Kenapa Kelapa Muda?

Pokok kelapa banyak gunanya. Daripada pucuk hingga akarnya. Tiada satu tanpa guna. Enak pula rasanya. Tinggi nilainya. Airnya digemari semua. Ringkasnya, ia pokok serbaguna. Begitu juga kita, dijadikan Allah swt dengan bakat dan rupa. Nilainya tidak terkata. Manusia, tanpa mengira miskin atau kaya, lembam atau cerdik akalnya, semuanya sama. Semuanya bergantung kepada kita untuk memenfaatnya.

Tepuk dada, iman pengantaranya.

HARGAILAH ORANG MUDA!



Wednesday, May 19, 2010

LATIHAN KEMAHIRAN DISELARAS

UTUSAN MALAYSIA, 18 MEI 2010

Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN dan SITI MAISARAH SHEIKH ABD.RAHIM pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 17 Mei - Kerajaan akan menubuhkan sebuah Majlis Penyelarasan Kemahiran Kebangsaan bertujuan merancang dan melaksanakan latihan kemahiran membabitkan agensi-agensi kerajaan.

Majlis yang dipengerusikan oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam itu bertujuan menyediakan sumber tenaga mahir yang dapat memenuhi keperluan tenaga industri.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, majlis tersebut akan bertindak mengarusperdanakan latihan kemahiran teknikal dan vokasional supaya mempunyai prospek yang setaraf dengan aliran pendidikan dan fleksibel.

''Dari sudut tenaga mahir dalam bidang teknologi maklumat (IT), kita berpendapat ini satu dari sektor kecil yang penting dalam mewujudkan sebuah Model Ekonomi Baru (MEB).

''Jadi, kita setuju program 'bridging' dipergiatkan untuk beri keseimbangan dari segi teori dan kita setuju MDEC memainkan peranan untuk mengambil langkah sewajarnya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pembangunan Modal Insan kali Kedua. Hadir sama Subramaniam dan Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang Gandum.

Muhyiddin menambah, setiap tahun seramai 26,366 orang atau enam peratus pelajar dikategorikan sebagai pelajar berprestasi akademik rendah yang bagaimanapun mungkin memiliki kemahiran dan kecenderungan dalam bidang kemahiran teknikal.

''Kita setuju supaya Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pelajaran menerusi program Kolej Komuniti bekerjasama rapat untuk menawarkan program kemahiran kepada pelajar," katanya. Beliau berkata, MEB yang dilancarkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini bertujuan menjadikan Malaysia sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi dengan ciri keterangkuman dan kebolehmampanan menjelang 2020.

Justeru, kata beliau, usaha untuk membangunkan modal insan berkualiti bagi mencapai ekonomi berpendapatan tinggi adalah mencabar dan memerlukan perancangan rapi kerana negara hanya mempunyai 23 peratus tenaga mahir.

''Pada tahun lalu kadar kebolehpasaran di kalangan siswazah kurang memuaskan apabila sebanyak 27 peratus daripada graduan institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan masih menganggur selepas konvokesyen," katanya.

Menurutnya, mereka yang berjaya mendapat pekerjaan adalah sebanyak 29 peratus pada tahun 2006 dan 33 peratus pada tahun 2009. Kebanyakan terdiri daripada siswazah yang memperoleh pendapatan kurang RM1,500.

Muhyiddin menegaskan, dalam konteks ini negara bukan sekadar memberi penekanan kepada pertambahan bilangan tetapi kualiti pendidikan dan latihan supaya lepasan institusi pendidikan dan latihan dapat memenuhi keperluan industri.

''Tumpuan dalam pembangunan sumber manusia akan dijuruskan kepada pengukuhan kualiti pendidikan dan latihan di semua peringkat. Penekanan kepada pembangunan fizikal akan dikurangkan," katanya.

RM65 JUTA UNTUK KONTRAKTOR KELAS F

UTUSAN MALAYSIA, 18 MEI 2010

KUALA LUMPUR 17 Mei - Kementerian Kerja Raya menawarkan kontrak bernilai RM65 juta bagi 19 buah projek di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang akan dilaksanakan tahun ini kepada kontraktor-kontraktor Kelas F.

Menterinya, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, pemilihan kontraktor Kelas F bagi projek-projek tersebut akan berdasarkan kepada sebut harga dan kepakaran mereka dalam bidang yang diperlukan.

"Nilai 19 projek tersebut ialah RM700 juta dan 10 peratus daripadanya atau RM65 juta, telah diperuntukkan kepada kontraktor Kelas F.

"Ia sebagai mematuhi dasar kerajaan dalam pengagihan kontrak kepada kontraktor kecil untuk projek-projek bernilai RM10 juta ke atas.

"Dasar ini melibatkan pemberian kerja oleh kontraktor utama kepada kontraktor kecil dengan kontrak bernilai RM200,000 diberikan kepada kontraktor Kelas F dan melebihi RM200,000 kepada kontraktor Kelas E,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menyampaikan bayaran pampasan kepada 22 penduduk Orang Asli dari Tanjong Rabok, Kuala Langat yang terjejas akibat pembinaan Projek Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE) di sini hari ini.

Kerajaan membayar RM602,472 kepada kesemua Orang Asli tersebut yang terbabit dalam pengambilan tanah dan kerosakan tanaman akibat pelaksanaan projek SKVE berkenaan.

Shaziman memberitahu, pelaksanaan dasar pengagihan kerja kepada kontraktor kecil ini telah dipersetujui oleh Kabinet yang mana kontraktor utama yang mendapat projek kerajaan bernilai RM10 juta ke atas perlu memberikan 10 peratus daripada nilai kontrak berkenaan kepada kontraktor Kelas F dan E.

Beliau juga memberitahu, kementerian sedang melaksanakan kerja-kerja pemutihan terhadap 28,000 kontraktor Kelas F. Antara lain, menerusi program pemutihan tersebut, kontraktor yang tidak memperbaharui lesen selepas setahun akan ditamatkan lesen mereka.

"Kementerian juga akan meningkatkan kemahiran dan kepakaran kontraktor-kontraktor Kelas F yang pada masa ini adalah terlalu rendah sehinggakan kontraktor utama sukar untuk memberikan kerja kepada mereka.

"Kebanyakan kontraktor Kelas F ini hanya mempunyai kemahiran dalam pembinaan dan menurap jalan tetapi tidak ada kepakaran dalam kerja-kerja khusus seperti kerja-kerja lantai,'' katanya.

Matlamat utama kementerian tegasnya, ialah untuk memantapkan kontraktor-kontraktor Kelas F sehingga mampu melakukan pelbagai kerja khusus dalam sektor pembinaan yang amat diperlukan negara.

MAJLIS KHAS PERTINGKAT TARAF LATIHAN VOKASIONAL

BERITA HARIAN, 18 MEI 2010

PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Majlis Penyelarasan Kebangsaan akan ditubuhkan bagi mengarus perdana latihan kemahiran vokasional dan teknikal bagi meningkatkan tarafnya selain memastikan tidak berlaku pertindihan penawaran kursus oleh pelbagai agensi kerajaan. Timbalan Perdana Menteri berkata, pada masa sekarang kira-kira 100,000 pelajar memilih untuk terus memasuki pasaran kerja selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) walaupun kerajaan menyediakan latihan kemahiran vokasional dan teknikal yang mencukupi untuk mereka.

"Peratusan pekerja mahir di negara kita hanya 25 peratus berbanding 40 peratus di Singapura dan 33 peratus di Korea Selatan. Justeru, kita perlu mengubah persepsi rendah masyarakat terhadap pendidikan teknikal dan vokasional sekiranya mahu modal insan yang sesuai untuk Model Ekonomi Baru (MEB) negara.

"Kita juga dapati berlaku pertindihan dalam 189 daripada 469 kursus yang ditawarkan pelbagai agensi kerajaan manakala 75 peratus daripada latihan yang disediakan adalah di peringkat rendah iaitu Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 1 dan 2, sedangkan ia tidak memadai dalam agenda negara mencapai status negara maju.

"Jawatankuasa ini juga akan menyelaras kerangka latihan merangkumi kualiti tenaga pengajar, penyelarasan pembangunan kurikulum dan peningkatan kualiti sijil kemahiran," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pembangunan Modal Insan di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam, yang akan mempengerusikan Majlis Penyelarasan Kebangsaan itu. MEB bagi menjadikan Malaysia negara sebagai ekonomi berpendapatan tinggi adalah mencabar kerana pada masa ini hanya 23 peratus daripada tenaga kerja tempatan yang berkemahiran khusus manakala kebolehpasaran siswazah pula kurang memuaskan.

Beliau berkata, pada 2009, 27 peratus siswazah institusi pengajian tinggi tempatan masih menganggur ketika konvokesyen iaitu dalam tempoh enam bulan selepas menamatkan pengajian dan 33 peratus yang mendapat pekerjaan pula hanya memperoleh pendapatan kurang RM1,500. Sehubungan itu, katanya, penekanan tidak harus diberi terhadap pertambahan bilangan saja, sebaliknya yang lebih penting ialah kualiti pendidikan dan latihan selepas tamat pengajian yang diselaras mengikut permintaan pasaran kerja.

Antara lain, Muhyiddin mengesyorkan tumpuan terhadap bidang teknologi komunikasi maklumat (ICT) bagi melahirkan modal insan bernilai tinggi dan berpendapatan tinggi kerana sektor itu disasar menyediakan 92,545 peluang kerja pada 2012 berbanding 73,784 peluang kerja tahun ini.

"Bagaimanapun, pada 2009, negara terpaksa mengambil 5,405 tenaga asing bagi sektor ICT tempatan dan kita sudah arahkan Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) mengambil langkah perlu bagi mengatasi masalah ini, terutama dari segi teori, perkakasan dan keperluan industri," katanya.

HASIL MAKMAL PENGURUSAN WARGA ASING AKAN DIBENTANG

UTUSAN MALAYSIA, 19 MEI 2010

PUTRAJAYA 18 Mei - Sebanyak 50 cadangan yang dikumpulkan dalam Makmal Pengurusan Warga Asing akan dibentangkan kepada Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Khamis ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, cadangan-cadangan itu dijangka dilaksanakan secara berperingkat-peringkat dengan sebahagian darinya mungkin dilaksanakan seawal bulan depan.

Menurutnya, 50 cadangan itu melibatkan tiga aspek utama iaitu penawaran dan permintaan (11 inisiatif), perundangan dan penguatkuasaan (25 inisiatif) serta sistem dan proses (14 inisiatif).
''Hasil makmal ini turut meliputi empat perkara melibatkan analisis data dan kedudukan semasa, impak ekonomi, kajian amalan di luar negara serta perakuan dan cadangan.

''Hasil kajian dalam makmal ini akan diteliti terlebih dahulu dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk Penambahbaikan Pengurusan dan Pemantauan Warga Asing pada hari ini sebelum ia dibentangkan kepada Timbalan Perdana Menteri," kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Makmal Pengurusan Warga Asing dimulakan sejak 23 Mac untuk membincangkan secara terperinci isu pekerja asing bagi mencari mekanisme terbaik serta mendapatkan maklumat tepat dan terkini jumlah sebenar warga asing yang diperlukan dalam industri.

Hishammuddin berkata, matlamat kerajaan adalah untuk mewujudkan sistem pengurusan dan pemantauan warga asing secara efektif dan bersepadu.

''Kita akan memfokus kepada usaha untuk mengurangkan jumlah pendatang asing tanpa izin dan mengurangkan kebergantungan negara terhadap pekerja asing," katanya.

Monday, May 10, 2010

TARAF PENDIDIKAN SEKOLAH TEKNIK, VOKASIONAL TERUS DIPERKASA

SURAT, BERITA HARIAN, 10 Mei 2010

MERUJUK pandangan pensyarah Jabatan Ukur Bahan, Fakulti Alam Bina UTM, Skudai, Prof Madya Zakaria Mohd Yusof dalam Berita Harian 12 April lalu, 'Latihan Vokasional, Teknikal Memerlukan Perancangan Awal'. Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional (BPTV) merangka beberapa strategi untuk memperkasakan pendidikan itu bagi pelajar di Tingkatan Empat dan Lima di Sekolah Menengah Teknik (SMT) dan Sekolah Menengah Vokasional (SMV).
Kementerian Pelajaran melalui BPTV sudah membina SMT dan SMV bagi menampung keperluan semasa, menjurus kepada penerokaan minat pelajar dalam bidang kemahiran, vokasional dan teknikal.

Kini, 88 SMT/SMV di seluruh negara yang boleh menampung 67,000 pelajar. Infrastruktur dibina itu juga dilengkapi bengkel dan peralatan khusus untuk semua bidang yang ditawarkan. Kemudahan itu memberi peluang kepada pelajar mengasah kecenderungan, membina kemahiran dan kerjaya. Sebanyak 19 kursus ditawarkan di 26 SMV seluruh negara.

Kurikulum bagi 19 kursus kemahiran ditetapkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran dalam Kementerian Sumber Manusia. Selain menduduki SPM, pelajar diberi peluang menduduki peperiksaan Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 1. Pelajar turut berpeluang melanjutkan pelajaran ke institusi latihan kemahiran yang menawarkan tahap kelulusan lebih tinggi iaitu Tahap 2, 3 dan 4 bagi memastikan prospek kerjaya mereka menjadi lebih mantap.

BPTV juga menyediakan panduan maklumat lengkap berkaitan kursus latihan kemahiran ditawarkan di semua agensi latihan berkaitan. Maklumat itu membantu pelajar memahami hala tuju kerjaya dengan lebih jelas bermula daripada Tahap 1 di Tingkatan 4 di SMV dan seterusnya kemahiran yang lebih tinggi di agensi serta institusi latihan lain. Melalui maklumat terperinci, minat pelajar meneruskan latihan kemahiran ke peringkat lebih tinggi dan memilih aliran kemahiran sebagai kerjaya akan bertambah. Ia juga membantu guru serta guru kerjaya menjelaskan kepada pelajar berkaitan laluan dan prospek kerjaya mereka pada masa depan dalam bidang kemahiran.

BPTV juga bekerjasama dengan institusi seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Majlis IT Kebangsaan (NITC), Malaysia Timber Council (MTC) dan beberapa agensi latihan kemahiran lain. BPTV juga menawarkan kursus aliran vokasional di SMV bagi pelajar yang mempunyai pencapaian baik dan sederhana.

Konsep hands-on itu diselaraskan dengan keperluan pendidikan teras. Pelajar Tingkatan 4 di SMV/SMT akan didedahkan dengan ilmu praktikal dan teori kursus vokasional. Pelajar akan menjadi aset kepada industri kerana ilmu yang diperoleh bukan sekadar teori tetapi juga praktikal.

Kini, 18 kursus aliran vokasional ditawarkan di 70 SMV seluruh negara dengan 22 kursus MPV (Mata Pelajaran Vokasional) pula ditawarkan di Sekolah Menengah Harian terpilih.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
Kementerian Pelajaran.

Sunday, May 09, 2010

MAJIKAN PERLU UTAMAKAN PEKERJA TEMPATAN - NAJIB

BERITA MINGGU, 9 MEI 2010

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak meminta semua majikan mementingkan pengambilan pekerja tempatan dan memberi keadilan serta upah yang wajar, bukannya mencari jalan mudah dengan membawa pekerja asing menguasai pasaran kerja di negara ini.
Perdana Menteri berkata, majikan sepatutnya mencari jalan bagaimana mahu meningkatkan produktiviti pekerja tempatan.

“Adalah tidak wajar pekerja tempatan diabaikan. Jangan salahkan kerajaan jika kita tidak meluluskan tambahan pengimportan pekerja asing. Kita nak lihat bagaimana pekerja tempatan boleh diberi keutamaan dalam pertimbangan majikan mengambil pekerja,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena sambutan Hari Pekerja 2010 anjuran Kementerian Sumber Manusia di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Malaysia (MIECC) di Mines Resort City, Seri Kembangan di sini, semalam. Hadir sama Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam; Timbalannya, Datuk Maznah Mazlan; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam.

Najib dalam amanatnya kepada 8,000 pekerja berkata, Malaysia antara negara yang terbaik dari segi rekod perhubungan perusahaan berbanding kebanyakan negara lain di dunia.

“Pencapaian itu kerana pekerja di negara ini tidak melihat semata-mata dari sudut kepentingan pekerja saja, tetapi mengambil kira dan sentiasa membuat pertimbangan bagaimana dan apa yang dikehendaki dan dituntut oleh mereka itu munasabah, wajar dan mampu disediakan pihak majikan mahupun kerajaan.

“Ia juga berlandaskan prinsip muafakat yang mana wujud pemuafakatan antara pekerja, majikan dan kerajaan. Hubungan tiga penjuru ini menjadi titik pertemuan untuk mencari penyelesaian kepada masalah yang timbul dengan semua pihak mengutamakan suasana kerja yang lebih positif dan kondusif,” katanya.

Najib berkata, dengan pendekatan pemuafakatan itu, negara akhirnya berjaya melepasi cengkaman krisis ekonomi global yang hebat sedangkan bukan semua negara berada pada landasan pemulihan kukuh seperti yang dilalui Malaysia. Malah katanya, semalam (kelmarin) bursa saham seluruh dunia terganggu kerana krisis pinjaman yang terlalu tinggi di Greece, iaitu sebuah negara Kesatuan Eropah (EU) yang dikategorikan sebuah negara maju, tetapi mengalami krisis ekonomi dan tidak mampu ditangani mereka sehingga kini.

“Alhamdulillah, negara kita kini pulih daripada krisis berkenaan berkat rancangan dan dasar kerajaan yang tegas serta wujudnya permuafakatan antara pekerja dalam sektor awam dan swasta yang faham kedudukan kerajaan. Tahun lalu ada kita dengar mereka membuat pelbagai tuntutan, tetapi bila kerajaan kata tunggu tahun ini, kerana bukan tahunnya (buat tuntutan), mereka faham. Mereka kata tak apalah kita terima,” katanya.

Najib berkata, jika pemulihan ekonomi semakin rancak, beliau sebagai ketua kerajaan mengamalkan sikap bahawa pekerja patut mendapat upah, gaji dan imbuhan yang lebih tinggi.

UTAMAKAN PEKERJA TEMPATAN

MINGGUAN MALAYSIA, 9 Mei 2010

Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan semua syarikat dan majikan di seluruh negara supaya tidak menggaji tenaga asing dengan sewenang-wenangnya atas alasan kos lebih murah sehingga menutup peluang pekerja tempatan.

Sambil menyifatkan tindakan itu sebagai tidak wajar, Perdana Menteri mahu keutamaan diberikan kepada pekerja tempatan dengan tawaran gaji yang lebih munasabah. Beliau berkata, pihak syarikat atau majikan sepatutnya mencari jalan untuk meningkatkan produktiviti agar mereka mampu menggaji pekerja tempatan dan bukannya mencari jalan pintas dengan mengambil terlalu ramai pekerja asing.

“Jangan cari jalan mudah iaitu dengan cara mengambil pekerja asing dan kemudian mengorbankan kepentingan pekerja tempatan. Majikan harus memberi keadilan kepada pekerja tempatan.

“Mereka juga jangan salahkan kerajaan jika tidak luluskan tambahan import pekerja asing. Kita hendak lihat bagaimana pekerja tempatan boleh diberi keutamaan dalam pertimbangan mereka (majikan),’’ katanya.