindakan ini memenuhi slogan rakyat berbilang kaum saling menghormati dan sikap toleransi? Kumpulan itu menggunakan cara fanatik untuk menolak pembinaan rumah ibadat agama lain.
Bagi mereka kerana kawasan itu majoritinya penduduk Melayu, maka tidak seharusnya dibina sebuah kuil. Tetapi kenapa orang Cina di Kampung Baru tidak pula pernah membantah orang Islam membina masjid dan orang India membina kuil?
Selepas 52 tahun merdeka, kemunculan kumpulan fanatik ini semakin banyak dan puncanya hanya satu iaitu cara penyampaian kerajaan dan apa yang dilakukan oleh institusi kerajaan adalah berbeza.
Modul pendidikan, pengajaran agama, propaganda media Melayu dan kesedaran serta perilaku UMNO dan BN selama ini telah merosakkan segelintir rakyat kita.
“Suatu ketika dahulu, masjid, gereja, kuil dan rumah berhala boleh berada di kawasan yang sama dengan begitu aman, tenteram dan bahagia. Tetapi keadaan itu tidak dapat lagi kita kecapi hari ini. Malaysia berumur 52 tahun tetapi seperti berundur ke belakang,’’ tegas rencana tersebut.
Akhbar Sinchew Jitpoh dalam ruangan Pendapat pada 5 September menerbitkan sebuah artikel mengenai imej Malaysia di peringkat antarabangsa. Menurut artikel itu, dalam kancah ekonomi dan politik tempatan yang menggusarkan, peta Malaysia di dunia semakin hari semakin pudar dan menghilang. Dagangan antarabangsa Malaysia hanya dua kali ganda daripada dagangan dalam negara. Maksudnya, negara banyak bergantung kepada luar untuk mencari makan.
Kes sebat membabitkan hukuman syariah dan insiden kepala lembu juga memberi tanggapan kepada dunia bahawa kita mempunyai kumpulan fanatik. Keamanan yang semakin teruk merosakkan perjalanan demokrasi. Termasuk kekerasan yang digunakan ke atas penunjuk perasaan dan merampas kerajaan di Perak.
Semuanya merosakkan imej Malaysia di arena antarabangsa. Pelabur asing mungkin memikirkan mengenai Malaysia tidak sampai seminit kerana banyak cerita negatif.
Mereka melihat jiran Malaysia iaitu Indonesia mahukan kemajuan, justeru pada masa depan negara mana yang akan dipilih oleh pelabur asing ini?
Jangan lupa nasib sesebuah negara tidak berkekalan. Malaysia pernah melalui zaman kegemilangan yang lebih baik dari Taiwan.
Mungkin pada satu hari nanti kita pula menjadi buruh asing di Indonesia?
Friday, September 11, 2009
MAAFKAN CIKGU!!!
Saya sangat mengkagumi kerjaya sebagai guru sekolah. Sebuah kisah yang saya paparkan ini saya ulangi dari kisah benar seorang guru beberapa tahun yang lalu.
Ceritanya: Saya mengajar di sekolah rendah di tengah2 bandaraya Kuala Lumpur. Saya mengajar sesi petang. Salah seorang murid saya setiap hari datang lambat ke sekolah. Kasut dan bajunya selalu kotor. Setiap kali saya bertanya tentang baju dan kasutnya dia hanya berdiam diri. Saya masih bersabar dengan keadaan pakainnya, tetapi kesabaran saya tercabar dengan sikapnya yang setiap hari datang lambat.
Pada mulanya saya hanya memberi nasihat. Dia hanya menundukkan kepala tanpa berkata2 kecuali anggukkan yang seolah2 dipaksa. Kali kedua saya memberi amaran, dia masih juga mengangguk tetapi masih juga datang lambat keesokannya. Kali ketiga saya terpaksa menjalankan janji saya untuk memukulnya kalau masih lambat. Anehnya dia hanya menyerahkan punggungnya untukdirotan . Airmata saja yang jatuh tanpa sepatah kata dari mulutnya. Keesokan harinya dia masih juga lambat, dan saya memukulnya lagi. Namun ia masih tetap datang kesekolah dan masih tetap lambat.
Suatu hari saya bercadang untuk mengintipnya ke rumahnya. Setelah mendapatkan alamatnya, saya meneruskan niat saya. Dia tinggal di sebuah kawasan setinggan tidak berapa jauh dari sekolah. Keadaan rumahnya sangat daif. Saya nampak murid saya itu sedang berdiri di depan rumahnya dalam keadaan gelisah. Seorang wanita yang mungkin ibunya juga kelihatan gelisah.
Lebih kurang pukul 1.30 seorang anak lelaki sedang berlari2 sekuat hati menuju ke rumah itu. Sambil berlari dia membuka baju sekolahnya. Sampai di depan rumah baju dan kasutnya diserahkan pula kepada murid saya yang terus bergegas memakainya. Sebelum pakaian sekolah sempurna dipakai, dia sudah berlari ke arah sekolah.
Saya kembali ke sekolah dengan penuh penyesalan. Saya memanggil anak itu sambil menahan airmata yang mula tergenang.
“Maafkan cikgu. Tadi cikgu pergi ke rumah kamu dan memerhatikan kamu dari jauh. Siapa yang berlari memberikan kamu baju tadi?”
Dia terkejut dan wajahnya berubah. “Itu abang saya. Kami kongsi baju dan kasut sebab tak ada baju lain. Itu saja baju dan kasut yang ada. Maafkan saya, cikgu.” Jawabnya
“Kenapa kamu tak beritahu cikgu dan kenapa kamu biarkan saja cikgu pukul kamu?”
"Mak pesan, jangan meminta2 pada orang, jangan ceritakan kemiskinan kita pada orang. Kalau cikgu nak pukul serahkan saja punggung kamu.” Sambil menahan airmata yang mula berguguran saya memeluk anak itu,
“Maafkan cikgu, …….” Kejadian itu cukup menginsafkan saya. Selepas itu saya cuba membantunya setakat yang mampu.
Cerita2 begini membantu melembutkan hati yang keras. Kata seorang guru, sekiranya hati kita mula keras lembutkanlah dengan perkara2 berikut;
i. Solat sunat
ii. puasa sunat
iii. berzikir
iv. bersedekah
v. mengusap rambut anak yatim
vi. mendengar cerita2 kesusahan orang lain
vii. membantu orang susah
Wednesday, September 09, 2009
MAKHLUK ASING, IMEJ POLIS DAN HADIAH KERAJAAN
RENCANA UTUSAN MALAYSIA, 9 September 2009 (09.09.09)
AKHBAR Sinchew Jitpoh menerusi ruangan Pandangan pada 2 September lalu menyiarkan artikel bertajuk Gangguan Makhluk Asing. Artikel ini mengaitkan kehadiran ‘makhluk asing’ pada tiga situasi berbeza iaitu dalam kes kepala lembu di Shah Alam, Selangor; Mesyuarat Agung MCA dan pilihan raya kecil Permatang Pasir.
Dalam kes di Shah Alam, kepala lembu sudah hilang entah ke mana dan orang yang mengangkatnya juga ghaib. Mereka yang berdemonstrasi membantah pembinaan kuil tiba-tiba menjadi golongan yang mahukan penyelesaian secara aman kerana menghormati agama lain.
Keadaan ini disamakan dengan filem District 9 apabila manusia menyentuh DNA makhluk asing, maka mereka boleh menggunakan kelengkapan makhluk asing tersebut. Jika bukan makhluk asing yang singgah ke Shah Alam dan meninggalkan ‘sesuatu’, bermakna penduduk di Seksyen 23 telah menyentuh DNA makhluk asing.
Mereka telah dirasuk dengan aliran elektronik makhluk asing sehingga bukan sahaja dapat mengendalikan peralatan seperti kepala lembu, malah boleh menggunakan bahasa makhluk asing bertutur.
Sekarang makhluk asing itu telah ghaib. Mereka yang mengangkat kepala lembu juga tidak dapat dikenal pasti. Mereka berkata, tidak pandang rendah agama lain dan sayangkan keamanan.
Wah! Ini semua bencana daripada makhluk asing.
Dalam isu dua mesyuarat agung luar biasa (EGM) MCA pula kehadiran ‘makhluk asing’ dikaitkan apabila perwakilan tidak tahu mesyuarat mana harus dihadiri. Tidak tahu siapa yang perlu didengar dan usul mana harus disokong.
Tujuan mesyuarat adalah sama, tetapi peliknya apa yang akan diusulkan berbeza. Seorang pemimpin disyaki memang ‘seekor’ makhluk asing kerana tidak tahu perasaan ahli MCA dan tidak tahu apa yang difikirkan oleh masyarakat Cina. Mereka menggunakan cara makhluk asing mengendalikan MCA, maka MCA adalah parti pertama yang menjadi makhluk asing.
Dalam isu di Permatang Pasir, Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan berkata, kekalahan BN disebabkan kurangnya penduduk yang keluar mengundi.
Jika peratusan mencecah 85 peratus, BN pasti menang. Hakikatnya BN kalah 4,551 undi, bukan 51 atau 551 undi. Menggunakan logik akal, jika jumlah pengundi mencapai 85 peratus dan semua memberi undi kepada BN, BN masih kalah.
Melainkan jika menggunakan ilmu kirakira dan akal makhluk asing. Kelebihan makhluk asing amat luar biasa, jika tidak mereka tidak mungkin sampai ke bumi.
Oh Tuhanku! Makhluk asing memang benar telah hadir!
Akhbar China Press pada muka depan ruangan Bisnes, 3 September pula menyiarkan artikel membandingkan ‘hadiah’ oleh kerajaan ini dengan kerajaan Macau. Artikel yang bertajuk ‘Kenapa orang lain dihadiahkan gula-gula, kita dihadiahkan bom’ menyentuh mengenai usaha Macau memberikan antara RM2,278 hingga RM2,733 kepada rakyatnya bagi mengatasi kegawatan ekonomi. Sebaliknya di Malaysia, selepas 52 tahun merdeka, kita semakin berundur ke belakang. Sikap berdolak-dalik masih tidak berubah dari dulu hingga sekarang.
Pada sambutan Hari Kemerdekaan, kerajaan memberi ‘Hadiah Besar’ yang tidak mungkin dilupakan. Apabila membuka bungkusan hadiah itu, ia adalah “sebutir bom”. Harga minyak naik. Bermula 1 September, RON95 dan RON97 naik kepada RM1.80 dan RM2.05.
Akhbar itu pada 7 September turut menyiarkan rencana mengenai tanggapan orang ramai terhadap pihak polis bertajuk ‘Apa yang mahu dijawab oleh pihak polis?'.
Artikel ini memetik kaji selidik online oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mendapat maklum balas 735 orang.
Daripada jumlah itu, 73 peratus mengatakan mereka marah apabila ternampak polis. Seramai 70 peratus menyatakan dipaksa memberi rasuah kepada polis manakala lebih 92 peratus berpendapat polis perlu lebih banyak membuat rondaan.
Sebanyak 89 peratus menyatakan kerajaan perlu menubuhkan badan bebas luar untuk mengawasi keberkesanan tugas polis. Apa pandangan terhadap keputusan soal selidik ini? Mengikut perangkaan soal selidik awal, polis adalah satu-satunya badan yang paling kuat rasuah dan keyakinan orang ramai terhadap polis menjunam.
Hakikatnya, imej polis di kaca mata orang ramai adalah buruk. Jarang berlaku di mana-mana negara sekiranya berlaku rompakan tidak dilaporkan kepada polis. Tetapi di negara ini, ramai yang dirompak lebih suka tidak melaporkannya. Kenapa orang ramai tidak mahu membuat laporan?
Pertama, polis banyak membuang masa menyoal mangsa. Atau polis menyiasat dan membuat banyak andaian. Kedua, tidak banyak kes yang berjaya diselesaikan. Atau pun jika ada tangkapan, selalu kedengaran orang kata ‘tangkap di pintu depan, lepaskan di pintu belakang’. Ketiga, selepas aduan dibuat, polis lambat datang dan memberi peluang kepada penjenayah melepaskan diri.
Keempat polis seperti satu negara dua sistem. Berlaku pilih kasih sehingga mengetepikan keadilan. Kelima polis selalu jaga lorong-lorong kecil jalan mati dan tangkap pesalah lalu lintas. Adakah pihak polis benar-benar menjalankan tugas? Keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap anggota polis adalah sifar.
Kelolaan MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
Sunday, September 06, 2009
TEKONG DARAT DICEKUP
HANIZA HASSAN utusanjohor@utusan.com.my
JOHOR BAHRU 5 Sept. - Kerana berputus asa dengan pekerjaan yang dilakukan sebelum ini, Lan (nama samaran) sanggup mengambil risiko menjadi seorang tekong darat kerana terpesona dengan upah yang lumayan.
Namun, seperti perumpamaan sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga apabila Lan, 29, yang dicekup pegawai penguat kuasa Jabatan Imigresen, baru-baru ini mengaku amat menyesal atas tindakan salah di sisi undang-undang yang diambilnya itu semata-mata kerana upah lumayan.
Menceritakan pengalamannya, Lan memberitahu, dia menjalankan tugasan membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) menggunakan kenderaan ke lokasi untuk diseludup keluar melalui perairan negeri Johor.
"Sebelum ini dah macam-macam kerja saya buat, tapi tak jalan. Itu sebab saya ambil keputusan untuk jadi tekong darat.
"Lagipun, upah yang diterima juga sangat lumayan dan jauh beza dengan upah yang saya terima ketika kerja lain dulu," katanya yang berasal dari Mersing.
Lan baru bekerja sebagai tekong darat kira-kira enam bulan lalu mengaku menerima gaji tetap sebanyak RM1,500 sebulan. Katanya, bayaran berkenaan tidak termasuk upah membawa PATI ke lokasi yang diarahkan untuk diseludup keluar menaiki bot di pangkalan haram sama ada di Sungai Tiram atau Sungai Rengit.
Bagaimanapun, dia enggan memberitahu jumlah sebenar upah yang diperolehnya.
"Saya hanya ditugaskan untuk membawa PATI ke rumah transit ini dan pangkalan haram oleh seseorang yang saya tidak kenal. Apa yang penting, saya dapat wang untuk diri sendiri dan keluarga," katanya.
Turut ditahan dalam operasi Jabatan Imigresen Johor di sebuah rumah transit di Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram hari ini ialah 10 lagi tekong darat dan 39 PATI.
Ditanya adakah dia tidak menyesal kerana melakukan pekerjaan yang melanggar undang-undang, Lan memberitahu, selepas ditahan barulah dia rasa menyesal. Jika dulu, dia berbangga dengan kerjanya itu namun kini, hanya penyesalan yang bermukim di hatinya.
"Bila ditangkap, barulah terbayang wajah keluarga. Apa nasib mereka jika saya ke penjara," katanya sebak.
HANYA SATU KISAH......
Alangkah indahnya jika NILAI ini dimiliki oleh ramai insan. Tidak mementingkan diri. Bak kata "SAHABAT didahulukan, NILAI pula diutamakan'.
Bacalah hingga selesai. Kemudian komenlah apa yang anda rasa. Kita kongsi bersama.
Hanya satu kisah...Aku cuma ada seorang adik. Lelaki dan usianya tiga tahun lebih muda daripada aku.
Suatu hari, untuk mendapatkan sehelai sapu tangan yang menjadi keperluan anak gadis ketika itu, aku ambil 50 sen dari poket seluar ayah.
Petang itu, pulang saja dari sekolah, ayah memanggil kami berdua. Dia meminta aku dan adik berdiri di tepi dinding. Aku menggeletar melihat rotan panjang sedepa di tangan ayah.
"Siapa ambil duit ayah?" tanya ayah bagai singa lapar.Aku langsung tidak berdaya menentang renungan tajam mata ayah.
Kedua-dua kami membisu,cuma tunduk memandang lantai.
"Baik, kalau tak mengaku, dua- dua ayah rotan!" sambung ayah sambil mengangkat tangan untuk melepaskan pukulan sulungnya ke belakang aku.
Tiba-tiba, adik menangkap tangan ayah dengan kedua-dua belah tangannya sambil berkata,"Saya yang ambil!" Belum sempat adik menarik nafas selepas mengungkapkan kata-kata itu, hayunan dan balunan silih berganti menghentam tubuh adik.
Aku gamam, lidah kelu untuk bersuara. Walau perit menahan sakit, setitis pun airmata adik tak tumpah. Setelah puas melihat adik terjelepok di lantai, ayah merungut.
"Kamu sudah mula belajar mencuri di rumah sendiri. Apakah lagi perbuatan kamu yang akan memalukan ayah di luar kelak?"
Malam itu, emak dan aku tak lepas-lepas mendakap adik. Belakangnya yang berbirat dipenuhi calar-balar cuba kami ubati. Namun adik cukup tabah. Setitis pun air matanya tidak mengiringi kesakitan yang mencucuk-cucuk. Melihat keadaan itu, aku meraung sekuat hati, kesal dengan sikap aku yang takut berkata benar.
Adik segera menutup mulutku dengan kedua-dua belah tangannya lalu berkata,
"Jangan menangis kak, semuanya dah berlalu!"Aku mengutuk diri sendiri kerana tidak mampu membela adik. Tahun bersilih ganti, peristiwa adik dibelasah kerana mempertahankan aku bagaikan baru semalam berlaku. Adik mendapat tawaran belajar ke sekolah berasrama penuh dan aku pula ditawarkan menyambung pelajaran ke peringkat pra-universiti.
Malam itu ayah duduk di bawah cahaya lampu minyak tanah bersama ibu di ruang tamu. Aku terdengar ayah berkata,
"Zah, kedua-dua anak kita cemerlang dalam pelajaran. Abang bangga sekali!" "Tapi apalah maknanya bang...!" aku terdengar ibu teresak-esak.
"Dimana kita nak cari duit membiayai mereka?
"Ketika itulah adik keluar dari biliknya. Dia berdiri di depan ayah dan ibu. "Ayah, saya tak mahu ke sekolah lagi!"
Perlahan-lahan ayah bangun, membetulkan ikatan kain pelekatnya dan merenung wajah emak, kemudian wajah adik dalam-dalam. Panggggg.... sebuah penampar singgah di pipi adik.Seperti biasa yang mampu aku lakukan ialah menutup muka dan menangis.
"Kenapa kamu ni? Tahu tak, kalau ayah terpaksa mengemis kerana persekolahan kamu, ayah akan lakukan!" "Orang lelaki kena bersekolah. Kalau tak, dia takkan dapat membawa keluarganya keluar daripada kemiskinan,"
Aku memujuk adik tatkala menyapu minyak pada pipinya yang bengkak.
"Kakak perempuan... biarlah kakak yang berhenti.
"Tiada siapa yang menyangka, dinihari itu adik tiada dibiliknya. Dia membawa bersamanya beberapa helai baju lusuh yang dia ada.
Di atas pangkin tempat dia lelapkan mata, terdapat sehelai kertas yang tercatat.... ."Kak...untuk dapat peluang ke universiti bukannya mudah. Saya cari kerja dan akan kirim wang buat akak."
Apa lagi yang aku tahu selain meraung. Ayah termenung, jelas dia cukup kecewa. Begitu juga emak yang menggunakan air matanya memujuk ayah.
Suatu petang ketika berehat di asrama, teman sebilik menerpa:"Ada pemuda kampung tunggu kau kat luar!""Pemuda kampung?" bisikku. "Siapa?"Tergesa-gesa aku keluar bilik.
Dari jauh aku nampak adik berdiri dengan pakaian comotnya yang dipenuhi lumpur dan simen.
"Kenapa sebut orang kampung, sebutlah adik yang datang!" Sambil tersenyum dia menjawab,
"Akak lihatlah pakaian adik ni. Apa yang akan kawan-kawan akak kata kalau mereka tahu saya adik kakak?"
Jantungku terasa berhenti berdenyut mendengarkan jawapannya. Aku cukup tersentuh. Tanpa sedar, air jernih mengalir di pipi. Aku kibas-kibas bebutir pasir dan tompokan simen pada pakaian adik. Dalam suara antara dengar dan tidak, aku bersuara,
"Akak tak peduli apa orang lain kata."Dari kocek seluarnya, adik keluarkan sepit rambut berbentuk kupu-kupu. Dia mengenakan pada rambutku sambil berkata,
"Kak, saya tengok ramai gadis pakai sepit macam ni, saya beli satu untuk akak."
Aku kaku. Sepatah kata pun tak terucap. Aku rangkul adik dan dadanya dibasahi air mataku yang tak dapat ditahan-tahan.
Tamat semester, aku pulang ke kampung sementara menunggu konvokesyen. Aku lihat tingkap dan dinding rumah bersih, tak seperti selalu.
"Emak, tak payahlah kerja teruk-teruk bersihkan rumah sambut saya balik."
"Adik kamu yang bersihkan. Dia pulang kelmarin. Habis tangannya luka-luka.
"Aku menerpa ke biliknya. Cantik senyum adik. Kami berdakapan."Sakit ke?" aku bertanya tatkala memeriksa luka pada tangannya.
"Tak... Kak tahu, semasa bekerja sebagai buruh kontrak, kerikil dan serpihan simen jatuh seperti hujan menimpa tubuh saya sepanjang masa. Kesakitan yang dirasa tidak dapat menghentikan usaha saya untuk bekerja keras."
Apalagi...aku menangis seperti selalu. Aku berkahwin pada usia menginjak 27 tahun. Suamiku seorang usahawan menawarkan jawatan pengurus kepada adik.
"Kalau adik terima jawatan tu, apa kata orang lain?" kata adik.
"Adik takde pelajaran. Biarlah adik bekerja dengan kelulusan yang adik ada."
"Adik tak ke sekolah pun kerana akak." kataku memujuk.
"Kenapa sebut kisah lama, kak?" katanya ringkas, cuba menyembunyikan kesedihannya.
Adik terus tinggal di kampung dan bekerja sebagai petani setelah ayah tiada. Pada majlis perkahwinannya dengan seorang gadis sekampung, juruacara majlis bertanya,
"Siapakah orang yang paling anda sayangi?" Spontan adik menjawab,
"Selain emak, kakak saya" katanya lantas menceritakan suatu kisah yang langsung tidak ku ingati.
"Semasa sama-sama bersekolah rendah, setiap hari kami berjalan kaki ke sekolah. Suatu hari tapak kasut saya tertanggal. Melihat saya hanya memakai kasut sebelah, kakak membuka kasutnya dan memberikannya pada saya."Dia berjalan dengan sebelah kasut. Sampai di rumah saya lihat kakinya berdarah sebab tertikam tunggul dan calar-balar "
"Sejak itulah saya berjanji pada diri sendiri. Saya akan lakukan apa saja demi kebahagiaan kakak saya itu. Saya berjanji akan menjaganya sampai bila-bila."
Sebaik adik tamat bercerita, aku meluru ke pelamin, mendakap adik sungguh-sungguh sambil meraung bagaikan diserang histeria.
Sekadar menghitung diri, apakah nilai yang turut sama kita bawa dengan kecemerkangan akademik yang kita miliki.
"Jika tak dapat apa yang kita suka, belajarlah menyukai apa yg kita dapat... dan bersyukurlah dengan apa yang kita ada.."
Salam sahabat.
RM28 JUTA BINA KUARTERS BARU
SAIFULIZAM MOHAMAD pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 5 Sept. – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan projek pembinaan kuarters baru dengan peruntukan RM28 juta untuk kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang menetap di kuarters jabatan itu di Batu 2 1/2 Cheras di sini.
Perdana Menteri berkata, keputusan itu dibuat apabila kerajaan mendapati kuarters yang didiami oleh kira-kira 74 keluarga kakitangan JKR tersebut terlalu uzur dan daif.
Ujarnya, pembinaan kuarters baru berkenaan iaitu dua blok lapan tingkat akan dimulakan secepat mungkin dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 30 bulan.
‘‘Baru-baru ini Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman (Abu Mansor) telah memberitahu saya keadaan bagaimana kakitangan JKR tinggal kuarters yang daif dan buruk. Oleh itu beliau mencadangkan supaya saya melawat ke tempat ini hari ini.
‘‘Sukacita saya maklumkan bahawa berdasarkan keperluan dan keprihatinan kerajaan untuk mengatasi masalah ini, kerajaan akan membangunkan kuarters baru di kawasan Batu 4 1/2 , Jalan Sungei Besi melibatkan 120 unit kelas G,’’ katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan di kawasan itu di sini hari ini.
Kedatangan Najib bersama Shaziman disambut oleh kakitangan JKR yang tinggal di kuarters berkenaan. Dalam pada itu, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, rumah yang bakal didiami oleh kakitangan terlibat amat selesa kerana setiap unit mempunyai keluasan 110 meter persegi, tiga bilik tidur, tiga bilik air, ruang tamu, ruang makan dan dapur.
Selain itu, katanya, pelbagai kemudahan akan disediakan di kuarters baru itu antaranya 200 tempat meletak kereta, surau, padang permainan, taman permainan, taman asuhan kanak-kanak dan dua gelanggang futsal.
‘‘JKR akan memanggil tender dalam tempoh sedikit masa lagi,’’ katanya.
Beliau berkata, sebaik sahaja semua kakitangan berpindah kuarters sedia ada akan dirobohkan.
‘‘Memang kuarters ini keadaannya sungguh daif dan tidak sesuai lagi. JKR buat bangunan dan jalan raya yang cantik untuk orang lain tetapi kakitangannya tertinggal sedikit,’’ katanya. Sementara itu, Najib berkata, pendekatan tinjauan mesra seperti yang diamalkan ketika ini akan diteruskan.
‘‘Ini adalah pendekatan yang saya lihat amat sesuai dan bila saya membuat tinjauan mesra ia tidak terhad kepada penjaja kecil atau orang biasa tetapi turut melibatkan kakitangan kerajaan juga,’’ katanya lagi.
Shaziman ketika ditemui selepas itu berkata, usaha pihak kementerian menyediakan tempat tinggal lebih selesa kepada kakitangan adalah bagi memenuhi hasrat Perdana Menteri dalam mengutamakan rakyat selaras dengan gagasan 1Malaysia.
GAJI AMAH INDONESIA
Ziauddin Sharuddin zia@bharian.com.my
Malaysia pertimbang cari pembantu rumah dari beberapa negara lain SEREMBAN: Kementerian Sumber Manusia tidak akan memberi pandangan mengenai isu tuntutan gaji pembantu rumah Indonesia sebanyak RM800 sebulan sehingga mengetahui hasil mesyuarat Jawatankuasa Bersama Malaysia-Indonesia di Jakarta. Menterinya, Datuk S Subramaniam, berkata pegawai kementeriannya dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) kini mengadakan mesyuarat dengan pegawai dari negara jiran itu, susulan mesyuarat terdahulu di Kuala Lumpur, beberapa minggu lalu.
"Saya tidak mahu buat pengumuman, penjelasan atau pandangan... biarkan mereka bermesyuarat, selepas itu saya akan beri pandangan," katanya selepas merasmikan Skim Latihan dan Penempatan Pekerjaan (SLP) di Kolej Tafe, Sikamat, dekat sini semalam.
Beliau berkata, jika Indonesia tetap mahu gaji ditetapkan RM800, ia mungkin menyebabkan beberapa negara lain dipertimbangkan sebagai pilihan seperti Laos, Kemboja, India dan Sri Lanka selain Irian Jaya dan China. Laporan media Indonesia menyatakan kerajaan republik itu akan mengemukakan usul gaji pembantu rumah negara mereka dinaikkan daripada RM400 kepada RM800 pada Mesyuarat Keempat Jawatankuasa Kerja Malaysia-Indonesia bagi Pengambilan dan Penempatan Pembantu Rumah Indonesia di Jakarta.
Subramaniam berkata, tuntutan gaji minimum juga dikemukakan negara lain seperti India yang menuntut pekerja tidak mahir dari negara itu dibayar RM700 sebulan, tetapi tuntutan gaji tinggi selalunya menyebabkan jumlah pekerja asing kian berkurangan.
"Pembantu rumah Filipina di negara ini yang pada suatu masa berjumlah kira-kira 50,000 orang kini semakin berkurangan berbanding kira-kira 280,000 pembantu rumah Indonesia," katanya. Beliau berkata, isu membabitkan pembantu rumah Indonesia berlaku akibat laporan media massa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) negara itu yang menggambarkan mereka ditindas majikan di negara ini, sedangkan majoriti majikan memberi layanan dengan baik.
Sementara itu, katanya, kementerian akan memperkenalkan dasar baru menjalin kerjasama lebih erat antara 27 institusi latihan di bawahnya dan swasta bertujuan memanfaatkan sumber kepakaran dan kemudahan kedua-dua sektor untuk melahirkan pekerja berkemahiran tinggi di negara ini.
Friday, August 07, 2009
SPRM TAHAN DUA 'KONTRAKTOR'
KUALA LUMPUR 5 Ogos - Dua lelaki ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di ibu negara dan Shah Alam hari ini kerana status kontraktor mereka meragukan walaupun terbabit dalam projek milik kerajaan negeri Selangor. Seorang daripada mereka ditahan di rumahnya di Keramat di sini manakala seorang lagi di Shah Alam petang ini.
Siasatan SPRM mendapati, kedua-dua syarikat kontraktor membabitkan dua lelaki itu didapati memasukkan sejumlah wang sebagai bayaran projek ke dalam akaun milik sebuah parti politik.
Turut ditemui, empat keping cek bernilai antara RM500 hingga RM1,500 setiap satu, keluaran dua syarikat itu untuk dimasukkan dalam akaun berkenaan.
Siasatan SPRM mendapati, nama kedua-dua individu itu digunakan untuk dua buah syarikat terbabit, tetapi kerja-kerja operasinya dilakukan oleh orang lain. Ini agak memelikkan kerana kedua-dua mereka yang berusia 22 dan 50 tahun itu hanya pekerja biasa sebuah kilang namun bernaung di bawah syarikat besar.
Juga difahamkan, SPRM sedang menyiasat penglibatan kontraktor lain dalam penyelewengan itu. Siasatan awal mendapati, beberapa peratus nilai kontrak yang diperoleh bagi setiap sebuah syarikat perlu dimasukkan ke dalam akaun tersebut setiap bulan.
SPRM juga dikatakan sedang menyiasat sebuah syarikat yang diberi 234 projek bernilai RM430,000 sejak tahun lalu.
Saturday, July 25, 2009
PENYELIA BEBAS TUDUHAN SEBAB KEMATIAN JURURUNDING
KUALA LUMPUR 24 Julai - Seorang bekas penyelia tapak pembinaan hari ini dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini daripada tuduhan menyebabkan kematian jururunding korporat, Dr. Liew Boon Horng akibat ditimpa konkrit simen pada penghujung 2005.
Dalam kejadian itu, isteri mendiang, Joane Loy Ai Lan, 38, dan pemandunya, Ahmad Harun Jajuli, 53, turut cedera apabila kereta BMW dinaiki mereka dihempap konkrit yang jatuh dari tingkat 20 kondominium dalam pembinaan di Plaza Damas, Sri Hartamas.
Hakim Mohamad Sekeri Mamat memutuskan demikian di akhir kes pendakwaan selepas mendapati tiada keterangan menunjukkan kematian mangsa disebabkan oleh perbuatan Khew Ah Sum, 52, atau berpunca daripada persubahatannya dengan dua buruh warga Indonesia.
Menurutnya, keterangan saksi pendakwa ke-10, Pensyarah Fakulti Mekanikal dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Profesor Madya Ahmad Azlan Mat Isa mengesahkan faktor tiupan angin boleh menyebabkan kepingan simen tersebut terbalik dan bukannya terjatuh.
Saksi tersebut turut menyatakan, berdasarkan analisis dan maklumat daripada pekerja-pekerja lain di tapak pembinaan berkenaan mendapati kepingan tersebut diletakkan terlalu hampir dengan penjuru lantai binaan.
Sepanjang perbicaraan, sebanyak 13 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan.
Ah Sum yang sebelum ini bekerja dengan syarikat San Meng Construction, didakwa menyebabkan kematian Boon Horng, 35, kira-kira pukul 3 petang, 30 Disember 2005 di tapak pembinaan Lot 48626 (Fasa III), Plaza Damas, Blok B, Jalan Hartamas, Mukim Batu, Brickfields di sini.
Dakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya. Syarikat San Meng Construction merupakan subkontraktor bagi pemaju projek pembinaan kondominium tersebut. Boon Horng pula merupakan jururunding korporat di Syarikat Ethos Consultan Sdn. Bhd.
Lelaki itu turut didakwa atas tuduhan pilihan bersubahat dengan dua pekerja binaan, Hasibudin Abd. Razak dan Suradi Hassan melakukan kecuaian sehingga menyebabkan kematian Boon Horng pada masa, tarikh dan tempat yang sama.
Bagi kesalahan ini, dia didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 304A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya. Ah Sum diwakili peguam bela, Datuk K. Kumareandran manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Naziah Mokhtar. Ketika ditemui oleh pihak media selepas selesai prosiding, Ah Sum memberitahu dia berasa lega dengan keputusan mahkamah.
''Sebelum ini, hari-hari risau. Tak tahu apa akan jadi tapi sekarang happy (gembira). Boleh balik rumah senang hati,'' katanya sambil tersenyum lebar.
Dia juga melahirkan rasa kesal terhadap bekas majikannya yang tidak langsung menunjukkan simpati malah tidak membantunya sedangkan sebelum ini berjanji untuk berbuat demikian.
Thursday, July 23, 2009
KAJIAN MENDALAM ATASI MASALAH TERCICIR ALAM PERSEKOLAHAN
BERITA HARIAN 22 Julai 2009
KENYATAAN Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa lebih 125,000 kanak-kanak yang mencapai umur persekolahan tercicir daripada alam persekolahan, memerlukan penyelesaian yang serius dan segera. Keadaan ini tidak boleh dipandang ringan walau-pun mereka dari kawasan luar bandar dan pedalaman yang sepatutnya tidak dipinggirkan dalam apa juga kemudahan yang diberikan untuk rakyat, apatah lagi soal pelajaran.
Awal tahun lalu, dilaporkan 83,000 pelajar sekolah rendah hingga Tingkatan Lima tercicir daripada sistem persekolahan negara. Keciciran selepas gagal dalam peperiksaan bukanlah perkara yang menghairankan. Tetapi, menafikan hak kanak-kanak menikmati alam persekolahan setelah mereka berusia tujuh tahun, tidak sewajarnya berlaku apatah lagi dengan status Malaysia yang akan menjadi negara maju pada 2020 nanti. Jika masalah ini berpunca daripada kemiskinan atau kekurangan prasarana, ia adalah alasan yang tidak boleh diterima. Pihak berkenaan perlu menyelidiki dengan mendalam faktor yang menjadi punca kepada masalah ini seperti sikap pelajar itu sendiri, keluarga dan persekitaran.
Kabinet pada 16 Januari tahun lalu sudah memutuskan bahawa semua kanak-kanak tanpa sijil kelahiran di seluruh negara layak mendapat akses pendidikan kerana tidak mahu mereka terus tercicir daripada arus pendidikan hanya disebabkan tidak dapat didaftarkan di sekolah, semata-mata kerana proses permohonan sijil lahir yang agak rumit dan mengambil masa agak panjang.
Oleh itu, sesuatu harus dilakukan termasuk mengenal pasti siapa dan di mana kanak-kanak itu berada. Kerahkan semua Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dengan bantuan Pejabat Daerah serta agensi kerajaan berkaitan untuk menemui keluarga kanak-kanak terbabit dengan kerjasama penghulu kampung dan sebagainya. Kementerian Pelajaran dan Unesco dalam satu kajian pada 2003 mendapati 84.6 peratus pelajar yang tercicir daripada sekolah rendah adalah daripada keluarga golongan sosio-ekonomi yang rendah.
Sememangnya ada kes bagi rakyat yang benar-benar miskin untuk memberi pendidikan kepada anak terutama di kawasan yang jauh dari sekolah, Mereka lebih rela anak mereka mengikut jejak langkah mereka daripada memberi pendidikan kepada anak. Namun, ini tidak semestinya benar kerana ramai anak miskin ini kini berada di Sekolah Menengah Agama Negeri, Sekolah Menengah Agama Rakyat dan sebagainya.
Dicadangkan supaya siasatan dan kajian lanjut dijalankan untuk mengetahui sama ada mereka ini benar-benar tercicir atau mereka ditempatkan di sekolah-sekolah lain.
Monday, June 15, 2009
SYARAT SIJIL ISO BUKTI KERAJAAN UTAMA KUALITI PROJEK
PENGUMUMAN yang dibuat Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Mansor supaya projek pembinaan kelas A diberikan kepada kontraktor memiliki sijil Pertubuhan Piawaian Antarabangsa (ISO) adalah satu usaha positif dan memperlihatkan bahawa kerajaan tidak sekali-kali bertolak ansur dalam hal berkaitan kualiti projek dilaksanakan.
Ini bertujuan untuk memastikan negara luar yang selama ini menaruh kepercayaan kepada kontraktor tempatan tidak tergugat ekoran beberapa kejadian runtuh yang berlaku beberapa hari lalu. Kontraktor hendaklah menerima ketetapan ini dengan hati terbuka dan berusaha untuk memastikan mereka memiliki persijilan berkenaan.
Apa yang lebih penting ialah persijilan yang dimiliki benar-benar menggambarkan kemampuan sebenar kontraktor berkenaan. Ini penting bagi memulihkan keraguan yang mungkin timbul gara-gara beberapa insiden runtuh yang berlaku, seterusnya memastikan imej industri pembinaan tidak terus dipandang negatif.
Bagaimanapun, di samping pemilikan persijilan itu, kerajaan diharapkan akan terus memantau proses pelaksanaan projek kerana pemilikan persijilan semata-mata masih belum menjamin pelaksanaan projek dilakukan dengan sempurna. Penyeliaan secara rapi di tapak projek dan diselia penyelia bertauliah saja yang mampu memastikan projek disiapkan dengan sempurna.
Justeru, dalam menentukan pemilikan persijilan ISO, elemen berikut perlu dimasukkan dalam prosedur kerja kontraktor berkenaan.
1. Menyediakan set dokumen tender dan lukisan binaan yang lengkap dan terperinci yang disediakan berdasarkan kepada Kaedah Pengukuran Setara yang ditetapkan.
2. Komponen yang sering berlakunya ketidaksempurnaan bila bangunan itu disiapkan seperti mendapan tanah, kebocoran pada bumbung dan paip, kelembapan pada lantai dan dinding hendaklah diberi perhatian teliti sama ada pada peringkat reka bentuk mahupun pembinaan.
3. Kerja penyeliaan hendaklah dilakukan penyelia yang berpengetahuan dan berkemahiran. Sudah sampai masanya untuk kerajaan mewajibkan hanya penyelia bertauliah saja dilantik sebagai penyelia tapak.
4. Pelatih yang mengikuti kemahiran berkaitan dengan sektor binaan di institusi latihan kemahiran awam hendaklah dibekalkan modul khas berkaitan penyeliaan projek sebagai modul tambahan. Ini bagi memastikan bilangan penyelia yang mencukupi bagi menampung keperluan projek. Adalah dijangkakan setiap projek memerlukan bilangan penyelia yang tidak sedikit.
5. Penyelia hendaklah benar-benar memahami pelan projek dan mempunyai pengetahuan dalam kaedah pemantauan yang berkesan.
6. Proses penyeliaan hendaklah disertai dengan sistem penyampaian laporan yang betul bagi m
emastikan proses pelaksanaan kerja mengikut apa yang ditentukan dalam pelan dan spesifikasi.
Tanpa penyeliaan betul oleh mereka yang benar-benar layak di tapak pembinaan, dikhuatiri kejadian tidak diingini akan terus berulang dan hasrat kerajaan untuk mempromosi kontraktor tempatan keluar negara akan turut terjejas.
PROF MADYA Sr ZAKARIA MOHD YUSOF
Jabatan Ukur Bahan, Fakulti Alam Bina
UTM, Skudai, Johor.
Thursday, June 11, 2009
BUMBUNG RUNTUH PERSOAL KREDIBILITI INDUSTRI BINAAN
Oleh Abdul Halim Yusoff halem@bharian.com.my
MEMANG tidak perlukan jurutera atau arkitek untuk faham bahawa beban berat keterlaluan sebagai punca utama sebahagian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Terengganu, yang baru setahun digunakan runtuh pada Selasa lalu. Jika pergi hampir dengan timbunan runtuhan itu, kita dapat lihat kepingan zink yang kerap dipasang pada rumah biasa, digunakan pada rekaan bumbung termoden space design atau sistem bumbung tanpa sokongan tiang di stadium bernilai RM292 juta itu. Stadium itu adalah sebahagian Kompleks Sukan Gong Badak yang keseluruhannya bernilai hampir RM500 juta.
Ketika baru siap dibina, rekaan space design di stadium itu adalah pertama seumpamanya di Asia sekali gus menjadikannya monumen kebanggaan penduduk negeri ini. Mengikut terma kejuruteraan, space frame dibina daripada penyokong yang bercantum daripada sudut rekaan geometrinya menggunakan tiub besi. Bingkai berseginya yang berstruktur tegap membantu menguatkan fungsi sokongannya.
Komponen ringan itu mampu membidang jarak yang lebar dengan beberapa sokongan dan menimbulkan lengkungan untuk membentuk kesan visual. Bagaimanapun, istilah komponen ringan membangkitkan persoalan. Adakah zink yang biasa kita lihat dipasang di rumah yang disokong dengan banyak tiang dan alang itu cukup ringan seperti ‘polycarbonet’, bahan yang sepatutnya dan dipercayai lebih sesuai digunakan untuk rekaan canggih seperti itu. Mungkin perubahan saat akhir penggunaan komponen yang menjadi resipi kepada petaka pada 2 Jun itu. Berdasarkan dokumen yang diperoleh Berita Harian, banyak pihak terutama daripada kalangan arkitek dan jurutera sudah mempertikaikan rekaan sebegitu, malah ada yang mendakwa penggunaan rekaan itu diputuskan pada saat akhir daripada rekaan asal menggunakan piawai kejuruteraan yang diterima pada peringkat antarabangsa.
Bagaimanapun, ada pihak lain berpendapat rekaan membabitkan kos tinggi itu bukannya tidak boleh dibuat, tetapi ia tidak boleh dilakukan dengan tergesa-gesa dan kerja pemasangan perlu dilakukan tenaga pakar menggunakan bahan lebih sesuai. Tetapi, mungkin atas sandaran menjimatkan kos, komponen asal yang ringan dan tahan lasak seperti ‘polycarbonet’ tetapi mahal, dikatakan digantikan dengan zink biasa.
Stadium yang dirasmikan pada 10 Mei 2008 itu dimajukan sekumpulan kontraktor anak Terengganu terdiri daripada Bina Struktur Sdn Bhd, Emarcon Sdn Bhd dan Gengam Mercu Sdn Bhd manakala arkitek ialah Senibahri Arkitek dan MAA Associates serta dibantu beberapa perunding dilantik jawatankuasa pelantikan juruperunding kerajaan negeri, iaitu Protech Consultant dan AZN Engineers. Semua syarikat berkenaan menafikan terbabit dalam pembinaan dan rekaan struktur bumbung space frame itu.
Malah, arkitek utama projek itu Raja Datuk Kamarul Baharin Shah Raja Ahmad mendakwa syarikatnya, Senibahri Arkitek tidak diberikan maklumat dan butiran mengenai rekaan dan bahan yang digunakan untuk pembinaannya. Beliau juga menulis kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri mempersoalkan penggunaan rekaan itu dan mencadangkan penggunaan bumbung bersokongan tiang seperti yang biasa digunakan dan mahu komponen bahan memenuhi spesifikasi tertentu. Jurucakap Protect Consultant juga mengesahkan kontraktor tempatan hanya terbabit dalam kerja awam dan struktur utama.
Rekaan space frame bumbung tidak termasuk dalam kontrak asal dan diletakkan sebagai projek 'reka dan bina' kerana membabitkan kepakaran khusus dan subkontraktor Korea Selatan dipilih berdasarkan kepakaran mereka.
Namun demikian, jurucakap itu berpendapat rekaan space frame bukanlah silap kerana sudah tentu ia dibuat setelah mengambil kira perkiraan kejuruteraan yang disahkan pihak perunding bebas. Bagaimanapun, masalah mungkin timbul dalam kerja pemasangan dan kualiti bahan bumbung di kawasan yang bersimetri. "Masalah lain ialah penyelenggaraan. Dalam tempoh kecacatan, ia tanggungjawab kontraktor, tetapi mereka di Korea, tentu mengambil masa untuk ke sini," katanya mengulas kenapa tiada penyelenggaraan dibuat walaupun Menteri Besar Datuk Ahmad Said sudah memberitahu JKR Terengganu masalah di stadium itu sejak setahun lalu.
Daripada insiden malang itu, maka timbul persoalan mengenai tahap kepakaran kontraktor dan hala tuju industri pembinaan tempatan. Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor menyifatkan kejadian runtuhan bumbung itu sangat memalukan kerana masyarakat antarabangsa mungkin beranggapan peserta industri kita tidak cukup berkelayakan.
Berikutan peristiwa memalukan ini mencetuskan persoalan mengenai sejauh manakah kemampuan sebenar industri binaan negara dan secara langsung menjejaskan usaha mempromosi kepakaran kontraktor tempatan ke luar negara.
Seperti dikatakan Pensyarah Jabatan Ukur Bahan, Fakulti Alam Bina Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Prof Madya Zakaria Mohd Yusof, antara sebab projek gagal ialah tidak mempunyai kefahaman dan kemahiran yang mendalam terhadap projek yang dilaksanakan. Selain itu ketiadaan perancangan rapi pada meliputi penggunaan sumber seperti keperluan bahan binaan, tenaga kerja dan perancangan aliran tunai projek serta ketiadaan komitmen mendesak menyebabkan terjadinya projek secara sambil lewa dan sering mendapat lanjutan daripada pemilik.
Di antara punca mengapa ia berlaku ialah:
1) Kebanyakan kontraktor datang dari latar belakang selain dari bidang pembinaan. Justeru, tidak mempunyai pengetahuan mantap dalam selok belok pembinaan.
2) Membuat perhitungan harga yang tidak tepat atau rendah disebabkan terlalu ingin memenangi tender tanpa mengambil kira risiko bakal dihadapi.
3) Pengiraan tender yang tidak terperinci menyebabkan kesukaran untuk menyediakan perancangan kos pelaksanaan projek serta kemungkinan berlakunya pembaziran sumber ketara.
4) Gagal menentukan masa penyiapan projek yang munasabah serta gagal mengenal pasti kemungkinan masalah yang boleh menjejaskan tempoh penyiapan.
5) Teknik pemantauan yang tidak sempurna di sepanjang tempoh pelaksanaan projek sama ada kontraktor yang terlalu bergantung kepada kontraktor kecil atau perunding yang dilantik tidak melaksanakan tugas dengan sempurna.
Dengan mengambil kira semua faktor berkenaan, kerajaan hendaklah memastikan kontraktor yang dilantik mempunyai rekod yang memuaskan. Pemilihan berdasarkan kepada 'kenalan rapat' hendaklah sekali-kali dielakkan, kecuali kepada yang betul-betul mempunyai rekod cemerlang.
Pemilihan kontraktor tidak seharusnya berdasarkan kepada harga tender terendah semata-mata. Sebaliknya berdasarkan kepada sejauh manakah hampirnya harga tender dengan anggaran kos yang terperinci yang disediakan Juruukur Bahan berkelayakan, sementara perunding atau pihak yang bertanggung jawab memantau projek itu hendaklah sentiasa memberi ingatan segera kepada kontraktor sekiranya projek yang dilaksanakan menunjukkan tanda berlakunya kelewatan serta mengarahkan kontraktor membentangkan jadual perancangan pemulihan.
Selain itu, tempoh tanggungan kecacatan yang dikenakan kepada kontraktor hendaklah disemak dan munasabah mengikut skala projek. Ini bagi memastikan pelaburan kerajaan mendapat jaminan dan pulangan terbaik. Dicadangkan kecacatan struktur hendaklah bersifat sepanjang hayat atas dasar keselamatan pengguna. Tanggungan tempoh kecacatan selama satu atau dua tahun hanyalah sebagai jaminan kepada kecacatan kecil saja yang tidak membabitkan struktur.
Perlu kita ingat bahawa faktor kejayaan dan kegagalan sesuatu projek bukanlah terletak kepada kontraktor semata-mata. Sinergi semua pemain dalam pasukan pembina amatlah dituntut. Pemilik projek menerusi perunding yang dilantik hendaklah turut berperanan melaksanakan tugas sebagai perunding secara profesional dengan mengutamakan kepentingan pemilik projek yang telah mengeluarkan peruntukan besar, apatah lagi projek kerajaan yang menggunakan dana rakyat. Dengan itu diharap tidak lagi berlaku struktur canggih membabitkan belanja beratus juta roboh hanya selepas setahun digunakan.
Saturday, June 06, 2009
KEMAS KINI MEKANISME KAWAL SELIA DAN AUDIT BANGUNAN

6 Jun 2009
Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
rencana@utusan.com.my
KEJADIAN bumbung runtuh di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Terengganu, Selasa lalu lalu mengingatkan kita kepada insiden bumbung makmal komputer sebuah sekolah yang runtuh, lima tahun lalu. Apa yang membezakannya barangkali hanyalah nilai kerugian. Makmal komputer itu pastinya tidak dibina sehingga mencecah RM300 juta berbanding stadium tersebut. Namun kedua-dua insiden itu memalukan negara kerana ia sepatutnya tidak terjadi di sebalik ketinggian teknologi dan nilai kos pembinaan yang telah dilaburkan.
Seperti kejadian bumbung makmal sekolah tersebut, punca insiden runtuhan di stadium Sultan Mizan Zainal Abidin juga dengan cepat dikaitkan dengan unsur politik. Tuduhan terhadap kerajaan negeri mula kedengaran apabila segelintir pihak mengaitkannya dengan amalan rasuah. Kononnya ia berlaku kerana kontraktor yang bertanggungjawab melaksanakan projek itu tidak melalui saringan yang ketat. Sebaliknya diberikan kepada mereka yang berada dalam kerajaan atau lebih tepat "kroni Barisan Nasional (BN)".
Namun apa pun puncanya - walaupun mungkin tiada kena mengena dengan amalan kronisme - kerajaan terpaksa menanggung pelbagai kos. Bukan sekadar beban kos kerugian melibatkan wang berjuta ringgit tetapi lebih parah, ia membabitkan kos "integriti, maruah dan keyakinan rakyat". Hakikatnya daripada aspek kejuruteraan, kejadian bumbung runtuh boleh berlaku disebabkan pelbagai punca. Antaranya kerana kegagalan mengikut spesifikasi pembinaan yang betul sehingga menyebabkan struktur binaan bumbung gagal menampung beban.
Runtuhan juga boleh berlaku disebabkan kesilapan reka bentuk bumbung atau penggunaan bahan binaan yang salah atau tidak menepati spesifikasi yang ditetapkan. Punca lain ialah apabila kontraktor tidak mengikut pelan asal pembinaan. Mungkin kerana perlu menyesuaikan dengan perubahanperubahan tertentu semasa pembinaan. Jika runtuhan stadium itu berpunca daripada apa yang disebutkan di atas itu, adalah jelas ia merupakan kecuaian pihak kontraktor dalam aspek pengurusan pembinaan.
Maka kerajaan sewajarnya tidak teragakagak untuk mengambil tindakan termasuk menyenaraihitamkan kontraktor terbabit kerana mengabaikan aspek keselamatan. Bayangkan jika runtuhan itu berlaku ketika puluhan ribu penonton berada di dalam stadium berkenaan.
Justeru itu, kita mengharapkan siasatan berhubung nahas itu disegerakan dan bersifat telus untuk memulihkan keyakinan rakyat.
Jawatankuasa khas yang terdiri daripada 10 pakar kejuruteraan dan tanah yang diamanahkan untuk menyiasat insiden itu dijangka menyerahkan laporan lengkap dalam tempoh enam bulan dari sekarang.
Hasil siasatan bukan sahaja dapat menentukan punca sebenar kejadian malah mampu menutup tuduhan-tuduhan yang tidak adil terhadap kerajaan.
Bagaimanapun seperkara yang perlu diberi perhatian adalah bagaimana ia dibenarkan beroperasi sedangkan Sijil Siap Kerja untuk bumbung belum dikeluarkan. Sijil pengesahan itu biasanya dikeluarkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) apabila kerja-kerja pemulihan telah siap atau selepas tempoh membaiki kecacatan.
Perkara yang didedahkan sendiri oleh Timbalan Pengarah Kerja Raya Negeri, Ghazali Hashim itu sangat memeranjatkan memandangkan tanpa Sijil Siap Kerja, stadium itu tidak sewajarnya digunakan. Apatah lagi kelemahan struktur bumbung itu juga dikesan sejak perasmian Sukma 2008, setahun lalu.
Oleh itu, pihak yang gagal bertindak ke atas laporan itu serta yang membenarkan stadium digunakan meskipun tanpa Sijil Siap Kerja, wajar bertanggungjawab ke atas insiden tersebut. Tindakan perlu dikenakan ke atas mereka.
Apa yang pasti, kejadian runtuhan bumbung stadium secara tiba-tiba itu meningkatkan kesedaran banyak pihak terhadap pentingnya mekanisme kawal selia dan audit sesebuah bangunan.
Maka tidak hairanlah apabila kerajaan Terengganu kelmarin bertindak mengarahkan JKR memeriksa keselamatan tiga lagi projek mega di negeri itu. Langkah tersebut turut diambil oleh beberapa kerajaan negeri lain.
Malah, beberapa kelemahan yang wujud dalam sektor pembinaan juga mula diberi perhatian oleh kerajaan. Antaranya prosedur pelantikan kontraktor terutamanya bagi projek-projek awam telah diperketatkan.
Begitu juga dengan hasrat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melebarkan kuasa supaya merangkumi aspek penyelenggaraan, keselamatan serta sistem pengurusan sesebuah kemudahan sukan termasuk di peringkat negeri. Ia boleh dilaksanakan menerusi pertimbangan kerajaan untuk menyemak Akta Pembangunan Sukan 1997 seperti yang disebut oleh Menterinya, Datuk Ahmad Shabery Cheek baru-baru ini.
Walau apa pun tindakan susulan, kita sangat mengharapkan insiden serupa tidak lagi berulang.
Dalam kedua-dua kejadian runtuhan bumbung di makmal komputer sekolah dan stadium berkenaan, kita bernasib baik kerana tidak melibatkan kemalangan jiwa.
Namun, ia bukan jaminan bahawa tiada yang akan menjadi korban sekiranya kejadian serupa berlaku lagi pada masa depan.
Friday, June 05, 2009
TIADA MAKLUMAT LENGKAP REKAAN BUMBUNG STADIUM
Sean Augustine bhkt@bharian.com.my
KUALA TERENGGANU: Butiran terperinci berhubung rekaan dan bahan binaan bumbung tanpa sokongan tiang atau ‘space frame’ untuk Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang runtuh Selasa lalu, tidak pernah diberikan kepada arkitek utama projek itu, Raja Datuk Kamarul Baharin Shah Raja Ahmad.
Raja Kamarul Baharin berkata, walaupun syarikatnya Senibahri Arkitek tidak bertanggungjawab terhadap struktur bumbung itu, beliau sudah menyuarakan kebimbangan mengenai ketidakstabilan rekaan itu kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) tahun lalu dan sekali lagi pada awal tahun ini. Katanya, beliau membuat aduan itu kerana sesiapa saja boleh mengenal pasti bahawa struktur bumbung itu semakin melendut dan berubah daripada bentuk asalnya.
Kerja mereka bentuk, membuat dan memasang struktur bumbung space frame itu dilaksanakan kontraktor dari Korea Selatan, manakala bahagian lain stadium termasuk bumbung yang tidak terjejas dengan kejadian kelmarin, dilaksanakan oleh Senibahri Arkitek. Mengulas lanjut, Raja Kamarul Baharin berkata, adalah penting untuk syarikatnya ketika itu mendapat butiran mengenai rekaan dan bahan binaannya bagi membolehkan jurutera menentukan kesesuaiannya.
"Saya tak dapat menjelaskan sama ada bumbung yang dibina itu sesuai untuk stadium berkenaan atau kenapa ia runtuh kerana saya tidak mendapat maklumat lengkap bagi memastikan ketepatan rekaannya.
"Saya yakin kejadian malang itu dapat dielakkan jika semua butiran mengenai rekaan itu diberikan kepada kami," katanya ketika dihubungi di Makkah, semalam. Raja Kamarul Baharin berkata, pada mulanya beliau tidak mahu mengulas, tetapi memutuskan sebaliknya sekarang apabila sebuah stesen televisyen kelmarin menunjukkan gambarnya apabila melaporkan mengenai kejadian runtuhan bumbung itu. Katanya, laporan itu bersifat negatif kerana seolah-olah menunjukkan beliau bertanggungjawab terhadap kerosakan yang berlaku.
"Saya ada banyak lagi (pendedahan) untuk dilontarkan, tetapi biarlah saya meluahkan kepada Suruhanjaya Siasatan yang saya harap lembaga siasatan turut memanggil Senibahri Arkitek," katanya.
Stadium bernilai RM292 juta dan dirasmikan pada 10 Mei 2008 itu dimajukan sekumpulan kontraktor anak Terengganu terdiri daripada Bina Struktur Sdn Bhd, Emarcon Sdn Bhd dan Gengam Mercu Sdn Bhd manakala arkitek ialah Senibahri Arkitek dan MAA Associates.
RINTIHAN KONTRAKTOR KELAS F KEPADA CEO TNB
UTUSAN MALAYSIA, 5 Jun 2009
KEPADA Datuk Seri Che Khalib, CEO TNB, kami selaku kontraktor kelas F bahagian utara tanah air dengan dukacitanya ingin memaklumkan kepada pihak Datuk Seri beberapa masalah yang dihadapi:
Pembayaran projek
Kami dengan ini memohon agar pembayaran setiap projek dipercepatkan selepas tuntutan dibuat. Untuk perhatian kepada Datuk Seri, setiap tuntutan yang dibuat oleh pihak kami mengambil masa yang sangat lama untuk dijelaskan.
Kadang-kadang sehingga 4 hingga 5 bulan. Perkara ini amat menyusahkan kontraktor.
Seperti yang Datuk Seri sedia maklum, kontraktor kelas F seperti kami tidak mempunyai pusingan modal yang banyak.
Disebabkan keadaan ini, kami tidak dapat melakukan kerja lain kerana kekurangan modal untuk projek seterusnya. Lebih menyedihkan, kami amatlah bergantung kepada bayaran tersebut untuk keperluan seharian.
Inden lambat
Ini juga merupakan salah satu masalah yang dihadapi oleh kontraktor. Apabila pihak kontraktor telah ditawarkan dengan sesuatu kerja, inden yang dikeluarkan adalah sangat lambat. Ia memakan masa sehingga dua bulan.
Kami berharap sangat agar Datuk Seri memandang serius hal-hal seperti ini. Jangan sesekali memandang rendah kepada kontraktor seperti kami. Kelewatan membayar tuntutan akan memburukkan lagi hubungan kontraktor dengan TNB.
Kami menaruh harapan yang amat tinggi kepada Datuk Seri Che Khalib.
Thursday, June 04, 2009
KONTRAKTOR SAMBIL LEWA PUNCA PROJEK GAGAL SIAP
KOTA KINABALU: Sabah dikesan tidak terkecuali daripada masalah projek kecil gagal disiapkan mengikut jadual dan tidak menepati piawaian ditetapkan kerajaan berikutan sikap sambil lewa kontraktor kelas F sambilan. Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) cawangan Sabah, Awadnir Matanggal, mendakwa masalah itu tidak berlaku sekiranya dijayakan kontraktor sepenuh masa yang mahukan hasil kerja berkualiti untuk memastikan terus mendapat tender bagi jangka panjang. Beliau berkata, laporan itu diterima daripada beberapa pegawai kanan kerajaan yang tidak berpuas hati dengan mutu kerja kontraktor yang mendapat tender projek di bawah pentadbiran jabatan mereka.
Bagaimanapun, katanya, kontraktor terbabit dikenal pasti bukan anggota PKMM cawangan Sabah. Sehubungan itu, beliau berkata, PKMM Sabah menyokong langkah Kementerian Kerjaraya menetapkan syarat supaya kontraktor kelas F yang mahu mendapatkan projek pembinaan kerajaan adalah golongan sepenuh masa bagi memastikan kualiti kerja.
"Langkah itu akan membantu mengatasi masalah projek kecil yang gagal disiapkan mengikut jadual dan tidak menepati piawaian yang turut berlaku di Sabah," katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.
Ahad lalu, Menteri Kerjaraya, Datuk Shaziman Abu Mansor, berkata negara mempunyai kira-kira 31,000 kontraktor kelas F ketika ini dan mereka seharusnya menjadikan bidang itu sebagai bidang utama dan bukan sumber pendapatan sambilan. Katanya, bilangan kontraktor kelas F yang terlalu ramai itu perlu dikecilkan dengan hanya mengekalkan kontraktor sepenuh masa dan benar-benar serius melakukan kerja mereka.
Awadnir berkata, PKMM Sabah menyokong cadangan pengecilan jumlah kontraktor yang kini keseluruhannya 45,000 orang di seluruh negara dengan cara menubuhkan konsortium dan bergabung. Menerusi sistem itu, katanya, mereka bukan saja mampu menyiapkan projek mengikut jadual dan spesifikasi, malah menyelamatkan kontraktor kecil kurang modal daripada gulung tikar.
"Saya yakin kontraktor kecil di Sabah tiada halangan menubuhkan konsortium dan bergabung untuk menjayakan sesuatu projek. Langkah itu juga tidak menjejaskan pendapatan kontraktor kecil sepenuh masa," katanya.
PUNCA PROJEK GAGAL SIAP IKUT JADUAL - CARA ATASINYA
KEKESALAN yang dilahirkan oleh Menteri Kerja Raya berhubung projek-projek pembangunan yang lambat siap atau tidak dapat disiapkan (terbengkalai), sebenarnya bukanlah isu baru di negara ini.
Selain boleh menjejaskan nama baik agensi kerajaan berkaitan, ia juga akan memberi kesan kepada bakal pengguna. Biasanya akan melibatkan orang ramai apabila memperkatakan tentang projek-projek pembangunan oleh kerajaan.
Kegagalan demi kegagalan kontraktor menyiapkan projek mengikut jadual menimbulkan persoalan tentang sejauh manakah kemampuan sebenar kontraktor yang dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan projek berkenaan.
Dalam perkara ini, punca kegagalan pelaksanaan projek perlu diteliti dan antara sebabnya ialah:
Pertama, ramai kontraktor yang tidak faham dengan mendalam tentang projek yang mereka laksanakan. Keadaan itu menyebabkan mereka gagal menjangka masalah-masalah yang bakal dihadapi.
Kedua, tiada perancangan rapi di peringkat awal projek. Perancangan sepatutnya meliputi sumber iaitu keperluan bahan binaan, tenaga kerja, keperluan peralatan serta perancangan aliran tunai projek.
Ketiga, tiada komitmen mendesak dalam diri sesetengah kontraktor. Akibatnya terhasillah "projek sambil lewa" dan mereka kemudiannya mengharap tempoh dilanjutkan.
Keadaan-keadaan di atas itu berlaku disebabkan kebanyakan kontraktor datang daripada latar belakang bukan dalam bidang pembinaan. Justeru, mereka tidak mempunyai pengetahuan mantap dalam selok belok pembinaan.
Kedua, mereka membuat perhitungan harga yang tidak tepat atau rendah disebabkan terlalu ingin memenangi tender projek berkenaan.
Ketiga, perhitungan harga yang tidak terperinci menyebabkan kesukaran untuk menyediakan perancangan kos perlaksanaan projek serta kemungkinan berlakunya pembaziran yang ketara.
Keempat, mereka gagal menentukan masa penyiapan projek dengan munasabah dan gagal mengenal pasti masalah-masalah yang mungkin timbul.
Kelima, mereka terlalu bergantung kepada sub kontraktor dan tidak menyediakan teknik pemantauan yang sempurna.
Bagaimanapun, kelemahan-kelemahan tersebut boleh diatasi sekiranya semua pihak mengambil sikap sentiasa peka dengan semua keadaan. Maka, kerajaan hendaklah memastikan kontraktor-kontraktor yang dilantik benar-benar mempunyai pengalaman. Mereka perlu mempunyai rekod yang memuaskan sebelum dilantik menjadi kontraktor.
Selain itu, pemilihan kontraktor tidak seharusnya berdasarkan kepada harga tender paling rendah semata-mata. Sebaliknya berdasarkan kepada sejauh manakah hampirnya harga tender dengan anggaran kos yang terperinci yang disediakan oleh Juruukur Bahan berkelayakan.
Kerajaan juga mesti memastikan kontraktor menyediakan jadual perancangan projek secara terperinci sebelum kebenaran memiliki tapak. Dan ia hendaklah merangkumi kesemua kategori projek dan kelas kontraktor.
Selain itu, pihak yang bertanggungjawab memantau pelaksanaan sesuatu projek hendaklah sentiasa memberi ingatan kepada kontraktor sekiranya projek menunjukkan tanda-tanda akan berlakunya kelewatan.
Pihak berkenaan seharusnya mengarahkan kontraktor terbabit untuk membentangkan jadual pemulihan bagi mengelakkan berlaku kelewatan yang lebih buruk.
Kerajaan sendiri perlu mencadangkan tempoh penyiapan yang munasabah sebagai asas untuk kontraktor menyiapkan projek dan bukannya berdasarkan kepada cadangan oleh kontraktor.
Selain itu, peraturan yang lebih ketat dalam pemberian lesen kepada kontraktor pada masa depan perlu dilakukan. Ini kerana kita memerlukan kontraktor yang benar-benar berwibawa.
PROF. MADYA ZAKARIA MOHD YUSOF
Fakulti Alam Bina, Universiti Teknologi Malaysia
Wednesday, June 03, 2009
SIASAT SEGERA BUMBUNG RUNTUH
Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD dan MUZDALIFAH MUSTAPHA
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 2 Jun - Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu kerajaan negeri menyiasat segera punca keruntuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, Terengganu yang berlaku pagi ini.
Timbalan Perdana Menteri berkata, langkah itu penting bagi menentukan punca berlakunya runtuhan itu sama ada ia disebabkan bencana atau kecuaian pihak-pihak tertentu.
"Inilah hal-hal yang kadang kala kita tidak berpuas hati. Dalam kes ini satu siasatan perlu dijalankan untuk kita menentukan apakah puncanya. Adakah ini berpunca kerja-kerja kontraktor ataupun konsultan.
"Kita juga boleh persoalkan sama ada kerja-kerja pengesahan oleh pihak berkuasa dibuat secara teratur. Mungkin juga ia berpunca oleh sebab lain. Perkara-perkara ini harus diteliti oleh kerajaan negeri,'' katanya selepas majlis penutupan Program Titian Gemilang V di Universiti Malaya (UM) di sini hari ini.
Beliau mengulas kejadian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak yang bernilai RM292 juta dan menjadi tempat utama Sukan Malaysia (Sukma) 2008 runtuh yang menyebabkan kira-kira 50 peratus daripada strukturnya musnah.
Runtuhan pada pukul 9.30 pagi itu berlaku kira-kira setahun stadium tersebut dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 10 Mei tahun lalu.
Kerosakan melibatkan bumbung di bahagian timur stadium sepanjang 400 meter menempatkan pintu masuk utama, pintu A, B dan B1 ke tempat duduk awam dan tempat duduk tetamu diraja serta orang kenamaan (VIP).
Muhyiddin menegaskan, kerajaan negeri dalam siasatannya juga perlu menentukan sama ada stadium yang baru berusia setahun itu masih dalam jaminan.
"Ini di bawah kerajaan negeri dan mereka perlu membuat siasatan secara lebih menyeluruh. Stadium ini masih baru dan tidak mungkin berlaku kerosakan begitu teruk. Apa punca sebenar? Wallahualam.
"Bagi saya jika berlaku kerosakan kecil di sana-sini mungkin tidak menjadi isu tetapi masalahnya berlaku keruntuhan. Keadaan ini sebenarnya tidak menggambarkan profesionalisme kecuali disebabkan bencana,'' tambahnya.
JURURUNDING BEBAS AKAN DILANTIK CARI PUNCA RUNTUH
KUALA TERENGGANU 2 Jun - Kerajaan negeri akan menyiasat punca kejadian runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak di sini yang mengakibatkan kerugian kira-kira RM25 juta.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said berkata, kerajaan negeri akan melantik jururunding bebas untuk menilai dan mencari punca bumbung sepanjang kira-kira 400 meter di bahagian timur stadium itu boleh runtuh. Menurutnya, pemeriksaan ke atas Stadium Tertutup di kompleks sukan berkenaan turut akan dilakukan bagi memastikan kekukuhannya.
''Saya masih belum menerima maklumat bagaimana kejadian runtuhan ini boleh berlaku kerana setakat ini belum ada siasatan yang dijalankan.
''Saya berasa dukacita dengan kejadian ini, namun bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan," katanya ketika melawat stadium berkenaan di sini hari ini.
Ahmad berkata, pihaknya juga masih belum menerima sebarang maklum balas daripada kontraktor yang membina dan mereka bentuk bumbung yang melibatkan kos kira-kira RM38 juta itu.
''Saya dimaklumkan kontraktor yang dilantik melalui tender itu adalah kontraktor dari Korea," ujarnya. Beliau memberitahu, stadium berkenaan akan ditutup sehingga kekukuhan strukturnya diperiksa dan kerja-kerja pembaikan dilakukan. Katanya, kerja-kerja pembaikan dijangka dilakukan oleh pihak kontraktor berkenaan kerana stadium itu masih berada dalam tempoh jaminan selama dua tahun.
''Tempoh jaminan berkuatkuasa daripada tarikh penyerahan stadium tersebut kepada kerajaan negeri iaitu pada November tahun lepas," katanya. Beliau bagaimanapun enggan mengulas dakwaan kejadian itu berlaku akibat pembinaan stadium yang disegerakan bagi membolehkan ia digunakan untuk kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) 2008 pada 31 Mei hingga 9 Jun tahun lepas.
Ahmad berkata, semasa penganjuran Sukma 2008, stadium berkenaan digunakan selepas menerima Sijil Layak Menduduki (CF) sementara.
''Selepas itu kita menerima kelulusan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk menggunakan stadium ini bagi penganjuran acara-acara sukan," jelasnya.
RUNTUHAN BUMBUNG STADIUM MEMALUKAN NEGARA
KUALA TERENGGANU 2 Jun - Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor menyifatkan kejadian runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak di sini hari ini sebagai kejadian yang memalukan negara. Menurutnya, kejadian itu boleh menimbulkan imej negatif bahawa kontraktor Malaysia tidak berwibawa walaupun pembinaannya melibatkan kontraktor asing.
'
'Stadium ini baru dibina setahun yang lalu. Kejadian runtuhan ini memalukan imej negara.
''Nanti orang kata di Malaysia, bangunan yang sedang dibina pun ada benda jatuh, bangunan sudah siap pun boleh jatuh bumbungnya, bangunan yang nak diruntuhkan pun runtuh juga. Nanti ia jadi satu imej," katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang separuh daripada bumbungnya runtuh kira-kira pukul 9.30 pagi ini. Runtuhan melibatkan bumbung di bahagian timur stadium itu yang menempatkan pintu masuk utama, pintu A, B dan B1 ke tempat duduk awam serta bumbung tempat duduk tetamu diraja serta orang kenamaan.
Berikutan kejadian itu katanya, selepas ini kerajaan akan memberi penekanan terhadap piawaian amalan kerja dalam memilih kontraktor serta perunding untuk projek-projek besar.
Shaziman berkata, pihaknya akan meminta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) memastikan amalan itu dipatuhi.
''Dari segi pemilihan jururunding dan kontraktor, kita mesti pilih berdasarkan kemampuan. Katakan projek yang besar, kena pastikan jururunding itu ada kapasiti manakala kontraktor pula mesti ada pengalaman dan pengetahuan teknikal yang tinggi," ujarnya. Beliau turut mengarahkan CIDB dan Jabatan Kerja Raya (JKR) membuat kajian mengapa bumbung stadium berkenaan runtuh.
''Saya tidak mahu menunding jari dan menyalahkan mana-mana pihak. Kejadian ini baru berlaku. Saya mahu mendapat laporan yang terperinci," jelasnya.
Tuesday, June 02, 2009
BUMBUNG STADIUM GONG BADAK RUNTUH
Abdul Rahim Sabri Jun 2, 09 11:03am
Bumbung utama Stadium Bolasepak Gong Badak, Terengganu yang dirasmikan oleh Sultan Terengganu tahun lalu, runtuh kira-kira jam 7.30 pagi ini.Perkara itu disahkan oleh timbalan pengerusi Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat), Tengku Ahmad Tengku Hussein ketika dihubungi hari ini.
Menurut lamanweb Mampat, kejadian itu mengakibatkan sebuah kereta kancul dan empat buah motosikal tertimbus. Sementara itu, seorang wartawan sambilan - Sazali Mohd Nor - yang dihubungi di tempat kejadian berkata, stadium yang berusia kira-kira setahun ini berkapasiti menampung kira-kira 50,000 penonton. Menurutnya, stadium mempunyai dua bumbung - bumbung tinggi di sebelah kiri dan bumbung rendah di sebelah kanan. Sazali berkata, yang runtuh adalah kesemua bahagian bumbung tinggi di sebelah kiri.
Sementara itu, sumber yang mengetahui mengenai projek tersebut, berkata beliau tidak terperanjat dengan kejadian tersebut. Menurutnya, juruperunding-juruperunding yang terbabit dalam projek tersebut telah lama menyuarakan kebimbangan mereka tentang keadaan bumbung utama stadium yang dibuat oleh kontraktor asing.
"Walaupun sudah setahun memintanya dari kontraktor asing tersebut, difahamkan mereka masih belulm menerimanya," katanya. Sumber itu berkata, projek pembinaan stadium tersebut dijalankan di bawah penyeliaan Jabatan Kerja Raya.
Sementara itu, Bernama melaporkan, beberapa anggota bomba dan penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) dilihat memasuki bahagian bangunan yang runtuh itu bagi memastikan tiada mangsa yang terperangkap. Menteri Besar Datuk Ahmad Said turut meninjau tempat kejadian pagi ini dan beliau dijangka mengadakan sidang akhbar di pejabatnya pada jam 4 petang ini. Menurut beberapa saksi, runtuhan dipercayai bermula pada bahagian tengah stadium yang menempatkan bilik tetamu kehormat (VIP) dan tempat duduk utama termasuk pentas diraja.
Asmadi Hashim berkata ketika kejadian, beliau berada di rumahnya yang terletak kira-kira 400 meter dari stadium berkenaan. "Saya mendengar satu letupan kuat dan menyangka ia adalah enjin kapal terbang kerana Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) terletak berhampiran stadium itu," katanya.
Sementara itu, dua pekerja yang sedang memasang tiang lampu di sekitar stadium berkenaan terkejut selepas mendengar letupan berkenaan. Mohd Zaidi Ahmad yang bekerja hanya kira-kira 300 meter dari tempat kejadian itu, kemudian bergegas bagi memastikan tiada yang terkorban.
Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang berharga RM270 juta dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 10 Mei tahun lepas. Stadium berkenaan menjadi mercu tanda Terengganu dan gelanggang bagi beberapa acara utama pada Sukan Malaysia (Sukma) 2008 dan perlawanan bola sepak Liga Super.
58,000 DIJANGKA TERJEJAS SEKOLAH LEWAT SIAP
KUALA KRAI: Kira-kira 58,000 pelajar sekolah menengah di seluruh negara dijangka tidak dapat belajar dengan selesa tahun depan berikutan kegagalan pemaju yang diberi kontrak membina bangunan-bangunan sekolah berkenaan menyiapkannya mengikut jadual.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata daripada 128 sekolah menengah yang sedang dalam pembinaan di seluruh negara ketika ini, 58 didapati tidak dapat disiapkan mengikut tempoh yang dipersetujui oleh pemaju dan kerajaan sebelum ini.
"Kalau dikira 1,000 bagi setiap sekolah bermakna dengan 58 buah sekolah itu dianggarkan 58,000 orang pelajar tidak dapat mengikuti pengajian dengan selesa tahun depan," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Permuafakatan Pendidikan PPD Kuala Krai di sini, hari ini.
Kira-kira 200 orang guru, guru besar dan pengetua hadir pada majlis itu yang juga perjumpaan sulung beliau sebagai Timbalan Menteri Pelajaran dengan warga pendidik. Puad juga mendedahkan bagaimana sebuah syarikat pembinaan yang mendapat kontrak membabitkan 26 sekolah yang bernilai kira-kira RM300 juta, tidak dapat menyiapkan projek mengikut tempoh masa yang ditetapkan.
"Kami tidak akan berkompromi lagi, kami sudah beri masa yang cukup, kenapa sambung lagi kontrak mereka. Kami ada bukti cukup, yang kontraktor itu gagal menyiapkan dalam masa yang dijanjikan dengan memberi pelbagai alasan yang tidak munasabah," katanya. - Bernama
80 PERATUS PROJEK JKR LEWAT
YUSRI SAHAT utusanpahang@utusan.com.my
KUANTAN 1 Jun - Sebanyak 80 peratus projek di bawah Kementerian Kerja Raya sepanjang tahun lalu dikenal pasti mengalami kelewatan sehingga mengakibatkan kerajaan terpaksa menanggung peningkatan kos, pembaziran masa serta tenaga.
Sehubungan itu, Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, pihaknya akan memperketatkan amalan pemberian Pelanjutan Masa (EOT) supaya kadar kelewatan projek dapat dikurangkan kepada 50 peratus tahun ini.
''Kadar kelewatan ini adalah tinggi tetapi ia bukan berpunca daripada kesilapan JKR semata-mata sebaliknya disebabkan pelbagai faktor,'' katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat pegawai kanan Jabatan Kerja Raya (JKR) di sini hari ini. Shaziman berkata, kelewatan sesuatu projek banyak berpunca daripada faktor luaran termasuk pengambilan tanah, kenaikan harga bahan binaan, ketidakmampuan kontraktor atau pemindahan utiliti.
Bagaimanapun jelasnya, walau apa juga alasan yang diberikan, rakyat tetap menyalahkan JKR berikutan kelewatan sesuatu projek tanpa mengambil kira faktor-faktor luaran tersebut.
Sehubungan itu, tambah beliau, JKR perlu mengatasi masalah tersebut menerusi koordinasi yang efektif dengan jabatan-jabatan lain supaya sesuatu projek tidak tergendala.
''Misalnya, JKR perlu bekerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebelum melaksanakan sesuatu projek supaya tidak timbul masalah berbangkit yang akhirnya menyusahkan rakyat,'' jelasnya.
Beliau juga mengingatkan semua JKR negeri supaya berhati-hati dalam meluluskan Arahan Perubahan Kerja (VO) dalam projek-projek kerajaan bagi mengelakkan implikasi kewangan yang lebih besar.
''JKR perlu berbincang dengan agensi pelanggannya supaya setiap VO yang diluluskan betul-betul memberi manfaat kepada rakyat,'' jelasnya. Beliau menambah, VO merupakan perubahan spesifikasi yang terpaksa dilakukan dan tidak mengikuti pelan asal sesuatu projek.
AMARAN KONTRAKTOR GAGAL SIAP SEKOLAH
NORZAINURA ABDUL MAJID utusanjohor@utusan.com.my
BATU PAHAT 1 Jun - Siapkan ikut jadual atau kontrak ditamatkan.
Itu amaran Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi kepada syarikat kontraktor yang terlibat dalam pembinaan bangunan sekolah baru di seluruh negara yang gagal menyiapkan projek mengikut jadual ditetapkan.
Menurutnya, kelewatan menyiapkan sekolah berkenaan akan mendatangkan masalah kepada pendaftaran pelajar baru tahun depan yang semakin meningkat. Beliau berkata, daripada 58 buah sekolah kebangsaan (SK) di seluruh negara yang sedang dibina dan sepatutnya siap tahun ini, masih ada sembilan sekolah lagi gagal disiapkan mengikut jadual.
"Begitu juga dengan sekolah menengah (SM) iaitu daripada 128 buah yang dibina, masih ada 54 buah lagi tidak dapat disiapkan mengikut jadual," katanya. Beliau berkata demikian setelah melawat tapak pembinaan Sekolah Menengah Sains Batu Pahat (SMSBP) bersama beberapa pegawai tinggi kementerian itu di Jalan Tanjong Labuh dekat sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau memberi tempoh seminggu kepada GLR Builders Sdn. Bhd., untuk meyakinkan Kementerian Pelajaran sama ada ia mampu menyiapkan pembinaan sekolah berasrama penuh pertama di daerah ini atau kontrak mereka ditamatkan. Beliau berkata, pembinaan sekolah yang membabitkan kos RM46.5 juta di kawasan seluas 20 hektar itu sepatutnya siap September ini, tetapi kini hanya 49.9 peratus sahaja telah disiapkan dengan kelewatan ialah 12.38 peratus.
Sambil melahirkan perasaan amat dukacita dengan apa yang berlaku, Mohd. Puad meminta kontraktor terbabit mencari jalan penyelesaian secepat mungkin atau tindakan tegas diambil terhadap mereka.
Sementara itu, Pengarah Urusan GLR Builders, Datuk Ismail Ibrahim yang turut hadir di tapak projek berkenaan berkata, pihaknya akan berusaha sedaya upaya untuk menyiapkan sekolah berkenaan mengikut tempoh yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
Masalah itu dakwanya berpunca daripada kelewatan empat bulan memulakan projek dari tarikh yang sepatutnya sehingga menyebabkan ia tidak dapat disiapkan mengikut jadual.
STADIUM SULTAN MIZAN RUNTUH
KUALA TERENGGANU: Sebahagian bumbung Stadium Sultan Mizan di Kompleks Sukan Gong Badak, di sini, yang baru setahun digunakan, runtuh jam 9.30 pagi tadi. Runtuhan itu tidak menyebabkan kehilangan nyawa tetapi sebuah kereta dan empat motosikal yang diletakkan di sekitar stadium itu ranap. Runtuhan itu membabitkan bumbung sepanjang 80 meter meliputi kawasan grandstand termasuk pentas diRaja.
KONTRAKTOR BERMASALAH PUNCA PROJEK BERMASALAH
Minda Pengarang
LANGKAH Kementerian Kerja Raya untuk menetapkan syarat supaya kontraktor kelas F, yang mahu mendapatkan projek pembinaan kerajaan, terdiri daripada mereka yang menyertai bidang itu secara sepenuh masa bagi memastikan hasil kerja yang lebih berkualiti pada masa depan, amat dialu-alukan.
Malah, kerajaan juga perlu mengetatkan lagi pengeluaran lesen kontraktor kelas F bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar mahu menjadi kontraktor diberikan permit, bukan menjadikannya sebagai kerja sampingan. Kontraktor yang menjadikan kerja itu sebagai sampingan inilah yang banyak menimbulkan masalah sehingga menyebabkan projek terbengkalai, tiada kualiti atau lebih teruk lagi, meng’alibaba’kan projek untuk mendapat keuntungan cepat dan kemudian ‘berusaha’ pula mendapat projek baru hingga menghimpit peluang kontraktor tulen.
Statistik Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) sehingga April tahun ini menunjukkan 31,569 kontraktor kelas F yang berdaftar, satu jumlah yang agak besar. Selain menetap syarat untuk memilih kontraktor kelas F sepenuh masa, kerajaan juga mungkin perlu memberi keutamaan kepada konsortium kontraktor kelas F untuk diagihkan projek. Dengan cara ini, akan menggalakkan mereka untuk bergabung membentuk konsortium dan pada masa sama, mengecilkan lagi jumlah kontraktor kelas F yang terlalu ramai itu.
Kerajaan selama ini menggalakkan kontraktor kecil menubuhkan konsortium kerana langkah itu akan memberikan mereka kekuatan untuk berdaya saing dalam pasaran global. Langkah ini juga akan membentuk kedudukan dan keupayaan kewangan yang kukuh serta kebolehan melaksanakan sebarang projek dengan baik.
Sebelum lesen kelas F diberikan, mereka juga hendaklah mengikuti modul kursus, latihan serta ujian yang bersesuaian. Ini kerana berdasarkan tinjauan melalui kursus yang dilaksanakan oleh sebuah institusi pengajian tinggi sebelum ini, lebih 60 peratus kontraktor kelas F tidak tahu membaca pelan. Bagi menggalakkan pemegang lesen kelas F mengembangkan perniagaan, mereka juga perlu meningkatkan kelas daripada kelas F ke kelas lebih tinggi iaitu E atau D. Di samping itu, kerajaan hendaklah meletakkan syarat agar mereka lebih mengutamakan tenaga kerja tempatan dalam pelaksanaan projek yang ditawarkan.
Berdasarkan maklumat, hanya 17,000 daripada 40,000 kontraktor kelas F di negara ini masih aktif dan mendapat faedah daripada bantuan kerajaan. Bagi membantu lebih banyak kontraktor kelas berkenaan mendapat tawaran projek, kerajaan sebelum ini sudah mengambil inisiatif mewajibkan 10 peratus daripada nilai kontrak yang bernilai RM10 juta ke atas diagihkan kepada kontraktor kelas itu. Kita percaya dengan pelbagai insentif yang diberikan kerajaan, akan mendorong mereka untuk menjadi kontraktor kelas F sepenuh masa, bukan lagi meminjam lesen, menjadi ‘ali baba’ dan sebagainya.
Monday, June 01, 2009
BIDANG KONTRAKTOR BUKAN KERJA SAMPINGAN - SHAZIMAN
ALOR SETAR: Bidang kontraktor seharusnya dijadikan sebagai profesyen utama dan bukannya kerja separuh masa atau sampingan, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor. Beliau berkata, bilangan kontraktor yang terlalu ramai, iaitu lebih 45,000 perlu dikecilkan, antaranya dengan cara hanya mengekalkan kontraktor sepenuh masa yang benar-benar serius melakukan kerja mereka. Katanya, daripada jumlah itu kira-kira 31,000 kontraktor terdiri daripada kelas F.
"Yang separuh masa ni diharap akan lama-kelamaan keluar daripada sektor ini. Kalau nak jadi kontraktor dalam bidang binaan terutamanya, kena serius dan jadikan ia sebagai punca utama pendapatan individu berkenaan.
"Kebanyakan kontraktor separuh masa ni buat kerja ambil ringan dan hasilnya kurang berkualiti... ada juga bagi orang lain pegang lesen dan ini budaya yang tidak sihat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Kontraktor Melayu Kedah, di sini, malam tadi.
Sehubungan itu, Shaziman mengalakkan kontraktor kecil menubuhkan konsortium kerana langkah itu akan memberikan mereka sinergi untuk berdaya saing di pasaran global, keupayaan kewangan kukuh serta kebolehan melaksanakan sebarang projek.
Katanya, kontraktor yang memiliki jentera juga boleh mendaftar dengan persatuan supaya kemudahan yang dimiliki boleh dikongsi atau disewa kepada kontraktor yang tidak mempunyai peralatan berkenaan.
"Dengan penggabungan sumber-sumber itu, ia dapat mengeratkan kerjasama di antara kontraktor di samping menjimatkan kos projek dan penyewaan jentera," katanya. Shaziman turut menekankan bahawa persatuan amat penting dan memainkan peranan penting dalam membantu kerajaan menentukan hala tuju industri binaan negara.
"Sebarang permasalahan yang timbul di dalam industri boleh disalurkan kepada persatuan sebelum perkara berkenaan disampaikan kepada kementerian," katanya. - Bernama
Friday, May 08, 2009
AGIHAN 10 PERATUS KONTRAK DITANGGUH
BERITA HARIAN, 8 Mei 2009
Oleh S Anand Kumar
anand@bharian.com.my
KUALA LUMPUR: Kementerian Kerjaraya menangguhkan pelaksanaan dasar pengagihan 10 peratus kontrak oleh kontraktor kelas A kepada kontraktor kelas F sehingga satu kertas kerja disediakan bagi merungkai segala permasalahan yang wujud berhubung dasar itu, kata Menterinya, Datuk Shaziman Abu Mansor.
Beliau berkata, kertas kerja itu dijangka siap dalam tempoh sebulan dan akan dibawa ke mesyuarat Kabinet supaya beberapa kelemahan yang wujud dapat diselesaikan serta memberi manfaat kepada kontraktor kelas A dan kelas F.
Beliau bagaimanapun berkata, kontraktor kelas F akan diberi keutamaan untuk melaksanakan projek pembinaan jalan di Felda menerusi pakej rangsangan bernilai RM200 juta yang diperuntukkan kepada kementerian.
“Dasar ini hanya ditangguhkan, bukan dimansuhkan... ia (dasar) akan diaktifkan semula selepas kementerian menyiapkan kertas kerja itu dalam tempoh sebulan dan selepas itu kita akan kemukakan kepada Kabinet,” katanya pada sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulanan bersama warga kerja kementerian di sini, semalam.
Dasar itu diperkenalkan pada Mac 2008, supaya kontraktor yang mendapat projek bernilai RM10 juta ke atas mengagihkan 10 peratus daripada nilai kontrak kepada kontraktor kelas F, dan sehingga kini 4,373 kontraktor terbabit dalam agihan menerusi dasar itu yang berjumlah RM860 juta.
Tujuan dasar itu juga untuk memberi peluang kerja kepada kontraktor kelas F selaras dengan pertambahan jumlah kontraktor terbabit di seluruh negara yang kini berjumlah 31,569 orang.
Isnin lalu, Shaziman mengadakan pertemuan dengan 719 kontraktor kelas F dari seluruh negara dan pertemuan sama turut dibuat dengan kontraktor kelas A, minggu sebelum itu bagi membincangkan perkara berkenaan.
Shaziman berkata, antara masalah yang ditimbulkan ialah berkaitan penetapan harga kontrak, skop kerja dan proses pemilihan selain berusaha mencari kaedah terbaik supaya tidak berlaku salah faham di antara kontraktor utama kelas A dan kontraktor kelas F.
“Dalam pertemuan bersama kedua-dua kontraktor itu, pelbagai perkara dibangkitkan... ada yang meminta kita memansuhkan terus dasar itu... kita akan mencari langkah penyelesaian supaya tidak berlaku salah faham di antara kedua-dua kumpulan kontraktor itu,” katanya.
Beliau berkata jika ada banyak salah faham, berkemungkinan akan berlaku kelewatan dalam penyiapan projek berkenaan.
Thursday, May 07, 2009
KERAJAAN DISYOR PERKENAL SYARAT BARU MOHON LESEN KONTRAKTOR
Zakaria Mohd Yusof
HASRAT kerajaan untuk mempertimbangkan agar tempoh pembekuan pendaftaran kontraktor Kelas F ditarik balik adalah suatu yang positif untuk memberi peluang kepada generasi baru terutama dari kalangan belia. Namun begitu, sebelum ia menjadi kenyataan, kerajaan haruslah melaksanakan kajian terperinci agar penarikan semula ini mampu melahirkan kontraktor yang berkemampuan dan mampu bersaing serta tidak mengharapkan projek kerajaan semata-mata.
Untuk itu, pandangan berikut untuk sama-sama difikirkan bagi memastikan setiap langkah yang diambil memberi kebaikan kepada rakyat dan tidak akan berlaku lagi lambakan kontraktor Kelas F.
1. Lesen Kelas F hanya untuk mereka yang mempunyai kemahiran daripada Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) seperti Akademi Binaan Malaysia, Pusat Giat Mara, Institut Kemahiran Mara dan Institut Kemahiran Belia Negara. Langkah ini secara tidak langsung akan memberi lebih nilai kepada sijil kemahiran yang dimiliki pelatih di ILKA. Menerusi syarat ini, minat masyarakat khususnya belia akan meningkat untuk mengikuti program kemahiran di ILKA.
2. Pihak yang tidak mempunyai kemahiran dari ILKA hendaklah membentuk rakan perkongsian dari kalangan mereka yang berkemahiran dan diakreditasi oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).
3. Keutamaan hendaklah diberi kepada mereka yang melaksanakan kerja berkaitan di sektor binaan dan bukannya daripada kalangan yang langsung tidak mempunyai pengetahuan dalam pembinaan.
4. Bagi menggalakkan pemegang lesen Kelas F mengembangkan perniagaan, mereka disarankan meningkatkan kelas dari Kelas F ke kelas yang lebih tinggi iaitu E atau D. Sebagai tanda sokongan daripada kerajaan, mereka yang meningkatkan kelas akan terus dibolehkan mendapat kerja secara undi.
5. Sebelum lesen Kelas F ini diberikan, mereka hendaklah mengikuti modul kursus, latihan serta ujian yang bersesuaian. Berdasarkan kepada tinjauan melalui kursus yang dilaksanakan, lebih 60 peratus kontraktor Kelas F yang ada sekarang tidak tahu membaca pelan.
6. Disamping itu, kerajaan hendaklah meletakkan syarat agar mereka lebih mengutamakan tenaga kerja tempatan dalam pelaksanaan projek yang ditawarkan.
7. Tempoh percubaan hendaklah difikirkan untuk satu atau dua tahun bagi memastikan penerima lesen Kelas F nanti tidak mensia-siakan lesen yang dimiliki atau dengan mudah menyerahkan lesen itu kepada pihak lain.
Syarat di atas bukanlah untuk memberi bentuk tekanan kepada bakal kontraktor, tetapi lebih kepada berusaha menerapkan elemen pendidikan dalam diri kontraktor agar menjadi kontraktor yang lebih berdaya saing.
Wednesday, May 06, 2009
KEMENTERIAN SUSUN MEKANISME BANTU KONTRAKTOR KELAS F
KUALA LUMPUR 5 Mei - Satu mekanisme yang lebih baik akan diperkenalkan bagi menggantikan dasar agihan 10 peratus bagi projek bernilai melebihi RM10 juta kepada kontraktor kelas F agar ia benar-benar memanfaatkan kumpulan tersebut.
Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, ia adalah antara cadangan yang akan dilihat kementerian itu dalam usaha untuk menyusun semula fungsi kontraktor semua kelas terutama kelas F.
"Ada juga yang mencadangkan agihan 10 peratus itu dinaikkan mungkin kepada 15 ke 20 peratus mengikut harga projek. Kita akan tengok macam mana.
"Kita akan lihat cadangan tersebut dan yang lain memandangkan ia luahan daripada kontraktor kelas F sendiri. Ia akan diperhalusi dengan terperinci sebelum dibincangkan di Kabinet," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri perjumpaan bersama lebih 700 kontraktor kelas F di sini hari ini.
Katanya, masih wujud ruang bagi penambahbaikan terhadap dasar tersebut kerana ia sedikit-sebanyak telah membuka ruang dan peluang kepada kontraktor kelas F menyertai projek berstatus tinggi kerajaan.
Shaziman berkata, kira-kira 4,000 daripada 31,000 kontraktor kelas F yang berdaftar dengan Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) telah terlibat dalam dasar itu dan ia banyak memberi pengalaman serta ilmu kepada mereka hasil bimbingan kontraktor utama.
"Kita akan cari mekanisme lebih baik bagi memastikan situasi menang-menang antara semua kontraktor utama dan kontraktor kelas F dapat diwujudkan," katanya.
Shaziman berkata, antara cadangan lain yang mungkin diambil kira termasuklah menggabungkan kontraktor kelas F yang mempunyai kepakaran yang sama bagi melaksanakan projek melalui kontraktor utama.
"Misalnya, jika ada beberapa kontraktor yang mahir membuat jalan, maka mereka boleh bergabung untuk mendapatkan projek daripada kontraktor utama. Jadi masalah tiada projek atau pertembungan kerja sesama kontraktor dapat dielak," katanya. Selain itu katanya, kementerian juga akan mencari kaedah terbaik bagi membantu kontraktor kelas itu berhadapan dengan isu harga bahan binaan yang terlalu tinggi dan tidak memberi pulangan modal yang baik kepada mereka.
Menurutnya, kesemua cadangan yang dikemukakan kontraktor kelas F pada pertemuan itu akan dinilai, dikaji dan akan dibincangkan di Kabinet sebelum sebarang keputusan dapat dibuat bagi mencari mekanisme yang sesuai.
Ditanya mengenai pakej rangsangan ekonomi, Shaziman berkata, sehingga kini sebanyak 13 peratus jumlah yang diberikan kepada kementerian itu melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) telah dibelanjakan bagi membina dan membangunkan pelbagai projek.
Katanya, aktiviti di bawah kementerian itu dilaksanakan menggunakan agihan daripada pakej rangsangan berjumlah RM7 bilion yang diumumkan kerajaan pada tahun lalu walaupun ekonomi dunia kini masih mengalami kelembapan.
Sunday, April 12, 2009
PERMIT LEBIH 200,000 PEKERJA ASING TIDAK DISAMBUNG
TAIPING: Kerajaan tidak akan menyambung semula permit kerja lebih 200,000 pekerja asing yang tamat tempoh tahun ini untuk memberi peluang kepada pekerja tempatan mengisi kekosongan itu. Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Noraini Ahmad, berkata kebanyakan kekosongan dijangka dalam sektor elektronik, pembuatan dan perkhidmatan. Katanya, warga tempatan masih sanggup bekerja di kilang elektronik atau industri hospitaliti jika diberi peluang terutama ketika krisis ekonomi global sekarang.
"Kementerian bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri untuk memantau lebih 200,000 permit kerja yang akan tamat tahun ini supaya kekosongan diisi rakyat tempatan,” katanya selepas merasmikan Karnival Penempatan Pekerjaan, di sini semalam.
"Dengan levi yang sudah dinaikkan sekali ganda seperti pekerja sektor perkhidmatan dikenakan RM3,600 seorang yang mesti dibayar oleh majikan, kos mengambil pekerja asing lebih tinggi berbanding pekerja tempatan.
"Majikan dapat menjimatkan kos jika mereka mengambil rakyat tempatan bekerja di kilang," katanya selepas merasmikan Karnival Penempatan Pekerjaan, di sini semalam.
PELAJAR IPT DISARAN PELAJARI ILMU KEUSAHAWANAN
Penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) disaran mempelajari ilmu keusahawanan selepas menamatkan pengajian masing-masing. Timbalan Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Mohd. Tajudin Md. Ninggal berkata, dalam keadaan ekonomi global sekarang lembap adalah wajar mereka menceburi bidang perniagaan.
"Kita harus melihat dalam skop lebih luas dengan tidak bergantung kepada kerja makan gaji semata-mata, sebaliknya bidang perniagaan menjanji dan menjamin masa depan lebih cerah jika disertai usaha yang gigih," katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Seminar Gerak Usahawan Siswa 2009 bertema Keusahawanan Kerjaya Pilihan di UTM, Skudai di sini hari ini. Pada seminar sehari yang dihadiri oleh 300 penuntut yang menjadi ahli Kelab Keusahawanan UTM itu, sebanyak tiga kertas kerja dibentangkan.
Antara tokoh korporat yang membentangkan kertas kerja ialah Ketua Eksekutif Johor Corporation, Tan Sri Muhammad Ali Hashim dengan kertas kerja bertajuk Jihad Bisnes Pemangkin Ekonomi Ummah dan Pengarah Urusan QSR Brands Berhad/KFC Holdings (M) Bhd., Jamaludin Md. Ali.
Tajudin berkata, seminar itu bertujuan memupuk budaya dan pemikiran bisnes di kalangan penuntut IPT untuk menceburi bidang keusahawanan dan menjadikan bidang itu sebagai kerjaya pilihan.
Selain itu, katanya, ia bagi menyediakan platform kepada mereka untuk meneroka peluang bisnes dengan memperkenalkan klinik kerjaya dan mendekati tokoh usahawan seperti Muhammad Ali.
Selain itu, para peserta turut menyertai ceramah, dialog, ekspo dan jualan yang diadakan.
WUJUD SEMULA MECD BANTU MELAYU - REAKSI KU LI
Pemansuhan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD) dibimbangi akan menimbulkan rasa terkilan di kalangan orang Melayu. Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, walaupun segalanya masih terlalu awal untuk menilai namun yang pasti pada masa ini orang Melayu tertanya-tanya mengapa langkah sedemikian diambil.
Katanya, malah di pihak kerajaan sendiri pun masih belum membuat sebarang penjelasan dan oleh itu timbul beberapa anggapan termasuk mengaitkan kerajaan mahu mengurangkan bantuan kepada orang Melayu.
“Barangkali, kerana penjelasan tak pernah diberi oleh kerajaan atau Perdana Menteri, ia dilihat sebagai langkah awal kepada usaha hendak mengurangkan bantuan dan pertolongan kepada bumiputera seperti yang diamalkan di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB),’’ katanya.
Tengku Razaleigh yang juga Ketua UMNO Bahagian Gua Musang berkata demikian ketika diminta mengulas kebimbangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu terhadap pemansuhan MECD pada sidang akhbar di kediamannya di sini hari ini.
MECD yang sebelum ini diterajui Datuk Noh Omar telah dimansuhkan sementara beberapa kementerian lain terlibat dalam penyusunan semula. Menurut Tengku Razaleigh, bagi orang Melayu, harapan mereka untuk terus bersandar kepada bantuan kerajaan seperti mana sebelum ini sedikit terjejas.
Bagaimanapun, beliau berkata, segalanya masih terlalu awal untuk membuat sebarang penilaian. Namun pada masa sama, beliau tidak menolak kemungkinan akan ada jabatan atau agensi yang akan bertindak menjayakan tujuan sama di bawah penyusunan semula Kabinet yang diumum kelmarin.
‘‘Ini penyesuaian dan penyusunan semula jentera kerajaan iaitu agensi dan jabatan di bawahnya.
‘‘Barangkali mereka akan mengambil langkah-langkah untuk bertindak di bawah tujuan sama tetapi di bawah agensi lain (sebelum ini), tapi itu saya tidak tahu, belum jelas,’’ ujarnya.
WUJUD SEMULA MECD BANTU MELAYU
Kerajaan diminta mewujudkan kembali Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD) yang telah dimansuhkan bagi meneruskan agenda membela kaum bumiputera dengan berkesan. Ketua Umum Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Osman Abu Bakar berkata, wujud keluh kesah di kalangan masyarakat bumiputera terutama Melayu dengan ketiadaan sebuah kementerian yang khusus untuk menjaga kepentingan mereka.
“Sebenarnya agenda melahirkan usahawan dan profesional bumiputera secara tidak langsung turut mempercepatkan usaha untuk mencapai keseimbangan ekonomi antara kaum di negara ini.
“Biarpun Kabinet baru berslogan Satu Malaysia tetapi kita berharap jangan sampai menghentikan agenda bumiputera,’’ katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa BPPM di sini hari ini.
MECD adalah antara kementerian yang dimansuhkan dan disusun semula dalam pengumuman barisan Kabinet pertama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kelmarin.
Sebelum ini, kementerian berkenaan diterajui Datuk Noh Omar yang kini menerajui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
Salah satu agensi utama MECD ialah Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang selama ini begitu sinonim dalam menjayakan agenda Melayu. Osman menjelaskan, kaum bumiputera yakin dengan kemampuan MECD bukan sahaja untuk menjayakan agenda ekonomi bangsa malah pendidikan.
Sementara itu menurut Osman, mesyuarat turut mengambil ketetapan untuk menemui Perdana Menteri seberapa segera bagi mengemukakan memorandum khusus untuk kepentingan agama Islam, umat Melayu dan negara. Kata beliau, memorandum itu bagi memastikan masyarakat Melayu dapat dibangunkan sebagai satu bangsa asal di tanah air ini.
“Dengan cara ini kita dapat memastikan ketuanan Melayu dan perpaduan kaum dalam negara ini akan menjadi satu kenyataan dengan konsep Satu Malaysia,’’ jelasnya. Katanya, memorandum yang sama juga akan diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.